Isnin, 3 Februari 2014

1.1 Masyarakat Jahiliah

1.1    Masyarakat Jahiliah


Soalan 1 : Huraikan konsep dan struktur masyarakat Jahiliah

Pengenalan

§  Zaman jahiliah ialah zaman sebelum Islam. Zaman jahiliah wujud selepas keruntuhan kerajaan Saba’. Pada masa itu, tiada nabi yang di utus dan tiada kitab suci daripada Allah  SWT untuk dijadikan petunjuk. Pada masa yang sama, tiada ciri-ciri ketamadunan atau pembangunan fizikal yang melambangkan peradaban yang tinggi.

§  Lebih tepat, zaman jahiliah muncul selepas kejatuhan kerajaan Saba’ peringkat ketiga dan peringkat terakhir pemerintahan Himyar pada tahun 300 dan berakhir setelah turunnya kitab suci al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w pada tahun 610. Dalam tempoh 3 abad itu, masyarakat arab jahiliah dikatakan mengalami keruntuhan akhlak, agama, politik, ekonomi, sosial dan ilmu pengetahuan.

Isi-Isi Penting:

Konsep Jahiliah

§  Jahiliah berasal dari kata akar Jahala dan kata terbitan Jahlun atau Jahlatun yang bermaksud bodoh dan sesat. Berdasarkan al-Quran, ciri-ciri Jahiliah dapat dirumuskan kepada empat, iaitu: Zaman yang tidak mempunyai Nabi dan kitab suci sebagai petunjuk, Masyarakatnya tidak mempunyai peradapan dan tamadun, Masyarakatnya tidak berakhlak, angkuh dan bongkak serta masyarakatnya jahil kerana tidak boleh membaca dan menulis.

§  Pendapat  P.K  Hitti bahawa masyarakat arab jahiliah hanya jahil dari segi kepercayaan dan agama tetapi maju dari segi ilmu pengetahuan dan tamadun.

§  Pendapat orientalis barat P.K Hitti mengenai makna Jahiliah dapat  disangkal dan dipersoal.Ini kerana kerajaan Saba’ pada zaman kegemilanganya (pada zaman pemerintahan Ratu Balqis) telah menerima ajaran Nabi Sulaiman a.s dan Allah SWT menganugerahkan kerajaan Saba’  sebagai “negeri yang makmur dan mendapat pengampunan Tuhan” (surah Saba, ayat 15)

§  Setelah kerajaan ini ingkar kepada Allah SWT, maka kerajaan ini diturunkan bala oleh Allah SWT  dan mengalami kejatuhan.

Struktur Masyarakat Arab Jahiliah

§  Masyarakat Arab jahiliah mengamalkan sistem susun lapis masyarakat yang jelas. Masyarakat arab jahiliah mengamalkan sistem berkabilah. Kabilah merupakan unit sosial yang mengawal sistem pentadbiran masyarakat pada zaman Jahiliah. Penyatuan masyarakat berkabilah adalah berdasarkan pertalian darah atau keturunan. Setiap kabilah mempunyai nama dan kemegahan dan dipertahankan melalui semangat asabiyyah yang tinggi.

§  Oleh kerana semangat asabiyyah yang tinggi, kabilah telah berperang sesama kabilah dan peperangan ini berlanjutan pada masa yang singkat mahupun pada masa yang panjang seperti perang al-Basus di antara Kabilah Bakar dan Kabilah Taghlib. Sekiranya kabilah lain dapat menewaskan kabilah lain, maka anggota kabilah yang tewas akan dijadikan hamba abdi atau tebusan untuk keluarga mereka.

§  Ketua kabilah dikenali sebagai ‘Syeikh’ dan haruslah mempunyai  ciri-ciri kepimpinan dari segi kepintaran,berani pemurah dan berupaya mempengaruhi anggota-anggota kabilahnya. Seorang  syeikh sangat dihormati oleh anggota kabilahnya. Walau bagaimanapun, tabiat masyarakat jahiliah pada umumnya lebih suka hidup bebas tanpa kekangan mana-mana pihak dan peraturan.

§ Masyarakat Jahiliah yang mengamalkan semangat asabiyyah yang tinggi menyebabkan peperangan dan perbalahan berlaku dan seterusnya membawa kepada  perpecahan dan kemunduran. Kesannya masih dirasai sehingga hari ini.

Kesimpulan:

§ Zaman jahiliah merupakan zaman kegelapan dalam masyarakat di Semenanjung Tanah Arab. Hal ini ditandai kemunduran yang dialami oleh masyarakat Arab sama ada dari segi sosial, politik, agama, ekonomi dan ilmu pengetahuan.

Soalan 2 (a): Sejarawan Islam dan Barat berbeza pendapat tentang Masyarakat Jahiliyah sebagai masyarakat yang bertamadun.  Bincangkan.

Pengenalan

  • Pengertian Jahiliah berasal dari perkataan Jahala terbitan daripada perkataan Jahlatun yang bermaksud sesat dan bodoh. Masyarakat ini telah bermula apabila jatuhnya kerajaan Saba’ dan Himyar pada tahun 300 M sehingga bermulanya kerasulan nabi Muhammad SAW pada tahun 620 M di Makkah dan Madinah.
  • Menurut Islam, masyarakat ini merupakan masyarakat  yang tidak bertamadun manakala menurut Sarjana Barat iaitu PK Hitti dalam bukunya “History of the Arab” masyarakat ini adalah bertamadun berdasarkan hujah-hujah yang dinyatakan. Terdapat beberapa percanggahan pendapat di antara sejarawan Islam dan Barat tentang ketamadunan Masyarakat Jahiliyah.

Isi-isi Penting: 

1. Aspek Agama

Sejarawan islam mengatakan bahawa  Masyarakat Arab Jahiliyah tidak bertamadun kerana mereka tidak mempunyai nabi dan kitab sebagai petunjuk kepada sesuatu masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana tiada seorang nabi atau rasul mahupun kitab yang wujud untuk menjadi panduan hidup kepada masyarakat Arab Jahiliyah. 

- Manakala sarjana Barat berpendapat bahawa masyarakat Arab Jahiliyah bertamadun tetapi hanya jahil dari segi agama dan akhlak sahaja. Sarjana barat menganggap kejahilan dalam agama dan akhlak tidak mempengaruhi dalam mewujudkan ketamadunan. Oleh itu, kedua-dua sarjana mempunyai pendapat yang tersendiri untuk menentukan Masyarakat Arab Jahiliyah sebagai masyarakat yang  bertamadun dalam aspek agama.

2. Aspek Politik

- Sejarawan Islam berpendapat bahawa pentadbiran sedia ada tidak tersusun dan hanya bergantung kepada Kabilah yang terkuat menjadi ketua. Kabilah merupakan sekumpulan masyarakat yang menguasai sesebuah tempat di Semenanjung Tanah Arab. Kabilah terdiri daripada 2 anggota iaitu gelaran “Syeikh” akan diberikan kepada pemimpin dan orang-orang yang dipimpinnya. 

