Khamis, 2 Mei 2019

Sejarah dan Perkembangan etnik Murut


Pengenalan 

Kaum Murut merupakan sebuah kaum yang menetapkan di kawasan pedalaman dan kawasan tenggara Sabah. Kaum ini juga ada yang menetap di antara wilayah perbatasan antara Kalimantan dan Sarawak. Menurut Abdul Halim Bandan, Kaum murut merupakan kaum peribumi atau bumiputera yang tinggal di kawasan pedalaman dari keningau hingga selatan sempadan Sabah, Sarawak, dan Kalimantan Indonesia. Ada antara mereka telah pun menetap di hilir sungai padas di sekitar daerah Beaufort, daerah Tenom, Sipitang, keningau dan Sook. Mereka juga boleh didapati di negeri Sarawak dan Negara Brunei Darussalam ( dlm. Abdul Halim Bandan, 1955 : hal. 13). Terdapat beberapa tempat di Sabah yang majoritinya didiami oleh kaum Murut ini. Kebanyakan kaum ini tinggal di kawasan Tenom, dan Keningau. Kaum Murut merupakan suku kaum ketiga terbesar di Sabah. Pada asalnya, kaum Murut tinggal di rumah panjang. Manakala, keluarga yang menetap bersama di rumah panjang itu adalah merupakan sebuah keluarga yang besar.

Antara pekerjaan utama suku kaum Murut ialah petani, pemburu dan penangkap ikan. Ada juga kaum Murut yang bekerja sebgai pemungut hasil hutan. Perkataan ‘Murut’ mempunyai maksud tersendiri. ‘Murut’ merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di pedalaman Sabah. Kaum Murut terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagol, Tidung, Timugan, Sembakung, Paluan, Bookan, Kelabakan dan Murut Serundung. Kaum Murut mempunyai keunikan yang tersendiri. Tambahan pula, bahasa yang digunakan dalam kaum ini juga adalah berbeza dengan kaum yang lain yang ada di Sabah ini. Kaum Murut tinggal di rumah panjang yang berhmpiran dengan kawasan sungai atau membuat penempatan di sepanjang sungai. Tetapi ada juga kaum Murut yang menetap secara individu.

Perkembangan adat istiadat perkahwinan kaum Murut

Masyarakat kaum Murut merupakan salah satu masyarakat yang menetap di Sabah. Perkembangan adat kaum Murut dari tahun 2001 hingga 2006 tidak banyak berubah. Sehingga kini, kaum Murut masih mengamalkan adat istiadat yang diamalkan oleh nenek moyang mereka sejak dari dahulu lagi. Adat istiadat yang masih kekal sehingga hari ini ialah adat istiadat  dalam perkahwinan. Dalam adat perkahwinan ini, perubahan yang berlaku tidak begitu ketara sangat. Hal ini demikian kerana kebanyakan masyarakat kaum Murut telah mengekalkan upacara adat perkahwinan yang diamalkan oleh nenek moyang mereka sejak dari dahulu lagi. Tambahan pula, masyarakat kaum Murut juga menganggap bahawa adat turun temurun kaum Murut yang diamalkan oleh nenek moyang mereka mempunyai nilai estetika tinggi dalam kehidupan. Hal ini telah menunjukkan bahawa, pegangan adat kaum Murut ini masih kuat dalam kalangan masyarakat Murut.
           
Menurut maklumat daripada sumber primer yang telah ditemubual, secara amnya kebanyakan orang Murut kahwin pada usia yang muda iaitu berkahwin pada peringkat umur 12 tahun ke atas. Namun, apabila undang-undang kerajaan menggubal bahawa peringkat umur yang layak untuk berkahwin ialah umur 18 tahun ke atas, keadaan seperti dahulu yang berkahwin pada usia muda sudah berkurangan. Manakala Menurut beberapa sumber dari laman internet dalam (http://warna-warnisabah.blogspot.com/2010/09/amalan-dan-adat-resam.html), masyarakat kaum Murut yang berkahwin adalah berada dalam lingkungan umur yang muda. Bagi umur perempuan yang berkahwin ialah dalam lingkungan umur 13 tahun. Manakala bagi lelaki pula berada dalam lingkungan umur 15 hingga 18 tahun.

