Khamis, 2 Mei 2019

Sejarah dan budaya etnik Brunei di Sabah


Pengenalan

        Etnik Brunei ini adalah salah satu etnik yang pertama sekali menetap di Kampung Sim-sim, Sandakan selain etnik Suluk dan Sungai. Masyarakat Brunei telah lama menetap di Sandakan dan kebanyakan petempatan mereka adalah di kampung Sim-sim Sandakan sekitar tahun 1940-an. Tambahan pula, etnik Brunei ini bukan sahaja menetap di Kampung Sim-sim ,malah banyak juga tempat-tempat lain mereka diami. Di kalangan orang Brunei, perkahwinan merupakan satu perkara terpenting dalam kehidupan mereka. Perkahwinan merupakan satu proses hidup yang mesti dilalui oleh semua orang, baik lelaki atau perempuan tanpa mengira taraf dan darjat. Perkahwinan bertujuan membentuk komuniti kecil dalam rumahtangga selain memenuhi keperluan naluri manusia sebagai suami dan isteri 1.Menurut responden di atas,perkahwinan etnik Brunei lebih kurang sama dengan perkahwinan kaum Melayu.

Sejarah dan Latar belakang etnik Brunei di  Sandakan

    Menurut maklumat asal usul etnik Brunei ini sangat berkait rapat dengan sejarah Kesultanan Brunei. Sebelum kedatangan penjajah British di Sabah, Sabah merupakan salah satu jajahan takluk Kesultanan Brunei. Oleh sebab itulah terdapatnya etnik Brunei di Sabah. Sabah mula terpisah dengan Kesultanan Brunei pada 11 0gos 1865 apabila konsul Amerika, Charles I Moses menubuhkan ‘American Trading Company’ di Kimanis, Sabah 2

        Masyarakat Brunei masa kini juga amat sinonim dengan agama Islam.Akan tetapi, sebelum mereka menerima agama Islam, mereka dipercayai menganut agama Hindu-Buddha. Masyarakat Brunei terdiri daripada berbagai-bagai peringkat atas golongan yang ditentukan oleh adat yang sudah disemai sejak dulu lagi. Mengikut kajian awal D.E.Brown, susunan lapis masyarakat Brunei terdiri daripada raja-raja atau bertaras iaitu anak kepada raja dan seterusnya anak-anak Raja dan Pengiran-pengiran.Selepas itu,ampuan iaitu taraf ampuan serupa golongan pengiran.Awang merupakan salah satu struktur lapis masyarakat Brunei. Rakyat, sakai dan hamba iaitu ulun-ulun juga merupakan struktur lapis masyarakat entik Brunei 3 .

Susun lapis masyarakat Brunei ini sudah wujud sejak abad ke-16 lagi. Walaubagaimanapun, jelas dilihat daripada pembahagian yang dibuat oleh D.E. Brown itu, di mana masih kurang jelas kerana pembahagiannya masih bercampur aduk di antara satu dengan yang lain. Adalah lebih baik pembahagiannya itu dibuat dalamdua kategori besar iaitu golongan yang terdiri daripada kerabat diraja, pengiran-pengiran dan pehin-pehin iaitu pehin-pehin merupakan golongan  yang menerima gelaran. 

     Seterusnya, golongan yang terdiri daripada rakyat biasa yang hidup di bawah pemerintahan golongan atasan. Golongan ini merupakan golongan yang berpendapatan sederhana. Golongan ini kalau diistilahkan dalam masyarakat tradisi,merupakan golongan yang taat kepada raja. Ditinjau daripada skop masyarakat Brunei, golongan raja dan rakyat tersusun dengan begitu rapi, menjiwai struktur politik, sosial dan ekonomi.Dengan jalinan adat tradisional, mereka yang dikenal sebagai golongan bangsawan adalah mereka yang terdiri daripada golongan kerabat diraja , pengiran-pengiran dan pehin-pehin. Golongan ini merupakan golongan yang mempunyai kuasa dalam adat istiadat yang memonopoli penuh dalam pemerintahan tradisi. 

