Rabu, 8 Julai 2015

1.1 Sistem Beraja dan Pembesar

1.1 Institusi Pemerintahan (Raja dan Pembesar)

Soalan 1: Jelaskan konsep dan Peranan Raja dalam pemerintahan di Negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British.

Pengenalan

§  Sebelum campur tangan British di Negeri-negeri Melayu pada tahun 1874, Negeri-negeri Melayu diperintah oleh Raja-raja Melayu. Sultan dan raja menduduki heirarki tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri masing-masing. 
§  Mengikut sistem pemerintahan dan pentadbiran tradisional seseorang raja  berkongsi kuasa dan peranan dengan golongan pembesar dalam menjalan dan melicinkan jentera pentadbiran Namun demikian, semua Raja-raja Melayu ini sebenarnya mempunyai peranan luas dalam politik, ekonomi dan sosial sehingga campur tangan Inggeris pada tahun 1874.

Isi-isi penting:

1    Konsep

§   Biasanya raja akan mendirikan pusat pemerintahan dan pentadbiran di muara sungai dan kuasa baginda terhad di kawasan diraja tersebut. Dari segi teori, raja dikatakan mempunyai kuasa mutlak. Akan tetapi, kekuasaan politik sebenarnya dipegang oleh pembesar daerah. Raja sangat bergantung kepada pembesar untuk menjamin kedudukan, kewibawaan, dan kekuasaan. Misalnya, pembesar di perak berkuasa melantik bakal sultan yang disukai dan menyingkirkan calon tidak disukai.
§   Dari segi realiti, terdapat pembahagian kuasa dalam kalangan pembesar daerah di sesebuah negeri. Raja menjadi lambang perpaduan rakyat dan baginda menjalankan tugas yang lebih berat kepada hal ehwal keagamaan dan adat istiadat Melayu. Sebenarnya, baginda tidak memainkan peranan penting dalam sistem politik negeri kecuali di kawasan diraja. Namun, raja diiktiraf sebagai ketua negeri tertinggi, berdaulat dan harus dihormati oleh segenap lapisan masyarakat.

2    Peranan dari aspek Politik

a.        Sebagai Ketua Kerajaan.

§  Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat termasuk pembesar tidak boleh membantah perintah sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan.
§  Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah yang tidak ada pada golongan pembesar.

b.       Melantik Pembesar.

§  Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Sultan yang melantik pembesar-pembesar daerah sahaja akan menerima sepucuk surat dan hadiah sebilah pedang sebagai lambang jawatannya.
§  Biasanya pembesar dipilih secara turun temurun dalam kalangan keluarga pembesar berkenaan. Sultan hanya akan campur tangan memilih pembesar yang baru dari keturunan lain sekiranya keturunan pembesar tadi ketiadaan waris.  Ini menunjukkan pembesar hanya menjalankan peranannya di bawah kuasa raja.  Apabila raja berkuasa melantik pembesar, baginda juga mempunyai hak untuk melucutkan jawatan mana-mana pembesar.

c.        Menentukan Hubungan Diplomatik.

§  Sultan lebih aktif dalam menjalin hubungan hal ehwal luar berbanding bertindak sebagai ketua perang. Perjanjian dengan kuasa-kuasa asing tidak sah jika tidak ditandatangani oleh sultan. Selain itu, ia juga memerlukan tanda tangan 12 orang pembesar. Kebimbangan campur tangan Inggeris di Tanah Melayu menjadikan hubungan sultan dengan para pembesar kian rapat. Kehadiran British di Perak pada tahun 1875 membawa kepada perjumpaan-perjumpaan antara sultan dengan pada pembesar.
§  Namun demikian, ada juga pembesar yang menentang sultan secara halus tidak hadir dalam pertemuan seumpama ini. Misalnya pada tahun 1875 pentadbir British telah bersusah payah untuk mendapatkan tanda tangan pembesar-pembesar Perak yang tidak hadir di Pangkor dalam tahun 1874 untuk menandatangani persetiaan Melayu-Inggeris itu.

d.       Ketua Pertahanan.