Tina’uh (penghantaran berian secara langsai)

Terdapat dua cara perkahwinan kaum Murut ini dijalankan. Dua cara perkahwinan itu ialah cara perkahwinan ‘tina’uh’ atau ‘bului’ dan ‘barian sampai mati’. Adat ‘tina’uh’ adalah adat yang paling tertinggi dalam adat istiadat perkahwinan kaum Murut Tahol atau Tagal. Adat tina’uh adalah adat hantaran mas kahwin atau barangan perkahwinan yang terakhir oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Adat Tina’uh ini boleh dilakukan selepas 20 atau 30 tahun selepas perkahwinan mereka. Adat ini boleh juga dilakukan semasa perkahwinan berlangsung dan mengikut kemahuan serta kemampuan pihak pengantin lelaki. Menurut Herman Scholz (1988) Both, the tina’uh and the bului are highly traditional affairs, and they are best described as the last handing over of the outstanding dowry that was initially agreed on for the bride. The bului ceremony is even grander than the tina’uh, but this text will content itself to explanations pertaining to the tina’uh of the Tataluan Murut. A tina’uh can be held two years after a young man has taken a Murut wife, in a ceremony called ‘limpoho’. This was once the official wedding ritual and procedure of the Sepulut and Pensiangan Murut. Often, the young husband won’t be able to pay his dept so quickly. The ‘pulut’ (dowry) for a Murut girl can amount to up to 40,000 Ringgit in heirloom goods and cash, and thus frequently the tina’uh is only held twenty years after the limpoho. Sometimes, the man has taken another one or two wives.  

Manakala maklumat daripada sumber primer, ‘bului’ ialah pasangan tersebut berkahwin dan barang hantaran diserahkan kepada pihak keluarga perempuan secara beransur-ansur oleh pihak lelaki. Bagi ‘tina’uh, dalam tina’uh pihak lelaki mesti menyerahkan berian penuh yang belum diberinya semasa mereka berkahwin. Sehingga ke hari ini, adat perkahwinan ‘Tina’uh’ ini tidak mengalami perubahan yang besar malahan adat ini tetap diamalkan bagi masyarakat kaum Murut hari ini.

‘Barian sampai mati’