- Manakala sarjana barat berpendapat bahawa masyarakat Arab sudahpun mempunyai struktur pemerintahan dan pentadbiran yang tersusun dengan perlantikan Ketua. Sistem kabilah yang ada menunjukkan terdapat sistem pemerintahan di dalam Semenanjung Tanah Arab. Walaupun sistem tersebut tidak mempunyai pemerintah yang tetap, namun sarjana barat berpendapat sistem kabilah mampu mentadbir Tanah Arab. Tuntasnya, sejarawan Islam menganggap sistem kabilah tidak mempunyai struktur pemerintahan yang ketara untuk menunjukkan ketamadunan manakala sarjana barat menganggap kewujudan sistem tersebut menunjukkan ketamadunan

3. Aspek ekonomi

sejarawan Islam megatakan bahwa masyarakat Arab Jahiliyah mengamalkan riba dan suka menipu untuk mengaut keuntungan. Perniagaan yang dilakukan oleh Masyarakat Arab Jahiliah tidak adil dan saksama. Hal ini dikatakan demikian kerana sikap masyarakat Arab yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata. 

- Namun, sejarawan sarjana barat. mengatakan bahawa wujudnya sistem ekonomi. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya pembeli dan penjual pada zaman tersebut. Kewujudan keadaan pembeli dan penjual menyebabkan wujudnya sistem ekonomi di Tanah Arab. Kegiatan ekonomi mencapai tahap tertinggi iaitu terlibat dalam kegiatan pertanian, penternakan, pertukangan dan perusahaan kecil, perniagaan dan perdagangan seperti di Syam dan Yaman.

4. Aspek ilmu dan pendidikan 

- Bagi masyarakat Arab Jahiliyah, mereka tidak mempunyai pengetahuan dalam menulis dan membaca bagi perkembangan ilmu, pendidikan dan intelektual sesebuah masyarakat bagi pendapat sejarawan Islam . Mereka juga berpendapat bahawa masyarakat Arab Jahiliah tidak mempunyai tamadun yang merangkumi ciri-ciri perkembangan sesebuah tamadun. 

- Manakala bagi Sarjana Barat pula, masyarakat Arab Jahiliah mempunyai ilmu pengetahuan dalam karya-karya sastera seperti bersajak dan bersyair. Buktinya, mereka mempunyai karya-karya sastera puitis yang dipertandingkan dan dilekat pada dinding kaabah. Terdapat juga pertandingan syair pada masa tersebut. Tegasnya di sini, ilmu pengetahuan bagi masuarakat Arab Jahiliah ialah bersyair dan bersajak

5. Aspek sosial

- Hal ini dikatakan demikian kerana akhlak dan etika pada masyarakat Arab Jahiliah pada masa tersebut tidak mematuhi sebagaimana yang digariskan dalam norma-norma sosial sesebuah masyarakat dan sistem sosial yang tersusun. 

- Manakala, sarjana barat pula mengatakan bahawa sosial semasa masyarakat Arab Jahiliah tersusun. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat mempunyai pemerintah dan diperintah. Sebagai contoh, sistem kabilah yang sedia ada menunjukkan struktur masyarakat yang jelas. Jelaslah di sini bahawa sistem sosial masyarakat Arab Jahiliah menunjukkan dua-dua belah yang berbeza daripada sejarawan Islam dan sarjana Barat.

Penutup

  • Kesimpulannya, terdapat percanggahan pendapat dengan Sarjana Islam tentang konsep dan ciri-ciri Jahiliyah. Sarjana Barat pula berpendapat bahawa masyarakat Arab Jahiliah bertamadun. Al-Quran diturunkan untuk memandu manusia kepada ketamadunan dan menamatkan Zaman Jahiliah. 
  • Nabi Muhammad S.A.W merupakan Nabi yang membawa agama Islam dan Al-Quran dan Sunnah dijadikan sebagai panduan. Hasilnya, Nabi Muhammad S.A.W menjadi pemimpin yang teragung semasa pemerintahannya.

Soalan 3. Masyarakat Arab Jahiliah di Tanah Arab merupakan masyarakat yang bertamadun. Jelaskan penyataan tersebut.

Pengenalan

  • Masyarakat jahiliah merupakan masyarakat yang menetap di Semenanjung Tanah Arab. Zaman jahiliah bermula selepas daripada keruntuhan kerajaan Saba’ apabila empangan Ma’arib runtuh. Konsep masyarakat jahiliah boleh didefinisikan sebagai jahil, bodoh dan sesat. Jahiliah juga merujuk kepada kejahilian dalam aspek kerohanian, keagamaan, kemanusiaan dan keilmuan. Zaman   jahiliah  wujud   selepas  keruntuhan  kerajaan  Saba’ peringkat  ketiga   dan   peringkat  terakhir  pada   pemerintahan  Kerajaan Himyar   pada  tahun  300  masihi.  
  • Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa masyarakat jahiliah ini bertamadun dalam kehidupan seharian mereka iaitu pandangan daripada Sarjana Barat seperti P.K Hitti dalam bukunya ‘History of the Arab’ dan sarjana-sarjana Barat yang lain. Sarjana Barat menyatakan bahawa ketamaduanan masyarakat Arab Jahiliah di Tanah Arab adalah merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial.

Isi-isi penting:

1. Kemajuan dalam bidang politik dan pentadbiran

  • Masyarakat Arab mempunyai sistem pentadbiran yang sistematik dan tersusun. Sebahagian daripada mereka ini telah menetap di kawasan bandar telah mempunyai ketua bagi negara kota seperti Makkah dan Madinah. Manakala di kawasan luar bandar dan pedalaman turut mempunyai ketua kabilah mengikut suku dan kabilah masing-masing. Sistem pentadbiran mereka sudah tersusun mengikut ketua-ketua kabilah yang telah dilantik dalam Majlis Kabilah. ketua kabilah dipilih dan dilantik daripada kabilah-kabilah yang kuat dan wajib dihormati oleh setiap kabilah yang lain. 
  • Sebagai contoh, ketua di Makkah adalah dari Bani Hasyim yang terkenal sebgai kabilah yang disegani. Ketua negara kota Makkah pada masa pemerintahan Bani hasyim adalah seperti Abdul Mutalib bin Hasyim. Manakala dari aspek politik pula dapat dilihat dari ketamadunan yang tinggi seperti wujudnya kerajaan-kerajaan yang hebat seperti Tamadun Nabatean, Himyar dan Sabak. Kerajaan-kerajaan ini telah maju dan cemerlang dalam pentadbiran, ketenteraan dan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain.

2. Kemajuan dalam bidang pertanian

  • Masyarakat Arab telah bergiat aktif dalam bidang pertanian sebelum zaman Islam lagi. Sebahagian daripada mereka ini telah menetap di kawasan bandar dan mahir dalam bidang pertanian. Keadaan ini menyebabkan mereka mampu mendapatkan hasil pertanian yang melimpah ruah. Antara jenis tanaman yang ditanam adalah seperti zaitun dan delima. 
  • Dalam usaha bidang pertanian ini mereka juga telah mempelajari teknik pertanian di Syam seperti mengenalpasti kesesuaian tanah, kesuburan dan teknik penanaman untuk pertanian yang tertentu. Tegasnya, kemajuan dalam bidang pertanian menjelaskan mereka telah bertamadun.

3. Kemajuan dalam bidang penternakan

  • Masyarakat Arab telah bergiat aktif dalam bidang penternakan. Sebahagian daripada mereka ini telah menetap di kawasan bandar dan luar bandar. Mereka mampu menjalankan aktiviti menternak binatang seperti kambing dan biri-biri. 
  • Bagi masyarakat Badwi mereka berkhemah di lembah yang mempunyai takungan air bagi memajukan usaha ternakan dan tanaman. Daripada binatang ternakan ini, mereka mendapat bekalan makanan seperti daging, susu, dan keju. disamping itu, mereka memanfaatkan kulit bindatang untuk membuat khemah, pakaian dan bekas menyimpan air. Jelasnya, kemajuan dalam bidang penternakan menggambarkan  ketamadunan masyarakat Arab Jahiliah.