       Golongan ini juga dianggap elit yang berkuasa sebelum dan selepas merdeka 4.Golongan atasan iaitu golongan raja teratas merupakan golongan yang terdiri daripada golongan bangsawan yang dikenali sebai kerabat diraja berketurunan asal dan pengiran-pengiran.Mengikut kajian D.E. Brown, golongan ini pada abad ke-18, dianggarkan sebanyak 500 orang. Keterangan ini kurang jelas berbanding dengan bilangan penduduk Brunei ketika itu .

Mengikut ramalan yang dibuat oleh beiau di Kampung Ayer yang mendapat kira-kira 2000 orang bangsawan.Istilah golongan pengiran merupakan gelaran yang diberikan kepada golongan bangsawanyang biasanya mereka terdiri daripada kerabat diraja. Sementara golongan pengiran yang bukan keturunan bangsawan dipanggil ‘Pengiran Kebanyakan. Mereka ini juga merupakan golongan pengiran yang tidak dikenal lagi jurai keturunan mereka daripada keturunan asal.Keadaan ini wujud adalah disebabkan oleh perkembangan masa,penduduk dan sosial. Golongan ampuan pula merupakan golongan yang mempunyai status sosial yang agak tinggi juga dalam masyarakat. 

        Mengikut D.E.Brown, golongan ini mempunyai berbagai-bagai masalah daripada asal keturunan mereka. Walaubagaimanapun merekaini digolongkan juga dalam kategori orang bangsawan pada akhir abad 195. Golongan kedua atau golongan rakyat biasa.Golongan ini merupakan golongan yang terbanyak dalam masyarakat Brunei.Lebih tegas lagi mereka tidak  yang tidak mempunyai apa-apa gelaran seperti di atas. Secara umumnya orang Brunei memanggil golongan biasa ini dengan panggilan ‘awang’ bagi lelaki dan ‘dayang’ bagi wanita 6.

Perkembangan adat perkahwinan etnik Brunei di Sandakan

Merisik

            Adat perkahwinan bagi setiap etnik adalah berbeza iaitu dari segi persiapan mahupun majlis persandingan.Bagi etnik Brunei,adat perkahwinan dimulai dengan merisik. Dalam etnik Brunei,istiadat bermula dengan menghantar seorang wakil atau utusan ke rumah gadis yang hendak dipinang,dan wakil tersebut tidak melebihi dua orang serta wakil itu yang boleh dipercayai. 

  Tujuan merisik ini dalah untuk bertanyasama ada anak perempuannya sudah dirisik orang ataupun sudah mempunyai teman lelaki.Jika belum,wakil itu akan menyatakan kepada ibu bapa perempuan tersebut bahawa satu rombongan akan datang ke rumahnya dengan tujuan ‘bersuruh’.Merisik tidak dilakukan dengan upacara yang khusus, tetapi terserah kepada kebijaksanaan wakil pihak lelaki sama ada melalui senda-gurau, sindir-menyindir atau sengaja ‘bedudun’ iaitu bertandang ke rumah perempuan tesebut7.

      Upacara merisik ini masih dikekalkan dalam adat perkahwinan etnik Brunei kerana ini merupakan langkah yang pertama dalam tradisi mereka. Walaubagaimanapun, upacara merisik ini adalah sama dengan etnik lain dalam adat perkahwinan. Upacara ini masih dikekalkan sehingga kini.

Bersuruh/Meminang

Apabila kepastian daripada merisik sudah diperoleh, pihak lelaki akan menghantar rombongan yang terdiri daripada beberapa orang tua,lelaki dan perempuan dengan maksud bersuruh,iaitu upacara peminangan.Lazimnya,kedatangan rombongan ini tidak diberitahu dan dilakukan pada waktu malam selepas maghrib.Rombongan lelaki menyatakan maksudnya untuk meminang anak perempuan tuan rumah .Jawapan persetujuan atas penolakan tidak diberikan kepada waktu itu tetapi akan memakan tempoh beberapa hari. Jika pihak perempuan tidak memberikan jawapan dalam tempoh  tiga hingga tujuh hari bermakna peminangan itu tidak diterima.