            ‘Barian sampai mati’ juga merupakan salah satu adat dalam perkahwinan kaum Murut. Adat ini adalah berbeza daripada adat ‘Tina’uh’. Adat ‘barian sampai mati’ juga adalah adat kaum Murut yang sangat unik dan menjadi adat turun-temurun dalam perkahwinan. Hanya murut dari etnik Tahol saja pernah mengamalkan barian sampai mati, tetapi pada masa ini adat tersebut sudah tidak diamalkan oleh kerana arus pemodenan yang berlaku kepada kaum Murut. Hal ini berlaku kerana sesetengah pihak masyarakat Murut merasakan bahawa perkahwinan mengikut adat ‘Barian sampai mati’ membebankan. Dalam mengatakan bahawa Adat ‘Barian Sampai Mati’ sudah lama diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi oleh masyarakat Murut di Sabah. Apabila gadis Murut dikahwini oleh lelaki pilihan keluarga atau pilihan sendiri, barian akan terus ditagih oleh keluarga pihak perempuan sehingga ke akhir hayat. Meskipun sudah beranak pinak dan umur sudah menjangkau 30 hingga 90 tahun, tetapi keluarga pihak perempuan masih meminta barian daripada pihak lelaki. Masyarakat Dusun dan masyarakat lain di Sabah mengatakan bahawa gadis Murut yang dikahwini memiliki barian atau pun hantaran mas kahwin yang sangat mahal berbanding dengan suku kaum lain di Malaysia. ‘Barian Sampai Mati’ juga dapat dilihat apabila keluarga pihak perempuan pergi mengunjugi rumah pihak lelaki selepas kahwin, keluarga pihak perempuan akan meminta apa saja yang disukai dan dijumpai oleh mata mereka dalam rumah menantu lelaki. Pada masa itu juga, keluarga pihak perempuan akan terus mengambil benda atau pun barang tersebut misalnya televisyen, peti sujuk, tajau, gong, kain sarung, emas, basikal dan apa sahaja yang ditemui ketika berada di rumah pihak lelaki. Pihak lelaki pula tidak berbuat apa-apa dan membenarkan saja permintaan keluarga pihak perempuan sebagai tanda hormat kepada bapa dan mak mertuanya. Manakala menurut sumber primer, adat ‘Barian sampai mati’ adalah adat berian mas sampai selama-lamanya. Pihak lelaki akan menanggung segala yang dikehendaki oleh keluarga pihak perempuan. Dalam adat ‘Barian sampai mati’, adat ini sudah jarang diamalkan. Hanya segelintir sahaja dibahagian pedalaman yang masih mengamalkan adat ini. Hal ini demikian kerana arus pemodenan telah mempengaruhi perubahan terhadap adat ini. Dalam hal perkahwinan, mas kahwin akan dilaksanakan menggunakan wang. Perkara ini menunjukkan bahawa betapa uniknya adat ‘Barian sampai mati’ dalam masyarakat kaum Murut.

Proses yang berlaku sebelum perkahwinan berlangsung

            Secara keseluruhannya, masyarakat yang hendak berkahwin ataupun hendak memulakan rumah tangga yang baru, mereka akan berkahwin mengikut adat istiadat perkahwinan kaum Murut. Hal ini boleh dilihat apabila pihak lelaki hendak bernikah dengan anak perempuan kaum Murut. Seperti kaum yang lain, adat perkahwinan kaum Murut juga mempunyai proses yang perlu dilakukan oleh pihak lelaki untuk mengahwini anak perempuan kaum Murut. Menurut sumber primer, terdapat empat proses yang perlu dilakukan sebelum perkahwinan ini dilangsungkan. Antara proses tersebut ialah ‘Angayang’, ‘Apakinjang’, ‘Bului’ dan ‘Tina’uh’. Manakala menurut sumber sekunder dalam pada asasnya, adat perkahwinan masyarakat Murut merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.

Angayang (merisik@bertunang)

            Angayang ialah proses yang pertama sekali pihak lelaki perlu lakukan sebelum mengahwinkan anak perempuan kaum Murut. Dalam proses Angayang ini, pihak lelaki perlu datang ke rumah pihak perempuan bersama dengan ibu bapa ataupun wakil keluarga lelaki. Hal ini adalah bertujuan untuk keluarga pihak lelaki datang bertanya dengan ibu bapa pihak perempuan samada anak mereka sudah dimiliki oleh lelaki lain ataupun sudah bertunang dengan lelaki lain. Segala persetujuan akan ditentukan oleh ketua kampung ataupun ibu bapa perempuan itu sahaja samada lelaki itu diterima ataupun tidak. Menurut sumber primer, pertunangan boleh dilakukan terus apabila kata persetujuan antara dua pihak dapat dicapai.