4. Kemajuan dalam bidang perdagangan

  • Masyarakat Arab juga telah bergiat aktif dalam bidang perdagangan. barangan dagangan diangkut dengan menggunakan unta kerana haiwan ini mampu membawa bebanan yang berat dan tahan berjalan berhari-hari di padang pasir. 
  • Destinasi perdagangan oleh kafilah-kafilah dagang adalah seperti di Makkah, Yaman, dan Syam. Barangan dagangan adalah seperti minyak wangi, rempah, kulit binatang dan hasil-hasil pertukangan.  Tegasnya, kemajuan dalam bidang perdagangan menunjukkan mereka yang telah menunjukkan bahawa mereka telah bertamadun.

5. Kemajuan dalam bidang pertukangan dan perusahaan kecil

  • Masyarakat Arab telah tinggal di kota, lazimnya akan menjalankan urus niaga dan perusahaan kecil kerana kemahiran mereka dalam aspek pertukangan. Mereka berkumpul dan berniaga menerusi tempat yang telah ditetapkan seperti di Pasar Suk Ukaz dan Zul Majaz. 
  • Terdapat pelbagai urus niaga dijalankan seperti pertukangan dan perusahaan patung-patung berhala, tenunan dan barangan keperluan seharian mereka. Tegasnya, kemajuan dalam bidang perusahaan kecil menggambarkan ketamadunan masyarakat Arab Jahiliah.

6. Kemajuan dalam percukaian

  • Terdapat juga yang mengaut keuntungan melaui pemungutan hasil cukai yang dikenakan terhadap pedagang-pedagang yang melalui kawasan mereka. Hasil cukai perdagangan hanya diperoleh penduduk Makkah dan Yamamah kerana kedua-duanya terletak di pertengahan jalan perdagangan di antara Yaman di selatan semenanjung Tanah Arab, Syam dan Hirah di utara semenanjung Tanah Arab. Kemajuan dalam bidang percukaian menunjukkan ketamadunan masyarakat Arab Jahiliah.

7. Kemajuan dalam ilmu pengetahuan 

  • Selain itu, mereka juga maju dalam ilmu pengetahuan.  Ini kerana, kebanyakan dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliah mahir dalam ilmu lautan, perjalanan di laut, bintang-bintang yang dijadikan sebagai petunjuk untuk  menempuh kegelapan perjalanan di darat atau di laut. 
  • Malah mereka juga mahir dalam mencipta kompas. Kompas ini akan memudahkan pelayaran mereka untuk berdagang dari satu tempat ke tempat yang lain. Tegasnya, masyarakat Arab Jahiliah adalah bertamadun kerana maju dalam ilmu pengetahuan seperti mahir dalam ilmu geografi. 

8. Kemajuan dalam bidang kesusasteraan

  • Hal ini kerana, masyarakat Arab Jahiliah telah menjadikan syair, pidato dan puisi sebagai elemen penting dalam kehidupan mereka. Pertandingan syair sering dianjurkan dan akan disertai oleh para pensyair terkemuka. 
  • Penyair yang berjaya akan mendapat penghormatan besar dan karya-karya mereka akan ditulis dengan tinta emas dan akan ditampalkan di kaabah. Jelaslah, ini membuktikan bahawa masyarakat Arab Jahiliah pernah mencapai ketamdunan tinggi dalam bidang kesusasteraan.

9. Kemajuan dalam bidang seni bina 

  • Kemajuan ini juga merupakan aspek ketamadunan masyarakat Arab Jahiliah. Masyarakat ini mempunyai kemahiran yang tinggi dalam seni bina. Mereka  berjaya membina rumah-rumah penyembahan, kubu-kubu peperangan dan istana-istana terutamanya peninggalan pemerintah kerajaan Saba’ dan Himyar. 
  • Orang-orang Arab Saba’ di Yaman pernah membina empangan Maarib dan sebuah tempat menyimpan air berdekatan dengannya. Empangan ini bukan sahaja berkemampuan mencegah banjir malah dapat mengairi kawasan-kawasan ladang sehingga menjadi sebuah kawasan pertanian yang subur dan menyumbang kepada kemewahan kepada penduduk Saba’.

Penutup

  • Kesimpulannya, masyarakat Arab Jahiliah juga adalah masyarakat yang bertamadun iaitu dalam aspek pertanian, ilmu pengetahuan, kesusasteraan dan kepercayaan. Kemajuan dalam bidang pertanian merupakan aspek utama yang mampu menjadikan sistem ekonomi dalam negara menjadi stabil dan kerkembang luas sehingga di luar tanah Arab. 
  • Oleh itu segala pencapaian ketamdunan berkenaan dapat menafikan tuduhan yang mengatakan masyarakat Arab Jahiliah ini tidak bertamdun. Kelahiran Islam melalui utusan Nabi Muhammad SAW iaitu penurunan Al-Quran  telah   menamatkan   zaman  jahiliah dan mengubah corak kehidupan masyarakat  Arab secara keseluruhannya.  

Soalan 3 (b). Semangat assabiyah adalah penting dalam peradaban Arab Jahiliah sebelum kedatangan Islam. Huraikan penyataan tersebut.

Pengenalan

  • Semangat assabiyah merujuk kepada sikap fanatik kepada sesuatu puak atau bangsa secara melampau sehingga menjangkau batasan pemikiran yang waras dan batasan agama. Sikap fanatik kepada bangsa atau puak merupakan fitrah semula jadi dan telah wujud bersama kewujudan manusia di bumi ini. Sebelum kedatangan Islam, umat manusia berada di dalam keadaan berpecah belah dan hanya terikat di antara mereka dengan semangat kesukuan, kepuakan dan Asabiyah. 
  • Mengikut P.K Hitti, beliau telah memberi pengertian bahawa masyarakat Arab Jahiliah adalah satu masyarakat Arab yang telah mencapai tahap tamadun yang tinggi kecuali dari aspek social dan akhlak. Masyarakat Arab mempunyai ini mempunyai corak kehidupan yang tersendiri. Terdapat kepentingan semangat assabiyah dalam masyarakat ini yang dapat dilihat dari aspek politik, ekonomi dan sosial.

Isi-isi Penting:

1. Memupuk perasaan setiakawan dalam kalangan kabilah. 

  • Semangat asabiyah ini terjalin rapi dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliah. Hal ini kerana masyarakat Arab mengamalkan sistem Khabilah. Sistem Kabilah merupakan unit sosial yang mengawal sistem pentadbiran pada zaman Jahiliah. Penyatuan masyarakat berkabilah adalah berdasarkan pertalian darah dan keturunan. 
  • Sebagai contoh, setiap Kabilah mempunyai nama dan kemegahan. Nama dan kemegahan ini dipertahankan menerusi semangat assabiyah. Jelaslah bahawa mereka mengamalkan kehidupan masyarakat yang tertutup, mempunyai perasaan setia kawan yang tinggi dan tidak menerima suku-suku Arab yang lain. Mereka juga memandang hina kabilah yang lain. 