§  Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera dan membuat keputusan bagi mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain. Baginda bertanggungjawab menjaga keamanan negara daripada ancaman luar. Pada tahun 1830 an-1870an di Negeri-negeri Melayu tidak terdapat peperangan luar yang serius atau ancaman perang.
§  Kedatangan British juga tidak menggunakan tentera yang besar, hanya menggunakan tentera Negeri-Negeri Selat sahaja. Oleh yang demikian, peranan sultan sebagai ketua tentera tidak menonjol pada masa ini. Malah perang saudara yang berlaku antara tahun 1865-1875 banyak melibatkan perang saudara antara pembesar-pembesar. Hanya di Pahang berlaku pemberontakan seorang pembesar tetapi sultan telah mengarahkan pembesar lain untuk menamatkan pemberontakan tersebut.

2.         Peranan dari aspek Ekonomi

a.          Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi.

§  Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan. Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya.
§  Contohnya, Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) daerah Kelang daripada Raja Mahadi. Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para pembesar negeri.

b.          Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah.

§  Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya.
§  Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contohnya di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

3.        Peranan dari aspek Sosial

a.          Lambang dan memelihara perpaduan negeri.

§  Di Negeri-negeri Melayu pada abad ke-19 terdapat beberapa faktor yang membawa kepada perselisihan dan perpecahan. Di dalam sesebuah negeri, selain Negeri Sembilan terdapat pelbagai kebudayaan yang diamalkan oleh rakyatnya.
§  Pembesar-pembesar daerah merupakan pusat-pusat kuasa tempatan. Tentangan sering berlaku dalam kalangan mereka dan mengganggu pentadbiran pusat. Malah mereka sering juga menentang sultan dan ada kalanya menentang pelaksanaan perintah raja di daerah mereka.
           
b.         Ketua agama Islam dan Adat istiadat Melayu.

§  Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya.
§  Lantaran itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu. Pada masa perayaan besar tahun Islam seperti Hari Raya Puasa, sultan akan mengadakan majlis jamuan.

Kesimpulan

§  Sultan memainkan peranan yang cukup besar sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Kedaulatan dan kedudukan seseorang raja menjadikan seseorang raja/sultan mempunyai hak yang mutlak untuk membuat semua keputusan. 
§  Pengenalan sistem Residen pada tahun 1874 di Perak, seterusnya Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah menjejaskan kedudukan kuasa sultan dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Sultan kini hanya berkuasa dalam bidang agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja, semua kuasanya yang lain dikuasai oleh Residen Inggeris.

Soalan 2: Huraikan bentuk pentadbiran masyarakat Melayu sebelum campur tangan British  di Tanah Melayu.

Pengenalan
§  Sebelum campur tangan British di Negeri-negeri Melayu pada tahun 1874, Negeri-negeri Melayu diperintah oleh Raja-raja Melayu. Sultan dan raja menduduki heirarki tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri masing-masing. 
§  Mengikut sistem pemerintahan dan pentadbiran tradisional seseorang raja  berkongsi kuasa dan peranan dengan golongan pembesar dalam menjalan dan melicinkan jentera pentadbiran. Pentadbiran di Negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British dibahagikan kepada pentadbiran peringkat negeri, daerah dan kampung.

Isi-isi Penting:

Pentdbiran Peringkat Negeri

§  Merupakan unit pentadbiran tertinggi dan terbesar. Kuasa tertinggi dipegang oleh sultan/ raja/ yang di Pertuan Besar
§  Sultan/ raja menjalankan pemerintahan dengan dibantu oleh pembesar-pembesar. Pembesar menjadi tulang belakang dalam menjalankan pentadbiran peringkat negeri. Pembesar diberi gelaran tertentu.Contohnya di Perak dibantu oleh Pembesar Berempat dan di Negeri Sembilan Yang Di Pertuan Besar dibantu oleh 4 orang Undang.
§  Sultan/raja dibantu oleh Raja Muda/Putera Mahkota
§  Perlantikan sultan/raja – sistem perwarisan takhta di kebanyakan negeri-negeri Melayu seperti Sistem penggantian bergilir di Perak dan dilantik oleh Undang Berempat di N.S
§  Sultan/raja mempunyai daulat dan tulah. Rakyat yang menderhaka akan terkena tulah..Diperkukuh dengan penggunaan bahasa dalam,warna, alat-alat kebesaran, alat muzik dan cop mohor.