Apa kinjang (penetapan tarikh dan perbincangan berian yang diminta untuk perkahwinan (Bului) )

            Selepas proses ‘Angayang’, proses ‘Apakinjang’ adalah proses yang kedua sebelum majlis perkahwinan. Dalam proses ini, pihak lelaki akan datang sekali lagi ke rumah pihak perempuan untuk berjumpa dengan ibu bapa pihak perempuan. Hal ini adalah bertujuan untuk berbincang mengenai berian mas kahwin dan juga tarikh hari perkahwinan. Segala bentuk berian mas kahwin akan dibincangkan bersama dengan keluarga pihak perempuan. Berian itu boleh berbentuk wang ataupun benda. Menurut Prof. Marina Mikat, hantaran atau mas kahwin perkahwinan Murut Tagal memerlukan perbelanjaan yang besar dengan berian seperti tawak (gong), tajau, pakaian, kain, manik, barang kemas, generator, barangan keperluan seperti barang dapur, parang, sumpit, duit, makanan dan minuman seperti tapai dan beras dalam blognya. Berian mas kahwin atau hantaran ini boleh dilakukan dalam dua cara iaitu pertama, cara ‘akilimpuhu’ iaitu pihak lelaki boleh membawa semua barangan yang di minta pada hari perkahwinan. Barangan mas kahwin itu diserahkan masa majlis pekahwinan. Manakala, cara kedua ialah cara berian iaitu sekiranya pihak lelaki tidak cukup ‘pupulut’ (barangan mas kahwin). Keluarga pihak perempuan boleh menangguhkan berian secara perlahan-lahan dan berperingkat-peringkat sehingga ke satu tarikh akhir walaupun sudah mempunyai anak atau cucu. Sekiranya si lelaki sudah meninggal dunia dan pupulut masih belum dapat dijelaskan dia masih dianggap berhutang kepada keluarga si perempuan. Sekiranya dia mempunyai anak perempuan dan telah berkahwin maka segala pupulut hendaklah diserahkan kepada mentuanya bagi menjelaskan hutang yang tertunggak.

Bului (majlis perkahwinan)

            Proses ‘Bului’ ialah proses seterusnya dalam adat perkahwinan kaum Murut. Menurut sumber primer, lelaki dan perempuan tersebut akan berkahwin. Dalam ‘Bului’, berian mas kahwin akan diserahkan kepada keluarga pihak. Penyerahan mas kahwin ini adalah secara beransur-ansur. Manakala dalam blog adat kahwin ‘bului’ selalu diamalkan oleh keluarga pihak perempuan apabila anak gadis mereka dikahwini. Biasanya apabila keluarga pihak perempuan tidak mampu mengadakan cara kahwin “Tinauh”, mereka menggunakan adat kahwin ‘Bului” untuk anak gadis mereka yang dikahwini. Semua hantaran barian adalah sama sahaja cuma perjalanan adat itu semasa ia dilangsungkan adalah berbeza.

Tina’uh (penghantaran berian secara langsai)

            Tina’uh adalah proses yang terakhir dalam adat perkahwinan kaum Murut. Menurut Lianah Binti Sikana  dalam blognya Adat “Tinauh” adalah satu acara perkahwinan yang berada di hierarki paling tertinggi. ‘Tina’uh’ hanya dilakukan apabila berian mas kahwin dapat diberikan sepenuhnya. Menurut sumber primer, dalam ‘Tina’uh’ lelaki mesti menyerahkan sepenuhnya berian kepada keluarga pihak perempuan yang belum habis diberikan semasa mereka berkahwin. Menurut Herman Scholz (1988) Both, the tina’uh and the bului are highly traditional affairs, and they are best described as the last handing over of the outstanding dowry that was initially agreed on for the bride. The bului ceremony is even grander than the tina’uh, but this text will content itself to explanations pertaining to the tina’uh of the Tataluan Murut.

Dalam data sekunder, Adat merisik ini sama seperti adat merisik yang diamalkan oleh masyarakat lain. Ia bertujuan untuk mempastikan perempuan yang dihajati oleh seseorang lelaki itu masih belum berpunya atau belum dirisik oleh orang lain. Ibu bapa pihak lelaki terlebih dahulu akan menyampaikan hasrat mereka kepada keluarga perempuan. Dalam hal ini keluarga pihak perempuan akan memutuskan samada risikan itu diterima atau sebaliknya berdasarkan kepada persetujuan anak perempuan mereka. Seterusnya adat meminang dan bertunang pula akan menyusul.