2. Melahirkan semangat sedia berkorban dalam kabilah 

  • Seseorang individu dalam kabilah mestilah sanggup menolong dan menuntut bela jika berlaku sesuatu kepada anggota dalam kabilahnya. Mereka sanggup berperang untuk mempertahankan kabilahnya dan sentiasa mempunyai tanggapan bahawa setiap individu mempunyai pertalian darah dan wajib mempertahankan kabilah mereka. Contohnya jika terdapat anggota kabilah yang dibunuh oleh anggota kabilah lain, mereka mesti segera menuntut bela tanpa perlu menyelidik terlebih dahulu sebab musabab pembunuhan tersebut. Mereka mesti menuntut bela tanpa mengira salah atau benarnya anggota kabilah yang dibunuh itu. 
  • Terbuktilah bahawa, semangat sedia berkorban yang tinggi dalam kalangan anggota kabilah menyebabkan mereka tidak mengira kebenaran sesuatu perkara. Apa yang lebih penting adalah, mereka dapat mempertahankan setiap anggota dalam kabilah mereka. Mereka juga sanggup menuntut bela demi mempertahankan maruah diri dan kabilah mereka.

3.  Memupuk penghormatan yang tinggi kepada Syeikh 

  • Dalam sistem kabilah setiap suku. Unit paling asas dalam sistem kabilah adalah seseorang individu. Seterusnya diikuti oleh unit keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak yang tinggal dalam satu khemah. Beberapa buah khemah akan membentuk kumpulan atau hayy dan beberapa hayy akan membentuk satu kaum, setiap kaum inilah akan membentuk kabilah. Wakil daripada kaum-kaum yang membentuk kabilah ini akan melantik seorang ketua atau syeikh untuk mengetuai kabilah mereka. Syeikh haruslah mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan pintar mempengaruhi anggota-anggota kabilahnya. 
  • Oleh itu, Syeikh sangat dihormati dan ditaati. Seseorang individu atau anggota kabilah hendaklah patuh kepada Syeikh kerana beliau mempunyai kedudukan yang tinggi. Contohnya Syeikh akan mempengerusikan Majlis Kabilah. Syeikh turut bertanggungjawab menyelesaikan masalah dalam kabilahnya, membuat perjanjian dengan kabilah-kabilah lain, melayan tetamu dan memberi perlindungan. Jelaslah bahawa, Syeikh begitu penting dalam struktur organisasi kabilah dan diletakkan di tahap yang tinggi dan sangat dihormati oleh kabilahnya.

4. Mementingkan kemenangan dalam peperangan

  • Dalam zaman masyarakat asabiyah, sering kali berlaku peperangan antara kabilah. Peperangan yang berlaku bertujuan untuk meningkatkan pengaruh,kekuasaan dan kekayaan sesuatu kabilah. Setiap peperangan biasanya bermula secara kecil-kecilan kerana sebab bertelagah mengenai sempadan, perebutan sumber air dan padang rumput, mempertahankan anggota suku atau kabilah atau kerana menuntut bela kematian ahli suku yang dibunuh oleh suku lain. 
  • Contohnya, Perang Harb al-Basus antara Bani Bakar dan Bani Taghlib. Apabila selesai peperangan, timbul pula perasaan saling berdendam sehingga tercetusnya peperangan demi peperangan yang tiada kesudahan. Malah rasa jika ada kaum lain yang datang dan berlindung, maka kaum pendatang itu akan dianggap sebagai hamba atau orang bawahan mereka. Sikap inilah yang terus-menerus membawa kepada pertelingkahan dalam kalangan mereka. Jelas bahawa, semangat asabiyah yang tinggi telah berjaya membina tembok dalam kalangan masyarakatnya. Sikap sombong dan saling ingin menguasai akhirnya membawa kepada situasi yang tidak aman dalam kalangan masyarakat Jahiliah.

Penutup

  • Kesimpulannya, kehidupan masyarakat Arab Jahiliah yang berdasarkan semangat assabiyah menjadi punca perbalahan dan peperangan berlaku sesama mereka sehingga membawa kepada perpecahan dan kemunduran. 
  • Keadaan ini telah membawa kepada kehidupan masyarakat jahiliah yang mundur dan terpesong dari nilai-nilai dan akhlak yang tinggi dalam kalangan masyarakat mereka. Kelahiran Islam melalui penurunan Al-Quran  telah   menamatkan   zaman  jahiliah dan mengubah corak kehidupan masyarakat  Arab secara keseluruhannya.   

Soalan 3 (c): Huraikan ciri-ciri masyarakat Arab Jahiliah

Pendahuluan

§  Pengertian Jahiliah berasal dari perkataan Jahala terbitan daripada perkataan Jahlatun yang bermaksud sesat dan bodoh. Zaman jahiliah berlangsung selama kira-kira 300 tahun di Semenanjung Tanah Arab. Zaman ini bermula setelah runtuhnya Empangan Maarib dalam kerajaan Saba’ pada sekitar tahun 300M dan berakhir setelah turunnya al Quran serta  Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul pada tahun 610M.

§  Menurut Islam, masyarakat ini merupakan Masyarakat  Yang Tidak Bertamadun manakala menurut pandangan Barat masyarakat ini adalah bertamadun berdasarkan hujah-hujah yang dinyatakan.

Isi-Isi Penting:

1.     Dari aspek sosial  masyarakat jahiliah adalah berasaskan sistem kabilah. Masyarakat jahiliah sangat rendah moralnya. Kaum wanita dipandang rendah sehingga amalan menanam bayi perempuan hidup-hidup menjadi kebiasaan. Kaum wanita dianggap sebagai pembawa sial dan hanya dijadikan sebagai pemuas nafsu. Golongan hamba pula dianggap golongan bawahan dan dijadikan sebagai barang dagangan.

2.     Dari aspek politik pula, masyarakat jahiliah tidak mempunyai struktur politik yang sistematik. Masyarakat jahiliah hidup berasaskan kabilah.  Setiap kabilah diketuai oleh seorang syeikh iaitu individu yang sangat dihormati. Walaupun mempunyai ketua tetapi setiap keputusan bergantung kepada ketetapan bersama. Kabilah-kabilah ini kental dengan semangat asabiyah iaitu sikap kesukuan dan bermegah dengan kabilahnya. Semangat asabiyah ini kerap menimbulkan persengketaan dan peperangan antara kabilah.

3.     Dalam bidang ekonomi pula, kegiatan pertanian, penternakan dan perdagangan menjadi sumber utama. Kegiatan pertanian dan penternakan biasanya dijalankan oleh masyarakat  Arab Badwi yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, kegiatan pertanian dan penternakan ini sukar berkembang pesat kerana cara hidup berpindah-randah yang diamalkan oleh masyarakat Arab Badwi. Perdagangan dijalankan secara sistem barter. Amalan riba dan penipuan berlaku secara meluas.

4.     Dari aspek agama dan kepercayaan, masyarakat jahiliah mengamalkan pelbagai jenis agama dan kepercayaan. Sebahagian besar daripada masyarakat jahiliah  mengamalkan agama Wathani iaitu menyembah berhala. Antara berhala yang terkenal ialah al-Uzza, al-Lata dan al-Manat yang dianggap mempunyai kuasa. Masyarakat jahiliah turut menganut agama seperti Majusi, Hanif  sereta mengamalkan kepercayaan karut atau khurafat seperti memuja kubur, pokok bukit dan sebagainya.

5.     Dari aspek ilmu pengetahuan pula, masyarakat  jahiliah dianggap masyarakat yang tidak memiliki ilmu pengetahuan tinggi.