        Pihak perempuan tidak perlu memberitahu secara rasmi kepada pihak lelaki.Walaupun pihak lelaki sudah sedia maklum bahawa pinanganitu akan diterima,namun demikian syarat menghantar wakil ini perlu dilakukan sebagai pintu untuk membuka kira-bicara. Ada beberapa aspek dan kriteria yang selalu menjadi perhatian dalam pemilihan iaitu paras rupa, sopan-santun, tingkah-laku, adab-sopan, pelajaran,dan kerajinan mengurus rumahtangga 8. Namun , langkah mahupun cara ini tidak mengalami apa-apa perubahan serta perkembangan dala adat perkahwinan etnik Brunei di Sandakan, Sabah.

Menghantar berian

       Selepas sahaja risik-merisik dan setelah dapat disahkan bahawa pinangan akan diterima,pihak lelakipun menyediakan segala keperluan, iaitu mengikut kemampuannya. Bersama-sama dengan sebentuk cincin pertunangan, dibawa juga benda-benda lain iaitu hantaran meminang. Meminang ialah majlis menghantar tanda atau majlis bertunang dijalankan dengan permufakatan kedua-dua belah pihak. 

       Biasanya pihak lelaki akan menghantar sebentuk cincin atau wang menurut jumlah yang ditentukan sebagai tanda. Sekarang menghantar tanda bertunang ini dilakukan serentak dengan majlis menghantar berian atau mas kahwin atau belanja dapur atau belanja hangus.Barang-barang hantaran dalam majlis ini termasuk lah pembuka mulut,tanda bertunang iaitu sebentuk cincin dan sejumlah wang yang telah ditentukan,kain jongsarat iaitu kain songket tenunan Brunei, mas kahwin, belanja hangus barang lain sebagai tanda kasih pihak lelaki. 

       Dalam majlis ini, penetapan tarikh berlangsungnya akad nikah dan majlis persandingan. Jika tarikh belum mendapat kepastian,maka keputusannya akan diserahkan kepada kedua-dua belah untuk menentukannya kemudian. Zaman dahulu,hantaran belanja akan disertakan bersama-sama semasa akad nikah. Manakala, perubahan berlaku iaitu hantaran belanja tidak disertakan semasa akad nikah.Pihak lelaki akan menghantar beberapa orang wakil untuk hadir belanja perkahwinan ke rumah pihak perempuan. 

        Wang hantaran belanja akan diberikan separuh daripada jumlah wang hantaran asal. Upacara menghantar berian telah mengalami perubahan iaitu mengenai sistem balasan yang sudah pun mula mengambil tempat.Barang-barang yang dihantar ialah barang daripada pihak lelaki ke rumah pihak perempuan dan barang-barang tersebut lebih merupakan pakaian,barang perhiasan, wang tunai serta simbol-simbol ikatan  pertunangan seperti sebentuk cincin serta kain jongsarat. 

       Tetapi didapati bahawa dalam satu-satu majlis menghantar berian wujudnya sistem balasan daripada pihak perempuan untuk bakal pengantin lelaki. Dalam majlis ini,gangsa-gangsa yang telah dihantar oleh bakal pengantin lelaki akan diisi pula dengan balasan daripada bakal pengantin perempuan.Balasan-balasan ini tidaklah menyamai dengan barang-barang yang telah dihantar oleh bakal pengantin lelaki seperti kuih-muih yang beraneka jenis yang digubah dengan bentuk yang menarik, berbagai-bagai jenis buah, pakaian lelaki dan adakalanya disertakan kitab suci Al-Quran serta sejadah 9.