Walaupun tidak dinyatakan adat meminang yang khusus, namun pada dasarnya adat meminang yang diamalkan oleh Masyarakat Murut menyerupai adat meminang yang dijalankan oleh masyarakat lain. Ini termasuklah dari segi penghantaran wakil sebagai meminang dan barangan tertentu yang dibawa semasa meminang.

Setelah kedua-dua pihak bersetuju dengan peminangan tersebut, adat pertunangan akan dijalankan. Upacara pertunangan biasanya berlangsung selama sepuluh hari. Semasa perbincangan dijalankan, beberapa orang saudara daripada pihak lelaki akan dijemput di samping ketua kampungnya dan ketua kampung daripada pihak isteri sebagai saksi utama. Perbincangan akan berkisar tentang mas kahwin dan hal-hal lain berkaitan perkahwinan.

Majlis perkahwinan lazimnya akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Kelazimannya upacara perkahwinan dilangsungkan selama lima hari berturut-turut. Tiga hari yang pertama dijalankan di rumah pengantin perempuan manakala hari selebihnya dilangsungkan di rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan akan memakai pakaian asli gadis Murut dan berhias cantik pada hari tersebut

Program adat perkahwinan semasa perkahwinan berlangsug

            Seperti adat perkahwinan kaum lain, adat kaum Murut juga mempunyai aktiviti yang dijalankan semasa perkahwinan tersebut berlangsung. Menurut sumber primer, dalam proses ‘Angayang dan ‘Apakinjang’, tidak ada apa-apa aktiviti ataupun keramaian yang dijalankan. Hal ini kerana, keluarga antara dua pihak hanya berbincang mengenai hal merisik dan perkara yang penting dalam perkahwinan anak mereka. Sebagai contoh, hal berian mas kahwin, tarikh perkahwinan dan lain-lain. Semasa ‘Bului’ pula, aktiviti yang dilakukan ialah penyembelihan seekor lembu oleh tuan rumah. Hal ini adalah bertujuan sebagai tanda rasa hormat kepada pihak lelaki. Manakala dalam ‘tina’uh’, sebelum ‘Tina’uh’ berlangsung aktiviti yang dilakukan ialah aktiviti membuat ‘Sangiang’(pelamin). ‘Sangiang’ ini diperbuat daripada kayu dan buluh. Semasa ‘Tina’uh’ berlangsung, pasangan yang berkahwin akan duduk bersama dipelamin. Sementara itu, ketua kampung akan memotong buluh yang digantung di depan pintu menggunakan keris turun-temurun. Tujuan perkara ini dilakukan adalah untuk meminta restu dan hormat daripada nenek moyang.

            Selain itu, terdapat juga beberapa aktiviti lain yang dijalankan semasa adat perkahwinan kaum Murut ini berlangsung. Menurut sumber sekunder, iaitu dalam laman  Upacara keramaian merupakan sebahagian daripada kehidupan kaum Murut yang masih kekal hingga kini. Kaum Murut mengadakan upacara keramaian atau pesta yang unik iaitu dengan berpesta dari pagi ke malam selama seminggu biasanya. Amalan berpesta ini tidak kira untuk apa sahaja selalunya mempunyai keadaan seperti ini.