Pentdbiran Peringkat Daerah

§  Unit pentadbiran yang kedua terbesar. Sesebuah negeri dibahagikan kepada beberapa buah daerah untuk memudahkan urusan pentadbiran
§  Daerah ditadbir oleh pembesar.Pembesar terbahagi kepada 2 golongan – Pembesar yang bekerja dalam istana tetapi ada kawasan pegangan dan Pembesar yang bekerja atau mentadbir daerah di luar istana. Mereka diberi surat tauliah oleh sultan dan merupakan individu yang paling taat setia kepada sultan/ raja  - contoh – Long Jaafar ( Larut )  -   Dato’ Maharaja Lela ( Pasir Salak )
§  Tugas-tugas pembesar daerah Memungut cukai dan menyerahkan sebahagian daripada cukai kepada  pusat sebagai taat setia pembesar, Menyediakan tentera, Menyediakan kerahan tenaga, Menjaga keamanan dan keselamatan masyarakat dalam daerahnya, Mengadili dan menjatuhkan hukuman kecuali hukuman bunuh kepada yang melakukann jenayah dan Menjunjung duli atau mengadap raja pada Hari Raya.
§  pembesar mempunyai pengikut atau anak buah dari kalangan masyarakat yang tinggal di kawasannya. Jumlah pengikut menentukan kedudukan dan pengaruh seseorang pembesar.

Pentdbiran Peringkat Kampung

§  Unit pentadbiran paling kecil yang Ditadbir oleh pembesar yang dilantik oleh sultan daripada kalangan keluarga baik-baik iaitu Penghulu atau Tok Kweng. Dianugerahkan surat tauliah oleh sultan.
§  Tugas-tugas penghulu: Memungut cukai, Menjaga keamanan kampung, Mengendalikan dan menyelesaikan masalah yang timbul, Membekalkan tenaga tentera semasa peperangan, Mendapatkan tenaga buruh dan Memastikan rakyat di kampungnya taat setia kepada Sultan.

 Kesimpulan
§  Sistem pentadbiran Melayu tradisional sebelum campur tangan British membuktikan satu sistem pentadbiran yang sistematik Sistem pentadbiran masyarakat melayu mengalami perubahan drastik selepas campurtangan British 1874 yang telah menghakis kuasa raja dan  pembesar-pembesar Melayu.
Soalan 3: Jelaskan konsep dan hierarki pembesar pada abad ke-19

Pendahuluan
§  Sebelum kedatangan penjajah, masyarakat melayu tradisional mempunyai system pemerin tahan yang teratur. Asas kepada sesebuah kerajaan itu ialah Raja dan raja itu menjadi tonggak kepada sesebuah kerajaan melayu.
§  Institusi beraja dalam masyarakat melayu bermula dengan kemasukan pengaruh hindu kea lam melayu yang meresap ke dalam kehidupan masyarakat tempatan. Namun ini bukanlah bermakna sebelum kedatangan pengaruh hindu, masyarakat melayu tidak mempunyai sistem pemerintahan.
Isi-isi penting
1.       Konsep
§  Merupakan golongan yang menduduki lapisan selepas raja dalam hierarki masyarakat. Membantu sultan dalam melaksanakan pentadbiran di peringakat tertentu.
§  Pembesar di institusi pemerintahan peringkat daerah ialah pembesar daerah. Pembesar daerah dibahagikan kepada beberapa lapisan yang mencerminkan kedudukan, keistimewaan, dan kuasa mereka dalam sistem politik dan masyarakat.
§  Pembesar dilantik terus oleh sultan melalui pemberian surat tauliah. Sistem pembesar digubal berasaskan Sistem Pembesar Empat Lipatan. Sistem ini didahului oleh empat orang pembesar yang utama, iaitu Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung, Laksamana.