Masuk berbedak

            Dari segi prinsipnya,upacara masuk berbedak ini tidak mengalami perubahan tetapi apa yang jelas, semasa upacara ini dijalankan telah juga dilangsungkan upacara sampingan. Ertinya pada peringkat ini, berlangsung dua upacara secara serentak, Upacara sampingan ini ialah upacara ‘berkhatan’ bagi kanak-kanak perempuan. Unsur perubahan seperti ini adalah sesuatu yang positif kerana ia bukan hanya menjimatkan perbelanjaan tetapi juga menjimatkan masa serta tenaga keluarga serta masyarakat setempat. 

      Pada kebiasaannya, sebelum adanya perubahan seperti ini, upacara masuk ‘berkhatan’ ini dikendalikan secara berasingan pada hari tertentu. Ini sudah tentunya memerlukan perbelanjaan, tenaga serta masa bukan hanya pada keluarga yang terlibat tetapi juga anggota masyarakat.Peruntukan masa untuk menghadiri beberapa majlissudah begitu terbatas. Ini bukanlah bererti anggota masyarakat sudah menjadi masyarakat yang individualistik atau mementingkan diri sendiri tetapi ia adalah berpunca daripada keterlibatan mereka dengan kerja-kerjarasmi mereka serta kegiatan lain yang ada hubungan dengan tugas rasmi tersebut.Ada sesetengah masyarakat Brunei melaksanakan upacara masuk berbedak ini serentak dalam satu malam dengan majlis bepacar iaitu sehari sebelumhari persandingan. 

          Dari segi prinsipnya,bepacar yang digunakan adalah membawa erti yang sama dengan berinai seperti istilah yang seringkali digunakan dalam majlis berinai dalam adat perkahwinan.Perkataan ‘pacar’ itu sendiri adalah diambil daripada nama sejenis daun iaitu daun ‘pacar’ atau ada sesetengah masyarakat Brunei menyebutnya daun ‘sarangga’,yang boleh dipipis dengan batu.

      Walaupun terdapat upacara sampingan dalam upacara masuk berbedak ini,jelas bahawa dari segi prinsipnya adat itu masih lagi diamalkan dan jikalau pun ia ada berubah, ia hanya disatukan dengan upacara bepacar dalam satu malam secara serentak. Perubahan seperti inilah hanya dari segi perlaksanaan upacara itu tetapi perubahan pelaksanaan itu tidak menimbulkan kesan yang negatif,malah ialebih banyak mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada masyarakat10.

Mandi pengantin

           Upacara dijalankan pada sebelam malam.  Pengantin dihias dengan memakai pakaian tradisional. Pengantin perempuan mengenakan bunga guyang di kepala dan aksesori berkaitan.  Pakaian adalah dari tenunan kain Brunei.  Pengantin mengapit kain Jong Sarat. Antara bunga atau cura kain yang popular ialah Si Pugut, Si Lubang Bangsi, Sukmaindera dan lain-lain.Dalam Majlis ini keluarga terdekat dan dikira golongan orang tetua menculiki badak tujuh warna ke tangan pengantin.  Biasanya bilangan yang menculiki ini cuma dalam tujuh orang.Orang-orang yang digalati membaca doa sebelum mencecahkan bedak ke tangan pengantin.

     Pengalaman penulis sendiri belum terjawab sehingga hari ini semasa melalui Majlis Berbedak di Kuala Penyu Sabah hampir empat puluh tahun lalu.  Ada seorang orang tetua dari kalangan yang menculiki badak itu mencecahkan badak di ibu jari kaki dan bukan di tangan.  Kata orang, kawasan Kuala Penyu itu ada tinggal penduduk yang “berisi”  dan mereka ini boleh mengganggu dan boleh juga melancarkan majlis.  Cerita-cerita ada di dengar tentang bagaimana nasi yang ditanak tidak masak atau daging tidak mendidih walaupun berjam-jam sudah diletakkan di tambak.  Terdapat juga cerita bagaimana ada kalangan yang dapat memindahkan kemaluan ke tempat yang tidak sepatutnya dan orang yang terkena itu supan pula untuk memberitahu orang lain.  Walau bagaimanapun ini adalah cerita lama.