Kesimpulan

§  Secara umumnya, zaman jahiliah merupakan zaman kegelapan dalam masyarakat di Semenanjung Tanah Arab. Hal ini ditandai kemunduran yang dialami oleh masyarakat Arab sama ada dari segi sosial, politik, agama, ekonomi dan ilmu pengetahuan.

Soalan 4: Bincangkan ciri-ciri kehidupan  masyarakat arab pada zaman  Jahiliah

Pengenalan

     Definisi jahiliyah (dari segi bahasa):Bererti bodoh dan sesat. Definisi jahiliyah oleh P.K. Hitti menyatakan mereka hanya jahil dari segi agama sahaja, bukan dari segi ilmu pengetahuan. Alasannya ialah zaman tersebut tiada nabi dan kitab sebagai petunjuk. Ciri-ciri jahiliyah (mengikut al-Quran): Zaman yang tidak mempunyai nabi dan kitab suci sebagai petunjuk. Zaman yang tidak mempunyai peradaban  @ tamadun. 

     Zaman masyarakatnya tidak berakhlak, angkuh dan bongkak serta zaman masyarakatnya jahil kerana tidak boleh menulis dan membaca. Era/jangka masa zaman jahiliyah: Berlaku  selama 3 abad iaitu apabila berakhirnya kejatuhan kerajaan Saba’ peringkat ketiga @ peringkat akhir Himyar. Sekitar tahun 300M hingga turun Al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w pada tahun 610M. Terdapat beberapa ciri kehidupan masyarakat Arab pada zaman Jahiliyah.

Isi-isi Penting:

1. Aktiviti pertanian

- Hal ini dikatakan demikian kerana selepas keruntuhan empangan Maarib di Yaman, berlaku ketidakstabilan politik dan kemerosotan ekonomi masyarakat Arab. Kebiasaannya kegiatan pertanian dan penternakan biasanya dijalankan oleh puak Badwi yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, kegiatan pertanian dan penternakan ini sukar berkembang pesat. 

- Pengeluaran pertanian di selatan Semenanjung Tanah Arab merosot dengan teruk akibat tiada sistem pengairan yang baik. Aktiviti pertanian terhad, hanya tertumpu di kawasan subur yang mempunyai oasis seperti di Yaman. Jelaslah bahawa ciri utama dalam kehidupan masyarakat Arab Jahiliyah ialah aktiviti pertanian.

2. Kegiatan perdagangan. 

- Aktiviti perdagangan berlaku antara selatan dengan utara. Perdagangan dua musim iaitu musim sejuk di Yaman dan musim panas di Syam dan pada musim haji tertumpu di Makkah. Sebagai contoh, Orang Arab menjalankan aktiviti perdagangan di kota Makkah, Hirah dan Ghassan. Kegiatan perdagangan selalunya dilakukan oleh orang Hadhari kerana puak Hadhari lebih luas dalam pergaulan dan hidup aman damai dan bersatu padu. Terdapat rombongan perdagangan dalam bentuk kumpulan yang dikenali sebagai kafilah. 

- Perdagangan dijalankan dalam sistem barter. Barang dagangan utama ialah bijiran, wangi-wangian, rempah ratus, gaharu, berhala dan sebagainya. Tegasnya, orang Hadhari lebih cenderung untuk melakukan perdagangan berbanding orang Badwi yang sering melakukan aktiviti pertanian

3. Aktiviti penternakan

- Kegiatan utama bagi puak Badwi ialah mereka melakukan penternakan secara nomad. Hal ini dikatakan demikian kerana puak Badwi lebih suka untuk hidup berpindah randah ataupun nomad berbanding dengan puak Hadhari yang lebih cenderung untuk menetap di sesuatu kawasan.Binatang ternakan juga mudah untuk berpindah randah seperti unta, kambing dan biri-biri. 

- Mereka  berpindah randah untuk mencari kawasan rumput dan air bagi binatang ternakan mereka. Binatang ternakan menunjukkan status kekayaan.Namun, ekonomi masyarakat Quraisy tidak berkembang kerana permusuhan yang ketara antara golongan yang kaya dengan miskin 

4. Melakukan rompakan

- Puak Badwi melakukan rompakan ke atas kafilah-kafilah perdagangan kaum bangsawan Quraisy. Rompakan menjadi pekerjaan utama selain melakukan pertanian dan perdagangan. Masyarakat Arab menganggap aktiviti rompakan merupakan pekerjaan yang mulia dan dipandang tinggi. Hal ini menyebabkan masyarakat Arab sering bertelagah dan tidak amanah dalam melakukan perdagangan seharian. 

- Perdagangan yang dilakukan oleh puak Hadhari tetap berterusan walaupun puak Badwi sering melakukan rompakan. Hal ini dikatakan demikian kerana puak Hadhari tidak berpindah randah dan boleh bergaul dengan lebih luas. Justeru, aktiviti rompakan menjadi kebiasaan sehingga menjadikan ianya sebagai ciri utama dalam memerihalkan kehidupan masyarakat Arab Jahiliyah

5. Semangat Assabiyyah. 

- Semangat Assabiyyah merupakan semangat kesukuan yang menebal. Assabiyyah merujuk kepada konsep semangat persaudaraan. Mereka mempunyai perasaan setiakawan atau assabiyah yang sentiasa terjalin rapi. Hal ini menyebabkan berlakunya peperangan apabila berlaku pertelingkahan antara dua belah kabilah. Peperangan antara kabilah juga bertujuan untuk mencari nama, kuasa, pengaruh dan harta benda sebagai lambang kemegahan kabilah mereka. Peperangan antara mereka sering melibatkan 2 atau banyak suku dan memakan masa yang lama walaupun disebabkan oleh perkara kecil sahaja. 

- Contoh peperangan yang berlaku ialah Perang Basus antara kabilah Bakr dengan Rabi’ah. Tuntasnya, semangat persaudaraan ini menjadi negatif apabila semangat ini mula menebal sehinggakan dapat menimbulkan kesetiaan dan fanatisme yang melampau  

Penutup

- Kesimpulannya, kehidupan masyarakat Arab Jahiliyah dalam  sosial dan ekonomi penuh dengan kejahilan dan kesesatan. Kehidupan harian yang dipenuhi dengan rompakan menyebabkan sering berlakunya pergaduhan yang lama. 

- Hal ini memberikan kesan yang mendalam kepada ketamadunan masyarakat Arab Jahiliyah untuk berkembang dan maju dalam semua sektor. 

- Oleh itu,  Allah Taala telah melantik Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul untuk menyebarkan agama Islam ke seluruh bumi Arab dan seluruh dunia.

Soalan 5: Bincangkan sistem agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam.

Pendahuluan:

§  Kepercayaan merujuk kepada pegangan atau keyakinan terhadap kewujudan kuasa ghaib yang mampu memberi perlindungan atau manfaat kepada seluruh kehidupan manusia. Pada zaman Jahiliyah atau sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab Jahiliyah mengamalkan dua jenis kepercayaan iaitu kepercayaan agama dan adat. Kepercayaan agama dikaitkan dengan unsur suci, upacara-upacara keagamaan, penyembahan dan mempunyai Tuhan masing-masing. Kepercayaan adat pula merupakan kepercayaan tahyul dan tradisi lama masyarakat yang diwarisi sejak turun temurun daripada nenek moyang mereka.