2.       Hierarki
Bendahara
§  menasihati sultan dalam pemerintahan dan memangku jawatan sultan ketika baginda diluar negeri, merangka, mengubal dan melaksana dasar-dasar kerajaan.
§  Bendahara –pemerintah tertinggi angkatan tentera.
Temenggung
§  menguatkuasakan undang-undang dan peraturan negeri terutamanya tentang keamanan dan keselamatan negeri dan rakyat.
§  Memastikan undang-undang kerajaan dilaksanakan dengan teratur.
Laksamana
§  menguatkuasakan undang-undang dan peraturan negeri terutamanya tentang keamanan dan keselamatan negeri dan rakyat di kawasan laut dan perairan negara
§  Memastikan undang-undang kerajaan dilaksanakan dengan teratur khususnya berkenaan dengan undang-undang laut, pelabuhan, keselamatan pedagang luar dan dalam negeri.
Penghulu Bendahari
§  Penghulu bendahari menjadi ketua pemegang khazanah dan harta kerajaan, mengawasi syahbandar, bendahari, dan menyimpan daftar segala hamba.
Pembesar-pembesar yang lain
§  Pembesar Empat di bantu oleh Pembesar Lapan yang lebih rendah tarafnya. Pembesar Berlapan di bantu oleh Pembesar Enam Belas dan Pembesar Tiga Puluh Dua.
§  Sistem Pembesar di Perak berasaskan kepada sistem Empat Lipatan dengan gelaran pembesar negeri dibahagikan kepada empat peringkat iaitu, Orang Besar Empat, Orang Besar Lapan, Orang Besar Enam Belas, dan Orang Besar Tiga Puluh Dua. Orang besar lapan dan orang besar enam belas mempunyai bidang kuasa sama seperti orang besar empat Cuma kuasa mereka terhad dalam kutipan cukai, pengadilan, dan pentadbiran. Orang besar raja merupakan sekumpulan pembesar yang penting semasa berlakunya peperangan.
§  Di selangor, jawatan pembesar ialah Tok Penggawa Permatang, Tok Kelang, Dato’ Naga, dan Dato Menteri. Di negeri Sembilan mengamalkan Adat perpatih, dibahagikan kepada beberapa daerah yang dipanggil Luak. Ketua bagi setiap Luak bergelar “undang berempat” ketua bagi luak-luak lain dipanggil penghulu.
§  Sistem pembesar di Pahang mempunyai seorang Bendahara, penghulu Bendahari, dan temenggung. Orang berempat di Pahang digelar Orang Besar Indera Maharaja Perba Jelai atau tok Raja, Orang kaya indera segera temerloh, orang kaya pahlawan chenor dan orang kaya indera syahbandar.
§  Dalam sistem pembesar di Kelantan, terdapat gelaran seperti ;Tuan’ dan ‘Wan’. Pembesar yang menggunakan gelaran perdana menteri merupakan pembesar yang utama dalam sistem politik.
Penutup
§  Sistem pemerintahan sesebuah negeri dibahagikan kepada 3 unit politik. Unit politik terbesar ialah negeri yang diketuai oleh raja atau sultan atau Yang Dipertuan Besar. Baginda merupakan ketua kepada negeri itu secara keseluruhan.
§  Unit politik seterusnya ialah daerah atau jajahan. Unit politik ini diketuai oleh seorang pembesar daerah yang bukannya dari golongan kerabat diraja.
Soalan 4: Bincangkan peranan pembesar di Tanah Melayu sehingga abad ke 20.

Pengenalan
a.        Pembesar merupakan golongan kedua yang penting selepas sultan. Merupakan sekumpulan pegawai yang membantu sultan atau raja menjalankan pentadbiran di peringkat negeri dan daerah. Sistem pembesar yang diamalkan di Negeri-negeri Melayu berasaskan sistem Pembesar Empat Lipatan yang diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka. Diamalkan di negeri Melayu seperti Pahang, Perak, Selangor dan Johor. Sistem pembesar di Negeri Sembilan berbeza dengan negeri-negeri Melayu lain kerana dipengaruhi oleh Adat Perpatih.
b.       Pembesar merupaka orang kedua penting selepas sultan penasihat utama sultan. Mereka adalah orang yang sangat taat dan menjadi orang kepercayaan sultan. Diberi surat tauliah, sebilah pedang, cop mohor dan daerah pegangan

Isi Penting:

1.         Peranan Pembesar Sebelum campurtangan British

§   Sebagai pemangku sultan ketika sultan keluar negeri
§   Ketua pentadbir awam dalam semua urusan pentadbiran negeri. Menjadi tunggak sesebuah negeri bagi membantu sultan melicinkan urusan Pentadbiran dan pemerintahan.
§   Bertanggungjawab ke atas hal ehwal perhubungan luar negara
§   Mengetuai angkatan tentera semasa peperangan dan Ketua tentera laut dan mempertahankan negara daripada serangan musuh dari laut
§   Ketua polis dan menjaga keselamatan
§   Menjaga perbendaharaan negara dan mengawasi pungutan cukai
§   Ketua adat istiadat dan upacara rasmi istana terutama jamuan
§   Mengadili dan menghakimi kes-kes jenayah dan sivil kecuali hukuman bunuh
2.       Peranan Pembesar Selepas campurtangan British

§   Hilang kuasa dan hak untuk memungut cukai kerana diambil alih oleh Residen atau wakil.
§   Hilang sumber pendapatan utama. British memberi elaun/ gaji sebagai ganti rugi
§   Hilang kuasa politik sebagai penasihat sultan dalam Majlis Penasihat sultan
§   Hilang kuasa kehakiman ,diambil alih oleh Majisteret
§   Hilang kuasa mentadbir wilayah yang diambil alih oleh Pegawai Daerah British
§   Penghulu merupakan pegawai bergaji dan boleh dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke kampung lain. Hak dan tanggungjawab penghulu tertakluk di bawah undang-undang negeri

Kesimpulan

§  Berlaku penentangan kerana pembesar tidak puas hati seperti penentangan Dato’ Maharaja Lela di Perak, Dato’ Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan lain-lain. Walaupun hilang hak dan kuasa dalam politik, masih lagi berpengaruh, dihormati dan menjadi sumber rujukan utama para pengikut dan masyarakat.
Soalan 5: Huraikan peranan pembesar pada abad ke-20 sebelum kedatangan British.

Pendahuluan
§  Pembesar merupakan golongan yang menduduki lapisan selepas raja dlm hierarki masyarakat. Mereka membantu Sultan  atau Yang Dipertuan Besar dlm  melaksanakan  pentadbiran  di peringkat tertentu. Namun,mereka bukan golongan keturunan diraja.
§  Pembesar di institusi peringkat daerah atau  jajahan ialah pembesar daerah
Isi-isi penting
1.         Peranan dari aspek Politik