Di dalam masyarakat puak Brunei, pengantin perempuan biasanya didudukkan bertimpuh di pelaminan terdiri dari bantal bersusun.  Pengantin itu akan didukung oleh indungnya atau saudara terdekat  ke atas pelaminan.  Semasa diangkat pengantin menutup muka dengan kedua telapak tangannya.  Istiadat menculiki badak pengantin diiringi dengan dikir marhaban. Pembawa dikir akan membawakan lagu-lagu Hairuman, Bisyahrin, Alhamdulillah, Tanakal dan Badat sebelum berdiri membaca surah Asyrakal. 

       Bila bacaan sampai ke ayat Ya Habibi barulah proses menculiki itu dimulakan. Masa kini masih ada budaya lama yang masih dipraktikkan misalannya pengantin memakai pakaian lengkap ke Brunei, membaca dikir dan menculiki badak.  Cuma bilangan yang menculiki itu tidak terhad kepada orang tua-tua.  Ramai yang mengambil peluang termasuk kawan-kawan pengantin dari kalangan orang muda sehingga kadang-kadang majlis ini berlarutan menyebabkan bacaan dikir melimpasi ayat-ayat lazim. Setiap penculik dihadiahkan dengan buah tangan11.

Akad nikah

       Merujuk pada istilah yang digunakan oleh H.M. Dahlan, yang telah membincangkan tentang adat, nyata sekali bahawa akad nikah ini diletakkan dalam ‘adat yang teradat’ iaitu sesuatu kebiasaan yang merujuk kepada nilai-nilai dasar yang telah ditetapkan oleh agama Islam iaitu semenjak orang Melayu menerima Islam sebagai agama mereka.Majlis ini dilangsungkan dirumah bakal pengantin lelaki pada sebelah pagi iaitu kira-kira jam 10.00 pagi dimana sehari sebelum hari persandingan.

   Upacara ini biasanya dihadiri oleh beberapa orang tertentu sahaja seperti wali,jurunikah,ketua kampung yang akan bertindak sebagai salah seorang daripada saksi pernikahan dan juga beberapa orang keluarga kedua-dua pihak.Namun, dalam majlis akad nikah ini telah berlaku beberapa perubahan iaitu dari segi masa ia diadakan. Sekitar tahun 20-an,majlis akad nikah ini telah diadakan di sebelah malam.Walaubagaimanapun,tidak semua masyarakat Brunei akan mengadakan majlis akad nikah pada sebelah malam.

Mandi belangir

       Pada awal pagi sebelum upacara bersanding diadakan, pengantin menjalani istiadat dikenali sebagai Mandi Pengantin.  Langir adalah sejenis tumbuhan, diperah bagi mengeluarkan air yang dapat membersihkan badan dan rambut.   Biasanya orang yang memandikan ialah individu yang mahir dalam bidang itu.  Tujuannya ialah sebagai pendinding daripada perbuatan jahat.  Individu itu  akan menjampi yang kononnya dapat menjadi perisai kepada pengantin. Mungkin istiadat ini lebih kepada menanamkan perasaan yakin diri memandangkan persandingan akan berlangsung di hadapan khalayak ramai.  

      Pengantin duduk berlunjur menghadap matahari naik dan dikelilingi oleh kanak-kanak di setiap penjuru dengan memegang dian.  Selepas mandi, muka pengantin di alis terutama di bahagian kirai supaya mengangkat ketrampilan wajahnya.Adapun yang mengikuti istiadat ini pada masa ini hanya sebagai memenuhi adat.  Pengantin akan mandi tetapi tidak menggunakan langir.  Sebaliknya dia menggunakan sabun dan shampoo yang dijual dikedai.  Pengantin masa kini biasanya sudah bersedia untuk menghadapi khalayak.  Mereka dibekalkan dengan ilmu-ilmu komunikasi dan perhubungan awam semasa menjalani kursus perkahwinan12 .