§  Masyarakat arab Jahiliyah mempunyai dua bentuk kepercayaan iaitu kepercayaan agama Samawi (Langit) yang diturun Allah melalui nabi-nabi tertentu dan mempunyai kitab dan agama Ardhi (agama ciptaan) yang direka sendiri oleh manusia.

Isi-isi penting:

1. Agama Hanif

§  Agama peninggalan nabi Allah Ibrahim a.s dan anaknya nabi Ismail a.s. Ia diturunkan di kota Makkah dan penganutnya di gelar Hunafa. Tidak disertakan kitab tetapi Suhuf. Penekanan agama ini kepada mengesakan Tuhan yang satu. Agama ini mengambil kaedah aT-Thahannuth iaitu amalan-amalan kegamaan menurut peraturannya. Antara amalannya bersembayang, berpuasa dan tawaf mengelilingi kaabah.

§  Agama ini mengalami proses penyelewengan dari sumber asalnya setelah sekian lama kewafatan nabi Ibrahim a.s dan nabi Ismail a.s. Zaman ini dicampur adukkan dengan penyembahan berhala sehingga terdapat segelintir sahaja yang mengekalkan agama asalnya seperti Waraqah Bin Naufal, Usman Bin Huarith, Abdullah bin Jahsy, Zaid Bin Amru dan Umayyah Abis Salt.

2. Agama Nasrani

§  Disebut juga agama Masihi dan diturunkan di Baitul Muqaddis melalui nabi Isa a.s. melalui kitab Injil. Ia berkembang di Najran, Ghassan dan di kalangan kabilah Arab Bani Taghlib, Bani Qadaah dan Bani Rabiah.

§  Terdapat tiga mashab iaitu Ya’kubiah di Mesir dan Habsyah, Nasturiah di Hirah dan Farsi dan Malkani di Maghribi dan Andalusia. Tidak popular dikalangan masyarakat arab kerana persaingan sengit diantara mazhab terlalu spiritual sehingga sukar difahami.

3. Agama Yahudi

§  Diturunkan di Palestin melalui nabi Musa a.s berserta kitab Taurat. Diamalkan di Madinah, Taima, Khaibar dan Yaman. Juga terdapat dikalangan Kabilah Badwi Kinanah, Bani Namir, Bani al-Harith dan Bani Kandah.

§  Berbaur sentimen perkauman. Anti kepada penganut agama lain. Terseleweng kerana beranggapan diri mereka sebagai anak Tuhan dan manusia paling mulia di dunia.

4. Agama Wathani (Berhala)

§  Diamalkan majoriti masyarakat Arab. Mereka menyembah pelbagai patung pelbagai saiz daripada kayu, batu dan tepung. Mereka jadikan berhala-berhala ini sebagai pengantara mendekatkan diri dengan tuhan. Berhala-berhala ini dikatakan mampu memberikan manfaat dan mudarat.

§  Antara jenis berhala yang terkenal ialah al-Latta, al-Manat, al-Uzza dan Hubal. Di Makkah ketika itu terdapat 360 berhala yang diletakkan sekitar Kaabah.  Berhala-berhala ini dimiliki setiap kabilah misalnya suku Kinanah memiliki berhala Saad yang terletak di tepi pantai Jeddah. Suku Maznah memiliki berhala Nuhum dan suku Hawazin memiliki berhala Zulkhalasah.

5. Agama Majusi.

§ Agama penyembahan alam persekitaraan khususnya matahari dan api. Agama ini agak lama dan kabur. Para pendetanya wajib menyembah matahari sebanyak 4 kali sehari termasuk menyembah bulan, air dan api.

§  Tuhan mereka dua iaitu Tuhan baik (Cahaya) dan Tuhan jahat (gelita).  Agama ini mengizinkan perkahwinan antara ibu dengan anak atau adik dengan kakak sendiri.

6. Penyembahan Cakerawala

§  Mereka percaya bahawa cakerawala di langit adalah sumber segala tenaga dan kekuatan.

§  Penganutnya terdapat di Utara dan Selatan Tanah Arab. Mereka beranggapan bahawa matahari sebangsa dengan malaikat, bulan dan bintang bergantung kepada belas kasihan matahari sebagai Tuhan lelaki dan bulan sebagai Tuhan perempuan.

7. Kepercayaan Aninisme

§  Mempercayai bahawa setiap objek disekeliling manusia mempunyai kuasa tertentu yang boleh mempengaruhi kehidupan manusia. Kepercayaan ini diamalkan oleh masyarakat Badwi. Mereka menyembah objek-objek ganjil seperti pokok-pokok, batu-batu besar, Wadi, kawasan bekas memerah susu kambing dan sebagainya. 

§  Objek sembahan mereka adalah objek-objek mati dan bukan ciptaan manusia.

 8. Kepercayaan Adat

§  Ia merupakan warisan tradisi masyarakat arab Jahiliyah yang kekal dalam sistem sosiobudaya. Menghalang perbuatan membunuh ular kerana kebimbangan ular membalas dendam. Meyakini pemakaian azimat boleh menguatkan pemakainya. Roh si mati boleh menjadi seekor burung Hammah.

§  Contoh kepercayaan adat seperti mempercayai alamat yang ditunjukkan oleh burung sebelum keluar dari rumah.

Kesimpulan

§      Sebelum kedatangan Islam masyarakat Arab mengamalkan kepercayaan polytheisme. Namun, selepas kedatangan Islam khususnya zaman Rasulullah, ajaran Islam berjaya menghapuskan kejahilan tersebut dan mengarahkan masyarakat Arab kepada meyakini akidah Tauhid iaitu mengesakan Allah.

§  Agama berhala dapat ditamatkan. Bagaimanapun agama-agama lain masih di amalkan seperti agama Yahudi dan Nasrani atas sifat keterbukaan dan kebebasan beragama. Antara penekanan dalam ajaran Islam yang di bawa oleh Rasululah ialah aspek Akidah, Akhlak, Ibadah dan Syariah.

Soalan 6 (a): Huraikan golongan masyarakat yang terdapat di Makkah dan Madinah sebelum  kedatangan Islam.
                                                                                    Pendahuluan

§  Nama asal Makkah ialah “Makaroba”  diubah kepada “Bakah” dan akhirnya kepada Makkah. Sebelum kedatangan Islam, Makkah telah berkembang sebagai pusat perdagangan, ibadat dan kebudayaan. Sebelum hijrah Nabi Muhammad s.a.w, Madinah dikenali sebagai Yathrib. Kota ini terletak 500 km dari Makkah dan merupakan bandar kedua terpenting di Hijaz. Madinah subur dengan pertanian dan berada di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam di Utara dan Makkah di selatan.

§  Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Makkah dan Madinah dikenali sebagai masyarakat Jahiliah.

Isi-isi penting:

1. Golongan Masyarakat Di Makkah

§ Penduduk terawal kota Makkah sekitar 2400 tahun dahulu didiami oleh puak Amaliqah dan seterusnya puak Jurhum. Pada waktu inilah Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya Nabi Ismail telah membina kaabah di Makkah. Kemudian Bani Khuzaah berjaya menguasai pemerintahan kota Makkah selama tiga tahun.