§  Pembesar yang menduduki hairaki yang kedua ini juga dianggap sebagai orang kanan raja atau sultan.Pembesar seperti bendahara misalnya mempunyai kuasa untuk menasihati raja atau sultan dalam melaksanakan pemerintahannya.Sultan Abu Bakar yang memerintah Johor telah melantik Jemaah Menteri untuk menasihati baginda dalam pentadbiran negeri. Pembesar juga bertugas untuk menasihati sultan berkaitan dengan penghakiman terhadap kesalahan-kesalahan jenayah dan sivil. Pembesar peringkat daerah dan kampung juga bertanggungjawab menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah kecuali hukuman mati.
§  Pembesar  juga berkuasa melantik bakal pengganti atau menentukan putera mahkota, menentukan bakal permaisuri dan menentukan lokasi istana. Di negeri Sembilan, empat orang Undang dari Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol berhak melantik sesiapa sahaja daripada kerabat diraja untuk menjadi Yam Tuan Besar.
§  Malahan, terdapat juga pembesar-pembesar peringkat istana yang terlibat secara langsung dalam penggubalan undang-undang negeri. Pembesar peringkat istana seperti Penghulu Bendahari pula berperanan penting dalam hal ehwal istana terutama dalam adat-istiadat diraja. Penghulu Bendahari juga akan mengetuai upacara adat-istiadat istana dan diraja.
§  Biasanya, pembesar-pembesar akan dianugerahkan daerah pentadbiran masing-masing. Sebagai contohnya, Ngah Ibrahim telah dianugerahkan kawasan pegangan yang menjadi kawasan pemakanannya di Daerah Larut, Perak. Tanggungjawab mereka sangat besar terhadap daerah jajahannya. Mereka akan memastikan keamanan,kesejahteraan dan kebajikan semua penduduk dalam daerah jajahannya. Mereka juga akan melaporkan kepada sultan berkaitan dengan semua perkara yang berlaku di daerah jajahannya. Malahan segala amanat daripada sultan akan disampaikan oleh pembesar kepada anak-anak buahnya dalam daerah jajahannya. Pembesar daerah dan kampung juga bertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal peperangan, ketenteraan dan pertahanan.Mereka menyedia dan membekalkan tenaga tentera untuk mempertahankan negara dan memperluaskan wilayah.  Pembesar daerah  memperoleh hak memerintah sesebuah kawasan melalui surat tauliah daripada sultan atau Yang Dipertuan Besar. Kawasan pentadbiran pembesar ini dikenali sebagai ‘kawasan pegangan’ yang merupakan anugerah daripada sultan kerana jasa dan perkhidmatan cemerlang mereka atau menjadi pentadbir daerah atau jajahan.
§  Pembesar memainkan peranan penting dlm bidang politik. Mereka merupakan golongan yang memonopoli segala kuasa politik dlm kerajaan  sehingga mempunyai kuasa utk  melantik raja. Misalnya, empat orang Undang di Negeri Sembilan Undang Jelebu, Undang Rembau, Undang Johol dan Undang Sungai Ujong akan melantik Yang Dipertuan Besar.
§  Pada pertengahan abad  ke-19,  peranan pembesar semakin menonjol dan mereka mempunyai cap mohor sendiri dlm melaksanakan tugas. Mereka mempunyai hubungan erat dgn rakyat. Oleh demikian, pembesar ibarat ‘Jambatan’ yang menghubungkan  rakyat dgn pemerintah. Pembesar juga berperanan dalam menjatuhkan hukuman terhadap kes-kes jenayah di daerah mereka. Namun,hukuman mati hanya boleh dijatuhkan oleh sultan.

2.         Peranan dari aspek Sosial

§  Golongan pembesar menjadi penghubung antara sultan dengan rakyat.Titah perintah raja juga akan disampaikan kepada rakyat melalui pembesar.Biasanya pembesar peringkat kampung merupakan pembesar yang paling rapat dengan rakyat jelata.Selain menjaga kebajikan rakyat,pembesar juga akan memastikan mereka taat setia kepada sultan.Pembesar juga akan mengerahkan rakyat untk menjadi buruh secara percuma bagi membina istana,membuka tanah dan membina kapal. Golongan pembesar juga wajib melaksanakan istiadat menjunjung duli kepada raja dengan bersedia memberi khidmat kepada raja apabila diperlukan.Istiadat ini akan dilakukan di balairung seri apabila menghadap dan menyembah sultan.
§  Pembesar bertanggungjawab menjaga kebajikan anak buah dan memastikan seluruh masyarakat di kawasannya taat  sultan.
§  Pembesar menjadi hakim dlm sesuatu perbicaraan bagi menyelesaikan  perselisihan anak buah di daerah jagaanya.
§  Pembesar dikehendaki membekalkan tenaga buruh utk membina istana baharu, kapal utk sultan, panggung atau pentas serta perhiasan istana utk sesuatu perayaan. Pembesar melaksanakan tugas tersebut melalui sistem kerah di kawasannya.