Makan Berhias

Makan behias khusus untuk pengantin sebelum Majlis Bersanding.  Pengantin menikmati semua juadah yang disajikan dalam gangsa.  Dia mesti menjamah setiap jenis makanan itu sebagai tanda syukur dan murah rezeki dimulai dengan meneguk air dan ditutup dengan menyacah sira .Dalam majlis makan berhias ini , tidak berlaku perubahan sedikit pun.

Penganggun

Pengangun dalam adat perkahwinan puak Brunei adalah personaliti yang mengurus dan memastikan adat istiadat perkahwinan dipatuhi.  Pengangun membimbing pengantin dalam hal yang bersangkutan dengan alam perkahwinan dan kehidupan suami isteri.  Biasanya pengangun ialah seorang wanita yang  berumur dan tahu tentang hukum ugama Islam.  

         Pada kebiasaannya pengangun tinggal di rumah pengantin sehingga selesai adat Mulih Tiga Hari Pada masa ini fungsi pengangun  sudah banyak diambil alih oleh institusi rasmi.  Pelajaran ugama dan alam rumahtangga disampaikan dalam kursus-kursus perkahwinan yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama yang wajib dihadiri oleh bakal pengantin.  Dalam hal-hal lain urusan perkahwinan dijalankan oleh Wedding Planner atau Perancang Perkahwinan professional13.

Penggarusan

Ada suatu amalan yang sampai sekarang penulis kurang maklum fungsinya. Amalan itu ialah meniup lilin kecil sebanyak tiga kali setelah panggarusan di putarkan di leher pengantin. Panggarusan itu ialah benang tujuh warna yang dililitkan di leher pengantin. Hujung benang itu disatukan setiap kali lilitan dan ditunu dengan menggunakan dian kecil.  Pengantin mesti memadamkan api dian bersama benang tujuh warna dengan sekali hembusan atau tiupan.  Perbuatan itu dilakukan sebanyak tiga kali.  Setelah selesai benang itu dililit pada dian dan ditepukkan ke bahu pengantin14.

Betimbang atau bersanding

Klimaks kepada majlis perkahwinan puak Brunei  ialah Majlis Betimbang atau Majlis Persandingan.  Majlis Betimbang atau Persandingan ini dibuat dua kali.  Sekali pada sebelah siang semasa kehadiran para jemputan dan sekali pada sebelah malam.  Persandingan sebelah malam hanya dihadiri oleh keluarga terdekat di dikenali sebagai Majlis Ambil-Ambilan.  Saya akan memperkatakan beberapa perubahan dalam majlis Persandingan ketika ini.  Dalam perkahwinan masyarakat dulu pengantin lelaki diarak beramai-ramai. 

       Contohnya jika berlaku di kampung air pengantin lelaki didudukkan atas kapal atau tongkang dan diarak mengeliling kampung air sebelum menuju ke rumah pengantin perempuan.  Pengantin lelaki dipimpin oleh seorang tua.  Sebelum masuk ke rumah pengantin perempuan, pengantin lelaki diarak sekali lagi secara bulatan yang dikenali sebagai Berpusing Naga15. Berpusing Naga ialah simbol berjaga-jaga.  Orang yang menunda pengantin bukan calang-calang orang kerana dia juga harus mempunyai ilmu pendinding yang tinggi bagi menangkis sebarang perbuatan jahat.

Sampai di pelaminan penunda pengantin mempunyai satu lagi tugas iaitu menjawab pantun-pantun yang dijual oleh pengangun.  Pantun itu perlu dijawab sebelum penutup muka pengantin perempuan disingsing.  Biasanya penutup muka pengantin adalah dari kain kasa.Pengantin pun ditimbangkan yakni disandingkan dan salawat dikumandangkan yang disusuli dengan bacaan doa.  Selepas itu kedua mempelai dibawa keluar bagi diperlihatkan kepada sanak saudara dan para tetamu.  Terdapat pantang larang yang dikawal oleh pengangun di mana mempelai tidak boleh keluar melimpasi pemantung rumah.