§  Sekitar abad ke-5 M kota Makkah diperintah oleh kaum Quraisy dibawah pimpinan Qusay bin Qilab. Di bawah pemerintahan kaum Quraisy, kota Makah menjadi pusat ibadah dan pusat perdagangan. Kaum Quraisy merupakan satu kelompok besar daripada keturunan Arab Adnaniyah. Mereka berasal dari Fihr. Perkataan quraisy berasal dari kata taqarrasya yang bererti penyatuan sempena kejayaan Qusay bin Kilab menyatupadukan kaum Quraisy di Makkah. Kota Makkah merupakan  kota yang bebas daripada pengaruh Byzantine

§  Puak Quraisy yang masyhur di Makkah - Bani Hasyim, Bani Umaiyah Bani Yazqah, Bani Adi dan Bani Taym. Tokoh-Tokoh yang masyhur seperti Nabi Muhammad s.a.w (Bani Hasyim), Muawiyah Bin Abu Sufyan (Bani Umaiyah) Khalid al Walid (Bani Makhzum), Abu Bakar al-Siddiq (bani Taym) dan Umar al-Khattab (Bani Adi). Kaum Quraisy yang tinggal di pingir kota Makkkah dikenali sebagai Quraisy al-Zawahir. Mereka terkenal dengan tentera yang gagah bertugas mengawal kota Makkah. Mereka juga disebut Arab Badwi

§  Kaum Quraisy al-Bitah pula menetap di bahagian tengah kota Makkah. Mereka melibatkan diri dalam bidang pentadbiran, ekonomi dan politik. Dikenali sebagai Arab Hadari Perebutan kuasa yang berlaku antara anak-anak Qusay bin Kilab menyebabkan kaum Quraisy berpecah kepada dua puak yang bertentangan iaitu Abd al-Dar dan Abd Manaf. Abd al-Dar disokong oleh Makhzum, adi dan Sahm. Sementara Abd Manaf disokong oleh Asad, Taym dan zuhrah. Puak-puak yang berpecah ini kemudiannya berpecah pula kepada puak-puak yang lebih kecil.

2. Golongan Masyarakat Di Madinah

§  Penduduk awal Madinah di katakan berketurunan Arab. Setelah itu tiba pula kaum Yahudi dan kaum Arab dari Selatan Semenanjung Arab. Pada amnya mereka terbahagi kepada dua kelompok bangsa iaitu bangsa Arab dan Yahudi dan daripada setiap itu pula terbahagi kepada beberapa puak dan sub suku. Kaum Arab asli Madinah tidak diketahui asal usul mereka dan tidak pula disebutkan oleh sumber-sumber Arab tentang suku dan nama anggotanya.

§  Puak Arab yang baru tiba dibahagi kepada 2 kelompok besar iaitu kaum Aus dan Khazraj atau dikenali dengan nama bani Qailah. Daripada kelompok besar ini berpecah kepada beberapa kelompok suku atau bani. Jika dilihat kepada jumlah suku ternyata suku Khazraj adalah lebih besar dan lebih berpengaruh daripada suku Aus.

§  Penyatuan kuasa Aus dan Khazraj menyebabkan kaum Yahudi berasakan tidak puas hati dan mereka bertindak memecah belahkan perpaduan kaum Aus dan Khazraj dengan melaga-lagakan mereka. Puak Yahudi yang sememangnya merancang untuk memecah belahkan orang Arab.

§  Kaum Yahudi Berasal dari Palestin. Terdapat lebih 20 suku kaum Yahudi yang tinggal di Madinah. Antara suku kaum tersebut hanya 3 yang terkenal dan berpengaruh iaitu Bani Qunaiqa, bani Nadhir dan Bani Quraizah. Bani Qainuqa merupakan kaum Yahudi yang paling ramai dan terawal sampai ke Madinah . Mereka menetap di di kawasan barat daya berhampiran Musalla yang melibatkan diri dalam aktiviti perdagangan dan pertukangan. Memihak kepada kaum Khazraj. Bani Nadhir merupakan kaum Yahudi kedua mendiami Madinah. Mereka telah melarikan diri dari Palestin kerana menghadapi tekanan daripada tentera Rom. Mereka menjalani kehidupan yang agak berasingan dari petempatan Arab dan bertutur dalam loghat mereka sendiri. Mereka menetap di Bukit al-Nadhir. Terlibat dengan aktiviti pertukangan, pertanian dan perniagaan. Mereka pengikut kepada kaum Aus ketika berlaku perselisihan antara Aus dan Khazraj.

§  Bani Quraizah tiba agak lewat dan terbahagi kepada 2 suku iaitu Bani Ka’ab dan Bani Amru. Mereka tinggal di luar kota Madinah iaitu di bahagian selatan di wadi Mahzur dan terlibat dalam aktiviti pertanian. Kehidupan mereka agak mewah antara bani-bani yang lain. Memiliki perlatan senjata dan makanan yang encukupi. Bani ini juga memihak kepada kaum Aus dalam perbalahan antara Aus dan Khazraj.

Kesimpulan

§       Sebelum kedatangan Islam latar belakang masyarakat di Kota Makkah lebih kepada semangat assabiyah dan juga pelbagai keturunan Arab sehingga akhirnya mewujudkan kepada kekuasaan Kaum Quraisy yang menimbulkan tuntutan untuk berkuasa.

§   Di madinah pula, pelbagai kaum dan keturunan yang setentunya memerlukan seorang pemimpin yang berwibawa untuk memimpin mereka

Soalan 6 (b). Bandingkan budaya kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenannjung Tanah Arab pada abad ke-6 masihi. 

Pendahuluan

-      Jahiliah dari segi bahasa bermaksud bodoh dan sesat . Definisi jahiliyah oleh P.K. Hitti berpendapat bahawa mereka hanya jahil dari segi agama sahaja bukan dari segi ilmu pengetahuan. Hal ini kerana mereka beralasan bahawa zaman tersebut tiada nabi dan kitab sebagai petunjuk. 

-    Zaman jahiiah jugak merupakan zaman yang tidak mempunyai peradaban iaitu tidak berakhlak,angkuh dan bongkak. Mereka jugak adalah masyarakat yang tidak boleh menulis dan membaca. Oleh itu, terdapat beberapa perbandingan budaya kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab pada abad ke-6 masihi.

Isi-isi Penting:

Aspek persamaan

            Persamaan kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab pada abad ke-6 masih ialah semangat assabiyah.  Masyarakat Arab Badwi dan Hadhari tertakluk daam sistem berkabilah. Dalam kabilah mereka selalu berlaku peperangan antara kabilah yang bertujuan untuk mencari nama,kuasa,pengaruh dan harta benda sebagai lambang kemegahan kabilah mereka. Peperangan antara mereka sering melibatkan 2 atau banyak suku. Contoh, Perang Basus antara Kabilah Bakr dengan Rabiah. Maka jelaslah bahawa dari segi politik adalah persamaan budaya kehidupan masyarakat Arab Badwi dengan Arab Hadhari di Semenanjung Tanah Arab.

      Selain itu, persamaan kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab ialah dari segi ekonomi. Masyarakat Arab Hadhari dan Arab Badwi mengamalkan kegiatan ekonomi pertanian. Selepas keruntuhan empangan maarib di Yaman telah menyebabkan ketidakstabilan politik dan kemerosotan ekonomi masyarakat Arab Hadhari manakala masyarakat Arab Badwi pula pengeluaran pertanian mereka merosot kerana tiada sistem pengairan yang baik. Aktiviti  pertanian mereka terhad dan hanya tertumpu di kawasan yang subur yang mempunyai oasis. Mereka juga menternak haiwan. Contohnya, unta, kambing dan biri-biri. Maka terbuktilah bahawa ekonomi adalah salah satu persamaan kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab.