           Upacara keramaian yang paling unik bagi kaum Murut ialah semasa perkahwinan atau Tina'uh dijalankan. Perkahwinan orang Murut merupakan suatu upacara yang penting dan bahagian paling penting dalam upacara ini ialah semasa penyerahan hantaran perkahwinan yang terakhir . . . Upacara perkahwinan ini diadakan di rumah panjang pengantin perempuan atau rumah biasa. Sekiranya perkahwinan diadakan di rumah biasa dan bukannya rumah panjang, maka rumah tersebut perlu diubahsuai sedikit untuk menampung sekurang-kurangnya 150 orang. Ada di kalangan saudara-mara atau rakan-rakan kedua-dua pengantin yang akan bermalam selama seminggu bagi merayakan perkahwinan ini. Selain ruangan rumah, dapur perlu diperbesarkan malah halaman rumah juga. Komponen terpenting dalam majlis perkahwinan kaum Murut iaitu Tapai juga perlu disediakan, daging perlu dikukus dan dicincang malah ahli-ahli keluarga juga perlu dikumpul. Para jemputan yang datang akan disambut dengan pukulan gong yang meriah dan dengan tangan terbuka. Manakala menurut sumber primer, majlis perkahwinan selalunya berlangsung selama tiga hari. Di samping itu, aktiviti minum juga dijalankan. mereka akan bersama-sama minum ‘tapai’. ‘Tapai itu pula disimpan di dalam tajau. Selain itu, aktiviti tarian juga di adakan semasa ‘Tina’uh’ berlangsung sebagai pengisian aktiviti dalam perkahwinan tersebut.

Pakaian semasa majlis perkahwinan berlangsung

            Pakaian juga merupakan satu elemen yang penting dalam majlis perkahwinan kaum Murut. Seperti kaum yang lain, kaum Murut juga memakai baju tradisi ketika berkahwin mengikut adat perkahwinan Murut. Pasangan yang berkahwin akan memakai satu set baju tradisi. Menurut sumber primer, nama baju yang digunakan dalam majlis perkahwinan adalah sama. Baju yang mereka pakai ini dikenali sebagai ‘Pinongkoloh’. ‘Pinongkoloh’ ialah pakaian tradisi kaum Murut yang digunakan dalam perkahwinan adat kaum Murut. Sebagai contoh, baju dan seluar ‘pinongkoloh’ serta barang kemas ‘pinongkoloh’. Pakaian ini akan digunakan oleh pasangan yang berkahwin. Lelaki memakai ‘jaket barbaru’ dan ‘cawat dari kulit kayu puputul’ yang dilukis dengan motif dari manik atau warna. Perhiasan kepalanya ‘tupi sinulatan’ juga dari kulit kayu. Wanita menggayakan pakaian pinongkoloh dari kain kapas berhiaskan motif sarat dari manik-manik berwarna-warni. Perhiasan diri juga dari manik seperti ‘rantai rarangkol’ dan ‘hiasan kepala salupai’. Menurut Prof. Marina Mikat, Pengantin perempuan akan memakai pakaian asli gadis Murut dan berhias cantik pada hari tersebut. Sekumpulan gadis yang dikenali sebagai tambuloi dipertanggungjawabkan untuk menghias pengantin perempuan.             

Kesimpulan

Kesimpulannya, masyarakat kaum Murut masih lagi mengamalkan adat ynag sudah lama diamalkan oleh nenek moyang mereka, terutamanya adat perkahwinan. Hal ini menunjukkan bahawa mereka amat memandang tinggi terhadap nilai adat tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, bagi mengekalkan adat ini agar tidak tenggelam oleh arus pemodenan, masyarakat generasi bagi kaum Murut perlu mengetahui cara dan bagaimana adat kaum Murut diamalkan, terutamanya adat dalam perkahwinan. Selain itu, masyarakat kaum Murut khususnya masyarakat yang dewasa perlu menerapkan nilai ini dalam diri setiap generasi muda agar generasi muda kaum Murut tidak melupakan adat mereka.

Bibliografi

Abdul Halim Bandan, 1955 - Cerita tradisi Sabah : pelbagai kaum / Abdul Halim Bandan.
                                                                                             
The population of Borneo: A Study of the Peoples of Sarawak, Sabah and Brunei by L.W. Jones, 1966, 2006.




1 ulasan:

  1. Numpang promo ya Admin^^
    ayo segera bergabung dengan kami di ionqq^^com
    dengan minimal deposit hanya 20.000
    add Whatshapp : +85515373217 ^_~

    BalasPadam