Majlis berambil-ambilan/Bertingkuang

Pada sebelah malam hari persandingan keluarga pihak pengantin lelaki mengantati ke rumah pengantin perempuan dengan pelbagai makanan, lauk pauk untuk sajian pengunjung ke Majlis Ambil Ambilan. Kedua mempelai mengenakan pakaian yang berlainan dengan pakaian yang dipakai semasa persandingan waktu siang.  Setelah siap berpakaian pengantin lelaki pergi ke bilik pengantin perempuan dan menunda isterinya ke pelaminan.   Majlis Ambil-Ambilan dilihat sebagai memesrakan lagi kedua mempelai.  Anak-anak muda, teman kepada mempelai akan mengusik pengantin misalnya merangsang pengantin lelaki untuk mengusai rambut isterinya yang terjuntai atau melap peluh di dahi.  Bila ini dilakukan anak-anak muda bersorak ria.  

       Pengantin tidak akan memberi respons dengan bersuara.  Mereka hanya menguntum senyum 16. Masa kini majlis Ambil-Ambilan kadang-kadang tidak dibuat.  Mungkin kerana kesibukan sanak saudara yang bermastautin bertaburan di seluruh negeri.  Lagi pula kedua mempelai sudah begitu mesra dan tidak perlu ada acara bagi memesrakan mereka.  Ada juga yang mempertimbangkannya dari segi bajet.  Pemotongan satu acara ini sudah tentu mengurangkan perbelanjaan.

Majlis mulih tiga hari

Majlis penutup dalam penyelenggaraan Majlis Kahwin puak Brunei ialah Majlis Mulih Tiga Hari. Pada hari ketiga sebelah siang, pengantin lelaki mulih ke rumahnya dengan diiringi oleh beberapa orang.  Pengantin lelaki akan kembali ke rumah isterinya pada sebelah malam di hari yang sama dengan diiringi oleh sanak saudara.  Bersamanya dibawa indah-indah berupa barang dapur seperti beras, gula, asam sira, tapung dan lainnya.  

         Pengantin lelaki juga akan membawa buah tangan dan hadiah untuk isterinya seperti gelang emas, cicin dan rantai. Majlis diakhiri dengan pengantin bersalaman dengan  sanak saudara dan ditutup dengan bacaan doa selamat.Majlis Mulih Tiga Hari pada hari ini dipandang sebagai majlis opsional; boleh dibuat dan boleh juga tidak. Sementalahan lagi mempelai sudahpun merancang belayar keluar negeri, berbulan madu, pada keesokan hari persandingan.  Pantang larang pengangun sudah tidak ada kesannya.

         Hari ini Majlis Bersanding diurus oleh Perancang Perkahwinan professional.  Dari sekecil-kecil kerja hinggalah ke tugasan yang kompleks di awasi oleh Perancang Perkahwinan.  Tugas itu termasuklah penyediaan kem, kerusi meja, persajian, pakaian pengantin, pelaminan, musik latar dewan,  sistem siar raya, skren dan projector, hadiah untuk tetamu, fotografi dan videografi, lampu cucul, lampu dan bunga hiasan, kenderaan pengantin, kad jemputan dan banyak lagi.  Oleh sebab kerja-kerja majlis perkahwinan / persandingan itu diurus oleh perancang perkahwinan, maka banyaklah perubahan-perubahan berlaku yang jauh tersasar dari kebiasaan budaya tempatan.  Ada perlakuan budaya yang langsung tidak dipraktikkan.