             Seterusnya, persamaan kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab ialah dari segi kepercayaan dan agama. Masyarakat Arab Badwi dan Hadhari mengamalkan kepercayaan agama wathani. Mereka menyembah patung yang pelbagai saiz diperbuat daripada kayu,batu dan tepung. Mereka menjadikan berhala-berhala ini sebagai pengantara mendekatkan diri dengan tuhan kerana berhala-berhala ini dikatakan mempu memberi manfaat dan mudarat. Di Makkah ketika itu terdapat 360 berhala yang diletakkan sekitar Kaabah. Setiap berhala dimiliki oleh setiap kabilah iaitu suku Kinanan memiliki berhala Saad, suku Maznah memiliki berhala Nuhum. Contoh jenis berhala yang terkenal ialah al-Latta, al-Manat, al-Uzza dan Hubal. Jelaslah bahawa kepercayaan dan agama adalah  persamaan kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab .

Aspek perbezaan

            Perbezaan budaya kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab pada abad ke-6 masihi ialah dari segi sosio-politik. Kabilah yang terkuat akan diangkat menjadi ketua kota-kota dalam struktur pemerintahan masyarakat Hadhari. Mereka tertakluk kepada sistem berkabilah yang berlandaskann pertalian darah dan keturunan. Contoh, Bani Hashim diangkat sebagai ketua Makkah. Manakala masyarakat Arab Badwi tidak mempunyai struktur politik yang jelas kerana sentiasa hidup secara nomad dan tidak menetap lama dalam sesuatu kawasab bergantung dengan punca oasis. Maka sudah terang lagi bersuluh bahawa sosio-politik ialah  Perbezaan budaya kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab pada abad ke-6 masihi.

            Disamping itu, aktiviti harian juga adalah perbezaan budaya kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab. Masyarakat Arab Hadhari menjalankan aktiviti perdagangan di Kota Makkah, Hirah dan Ghassan. Aktiviti perdagangan berlaku antara selatan dan utara iaitu perdagangan dua musim iaitu musim sejuk di Yaman dan musim panas di Syam dan pada musim haji tertumpu di Makkah.Perdagangan dijalankan dalam sistem barter. Contohnya barangan utama dagangan ialah bijirin,rempah ratus dan berhala. Manakala masyarakat Arab Badwi pula sering melakukan rompakan ke atas kafilah-kafilah perdagangan kaum bangsawan Quraisy. Rompakan merupakan satu pekerjaan yang utama dan mulia bagi mereka. Tegaslah bahawa aktiviti harian juga adalah perbezaan budaya kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab

            Selanjutnya, perbezaan budaya kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab ialah petempatan. Hal ini kerana struktur masyarakat Arab terbahagi kepada dua iaitu masyarakat Arab badwi yang tinggal di bandar manakala masyarakat Arab hadari yang tinggal di padang pasir.  Keadaan tempat yang berbeza mempengaruhi corak kehidupan dan kebudayaan kedua-dua masyarakat ini. Contohnya, kehidupan masyarakat hadhari yang tinggal menetap di sesuatu tempat berbanding masyarakat Arab badwi yang hidup secara nomad iaitu berpindah randah. Petempatan utama masyarakat Hadhari adalah kota-kota seperti Makkah, Madinah, Syam dan Yaman telah dijadikan pusat kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat Arab dalam melaksanakan aktiviti seharian mereka. Maka tegaslah bahawa petempatan ialah perbezaan budaya kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab.

Penutup

        Kesimpulannya, kehidupan masyarakat Arab jahiliah dalam sosial dan ekonomi penuh dengan kejahilan dan kesesatan. Persamaan budaya kehidupan masyarakat Arab Badwi dan Hadhari di Semenanjung Tanah Arab ialah semangat assabiyah, ekonomi dan kepercayaan agama manakala perbezaannya ialah petempatan, sosio-politik dan aktiviti harian. Menjelang kedatangan Islam di Tanah Arab, Allah SWT telah melantik Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul untuk menyebarkan agama Islam ke seluruh bumi Arab dan seluruh dunia. Peradaban Islam telah membawa kepada kebaikan dan kehidupan masyarakat yang lebih baik dan bertamadun.

25 ulasan:

  1. Penerangan tentng zmn jahililah yg dibuat amat padat ngn fakta ....ni dpr membntu sy utk mnjwwb exam esok.heheheh

    BalasPadam
  2. penjelasan yang sangat baik,penuh dengar fakta dan sangat membantu saya. terima kasih kerana membuat blog ini

    BalasPadam
  3. Isi kandungannya sgt baik tetapi di sini tiada kesimpulan yg jelas dan nyata yg dimana semua topik diringkaskan menjadi seperti karangan tetapi ianya rumusan.😊

    BalasPadam
  4. cikgu saya nak isi2 ttg kepentingan semangat assabiyah dalam peradaban Arab Jahiliah sebelum kedatangan Islam...

    BalasPadam
  5. Huraikan ketamadunan masyarakat arab pada zaman jahiliah .
    Kalau soalan mcmni cikgu , isi apa yg sy prlu tulis & apa yg sy nk crita dkt pngenalan ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Soalan mcm ini calon hanya menjawab ketamadunan jahiliah dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Aspek politik spt mempunyai politik mengikut kabilah, mempunyai ketua pemerintah dan telah mempunyai sistem pertahanan.

      Dari aspek ekonomi spt menjalankan kegiatan perdagangan, mempunyai pasar2 suk Ukaz dan Jul Majaz, mempunyai mata wang

      Aspek sosial spt semangat aasabiyah yg tinggi, menghormati tetamu dan mempunyai hasil2 karya

      Padam
  6. Cikgu..bleh x sya nk request satu soalan yg saya xfahm lgik mcm mna nk huraikn dlu...soalannya ialah
    1) Sejauhmanakah masyarakat Arab jahiliyah dikatakan masyarakat yang tidak mempunyai peradaban tamadun.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Klu sejauh manakah soalan ini calon hendaklah jawab maayarakat arab jahiliah sbg tdk bertamadun dan hurai juga mereka adalah masyarakat yg bertamadun.. Mesti jawab kedua2 aspek baru lah menjawab kehendak soalan

      Padam
  7. Blog in sangat bagus kepada murid stpm supaya dapat meningkatkan pengetahuan dalam bab jahiliyah

    BalasPadam
  8. Thanks cikgu. Sangat membantu. Kalau boleh tolong saya untuk buat kesimpulan kecil bagi setiap perenggan. Saya kurang arif huhu.

    BalasPadam
  9. Thanks cikgu. Sangat membantu. Kalau boleh tolong saya untuk buat kesimpulan kecil bagi setiap perenggan. Saya kurang arif huhu.

    BalasPadam
  10. Esei ini sangat membantu pelajar stpm..esei ini memudahkan saya untuk score markah

    BalasPadam
  11. Tambah esei perbezaan masyarakat hadari n badwi

    BalasPadam
  12. Terima kasih ckgu.. Esei ini sangat mmbantu sy dlm mengarang..

    BalasPadam
  13. hai cikgu. bole ka sy request soalan utk jawapnnya.
    1.Huraikan ketamadunan masyarakat Arab pada zaman jahiliah

    BalasPadam
  14. Hi cg, boleh sy request soalan untuk jawapannya.
    Soalan:Bincangkan faktor-faktor kepelbagaian agama dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat arab jahiliah.

    BalasPadam