3.         Peranan dari aspek Ekonomi

§  Para pembesar seperti syahbandar pula bertanggungjawab untuk memastikan urusan perdagangan dalam negeri berjalan lancar.Mereka menentukan timbangan dan sukatan yang betul.Mereka juga memastikan kebajikan dan keselamatan golongan pedagang di gudang dan pelabuhan-pelabuhan. Malahan penggunaan mata wang dalam urusan perdaganagn akan dipantau oleh pembesar. Laksamana pula akan bertanggungjawab menjaga perairan daripada pencerobohan lanun dan keselamatn para pedagang di perairan.
§  Dari segi ekonomi, pembesar lebih berkuasa daripada sultan. Mereka menguasai hasil perlombongan bijih timah dan menjalankan kegiatan  perlombongan melalui sistem serah dan sistem kerah. Mereka memperoleh sumber pendapatan lumayan yang mampu menyara anak buah mereka. Didapati bahawa ada dlm kalangan pembesar yang lebih berkuasa dan berwibawa di daerah masing-masing berbanding dgn sultan.
§  Para pembesar juga membantu membangunkan ekonomi negeri. Mereka memastikan urusan perdagangan dlm negeri berjalan lancar. Mereka menentukan timbangan dan sukatan yg betul. Misalnya, Jemaah Menteri Perbendaharaan di Kelantan mengendalikan harta benda dan hasil mahsul negeri. Pembesar juga menjalankan kegiatan perdagangan tetapi dgn izin sultan. Namun, mereka tdk terlibat secara langsung kerana mereka hanya mengeluarkan modal. Urusan perdagangan dijalankan oleh wakil-wakil yang dilantik.
§  Pembesar berperanan sebagai pemungut cukai bagi pihak sultan. Mereka diberi surat tauliah oleh sultan untuk memungut cukai. Pembesar Daerah dan kampung juga akan memastikan semua rakyat dalam daerah kekuasaannya akan membayar cukai bagi pihak sultan.Contohnya,di negeri Perak, pembesar mengenakan cukai terhadap barangan yang dibawa melalui Kuala Kinta.$12.50 sen bagisetiap pikul kulit haiwan dan $ 4.00 untuk setiap bahara bijih timah. Setiap tahun pembesar akan menghantar ‘Orang Kalur’untuk melawat kampung bagi mengutip cukai sebanyak 50 sen bagi satu keluarga sebaga tanda kekuasaan bendahara. Lazimnya, sebahagian  daripada hasil pungutan cukai  akan digunakan dan sebahagian lagi akan diserahkan kepada sultan sebagai lambing kesetiaan.
§  Para pembesar juga menguasai sumber ekonomi seperti hasil galian dan hasil hutan serta hasil eksport yang lain.Mereka menggunakan tenaga serah dan kerah untuk memperoleh hasil-hasil tersebut. Terdapat juga pembesar yang melibatkan diri dalam kegiatan perdagangan. Walaupun begitu mereka tidak terlibat secara langsung sebaliknya menjadi pengeluar modal dengan izin sultan.Perniagaan dan perdagangan pembesar diuruskan oleh wakil-wakilnya atau ‘orang kiwi’.
Penutup
§  sebelum campur tangan British di Negeri-negeri Melayu ,golongan pembesar Melayu mempunyai kuasa politik,ekonomi dan sosial yang tiada batasnya.Namun kekuasaan mereka tidaklah melebihi kekuasaan raja atau sultan.Peranan mereka sangat penting dalam sistem politik Melayu. Namun,campurtangan British secara rasmi pada tahun 1874 dan pengenalan sistem residen telah menjejaskan kedudukan  pembesar melayu dari aspek politik, ekonomi dan sosial.
§  Sistem pemerintahan sesebuah negeri dibahagikan kepada 3 unit politik. Unit politik terbesar ialah negeri yang diketuai oleh raja atau sultan atau Yang Dipertuan Besar. Baginda merupakan ketua kepada negeri itu secara keseluruhan. Unit politik seterusnya ialah daerah atau jajahan. Unit politik ini diketuai oleh seorang pembesar daerah yang bukannya dari golongan kerabat diraja. Di dalam struktur masyarakat Melayu tradisional, golongan yang diperintah berperanan   mengukuhkan kedudukan golongan pemerintah.

18 ulasan:

  1. Terima kasih...maklumat sangat berguna

    BalasPadam
  2. Ok tp saya harapkn boleh lebih spesifik kn kpd negeri negeri di tanah melayu

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Maklumat ini sangat berguna. Saya sedang menjalankan satu kerja kursus Sejarah yang bertajuk Sistem Pemerintahan di Tanah Melayu. Bolehkah cikgu-cikgu memperkenalkan rujukan yang bertentangan dan berguna? Terima kasih atas bantuan.

    BalasPadam
  5. banyakkan sikit kepada negeri selangor

    BalasPadam
  6. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  7. hi cikgu
    saya telah mengguna nota cg untuk sem 2 amat berkesan

    BalasPadam