Sumbangan atau peranan etnik Brunei di Sandakan

Mengeratkan hubungan silatuhrahim melalui Majlis Perkahwinan

            Melalui majlis perkahwinan yang diadakan oleh masyarakat Brunei di Kampung Sim-sim ini, ia akan dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain iaitu di antara keluaraga mahu pun orang lain.Ini disebabkan dalam majlis ini diadakan,anggota keluarga pengantin akan bekerjasama serta bergotong-royong dalam menyiapkan segala persiapan majlis persandingan.Orang ramai yang dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan ini bagi memeriahkan lagi majlis perkahwinan ini sekaligus ia dapat menjalinkan hubungan yang baik kepada masyarakat setempat.

Mengeratkan hubungan silatuhrahim melalui makanan tradisional

            Makanan tradisional etnik Brunei iaitu ambuyat.Ambuyat adalah makanan berupa bubur kanji yang dibuat dari sagu atau Ambulung dalam bahasa melayu Brunei. Setelah Ambuyat dihidangkan, rasanya tawar saja dan harus dimakan segera dalam keadaan panas-panas, sebelum menjadi kenyal dan sejuk. Oleh kerana ambuyat berfungsi sebagaimana nasi, dan tidak berperasa maka membuatnya perlulah dengan cacah yang menyertainya17

      Makanan tradisioanal ini akan memberi sumbangan kepada masyarakat setempat mahupun pelancong dari dalam serta luar negara. Mereka dapat menikmati dan mencuba sesuatu yang baru.Seperti yang diketahui, Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kaum. Dengan keistimewaan yang dimiliki oleh Malaysia dengan kepelbagaiaan kaum, dengan perbezaan makanan tradisional, setiap masyarakat dapat mencuba sesuatu yang baru seperti makanan etnik Brunei iaitu ambuyat dapat berkongsi rasa tentang apa rasa makanan tradisional sesuatu etnik.

Sumbangan dari segi mempelbagaikan pakaian etnik

       Pakaian masyarakat Brunei ini telah memberi sumbangan kepada masyarakat di Malaysia. Sebagai contoh, baju kurung dan baju melayu merupakan salah satu pakaian tradisional masyarakat Brunei. Baju tradisional masyarakat Brunei ini telah memberi sumbangan dimana masyarakat kaum lain telah memakainya semasa menghadiri sesutu majlis. Hal ini telah membuktikan peranan mahupun kepentingan baju kurung masyarakat Brunei ini telah memberi sumbangaan kepada masyarakat.

Kesimpulan

           Sebagai kesimpulannya, lebih jelas kelihatan perbezaan serta persamaan sesuatu adat resam dalam sesuatu kaum. Setiap kaum adalah tidak sama adat resamnya, ia berbeza mengikut kaum sama ada dari segi adat kematian mahupun adat perkahwinan. Melalui kajian ini, kita dapat mengetahui bahawa adat perkahwinan etnik Brunei ini sama dari segi langkah pertama dalam mendirikan rumah tangga dengan orang Melayu. Etnik Brunei ini juga telah memberi sumbangan kepada masyarakat dari segi makanan tradisional dan pakaian tradisionalnya.

Bibliografi

Sumber primer

Tuan Usup Omar , Ketua Kampung Sim-Sim,  Sandakan 26 Februari 2016

Puan Hjh Dayang Kamisah Hj Junan , Penduduk Kampung Sim-Sim, Sandakan 26 Februari 2016

Encik Harris , Ketua Jambatan 14 Kampung Sim-Sim, Sandakan 26 Februari 2016

Sumber sekunder

Haji Mohtar Bin H.M,Istiadat Perkahwinan Masyarakat Melayu, 1978, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Imran Kassim, Istiadat Perkahwinan Melayu, 1990, Mutiara Publications.

Sabihah Osman, Muhammad Hadi Abdullah, Sabullah Hj.Hakip, Sejarah Brunei Menjelang Kemerdekaan, 1857, Opus Publications.

1 ulasan:

  1. Numpang promo ya Admin^^
    ayo segera bergabung dengan kami di ionqq^^com
    dengan minimal deposit hanya 20.000
    add Whatshapp : +85515373217 ^_~

    BalasPadam