Khamis, 2 Mei 2019

Sejarah dan perkembangan etnik Bajau di Sandakan Sabah


Pengenalan

Orang Bajau  merupakan salah satu etnik terbesar di Sabah. Berdasarkan kajian, orang Bajau di Sabah boleh diklasifikasikan kepada dua kelompok iaitu kelompok Bajau di pantai barat dan kelompok Bajau di pantai timur. Masyarakat Bajau di pantai barat terkenal sebagai petani dan nelayan di samping menunggang kuda manakala masyarakat Bajau di pantai timur terkenal sebagai nelayan dan penyelam yang mahir. Ada pendapat mengatakan bahawa Bajau berasal dari Johor. Ada juga yang mengatakan Bajau  berasal dari Kepulauan Riau-Lingga di Indonesia dan ada pula yang mengatakan etnik ini berasal dari kepulauan Maluku. Hakikatnya, baik di Selatan Filipina, Borneo Utara, Johor, Riau-Lingga atau Maluku, kawasan-kawasan tersebut adalah dalam lingkungan Nusantara.7  

   Kaum Bajau dahulunya juga adalah pelaut yang mahir di mana kegiatan utamanya ialah bercucuk tanam serta penangkapan ikan. Orang-orang Bajau juga mempunyai kemahiran menunggang kuda dan ini menjadikan mereka antara kaum yang paling berjaya di Sabah. Kemahiran mereka ini menjadikan mereka terkenal di negeri Sabah dan diberi gelaran "Koboi Timur" atau "Koboi Sabah". Masyarakat Bajau dikenali sebagai sea nomad atau sea gypsies oleh penjajah atau penulis-penulis Barat dan nama itu kekal menjadi rujukan pihak-pihak tertentu hingga ke hari ini.7 Semasa dalam majlis tertentu seperti pesta dan hari perayaan, penunggang kuda kaum Bajau ini sering kelihatan dalam pakaian berwarna-warni  malah kuda mereka juga dipakaikan kain seperti penunggang juga.8 Menurut Ben J. Wallace  dan Hasan Mat Nor pula, perkataan Bajau itu berasal dari perkataan berjauhan yang menggambarkan cara hidup orang Bajau yang sentiasa berjauhan daripada kampung asal mereka. 

    John Crawfurd menerangkan bahawa nama Bajau itu diberi oleh orang Bugis dengan sebutan Waju yang bermaksud men that go in troops atau orang yang bergerak secara berkumpulan.  Manakala Asmah Hj. Omar  pula menjelaskan bagaimana istilah Sama mula digunakan. Menurut cerita orang Bajau sendiri, apabila mereka bertemu semula setelah lama berpisah, mereka dengan segera dapat mengenali antara satu sama lain dan menganggap diri mereka sama (serupa) atau berasal daripada kumpulan etnik yang sama sahaja. 

Walaupun mereka berasal daripada kumpulan etnik yang sama, mereka tinggal berjauhan antara satu sama lain. Dengan itu wujud perkataan Bajau yang terbentuk daripada imbuhan ‘ba-’ dan kata dasar ‘jau’ (jauh) dan membawa erti ‘duduk jauh antara satu sama lain’

Amalan dan budaya perkahwinan kaum Bajau

Antara adat yang diamalkan oleh etnik masyarakat bajau ialah Adat Perkahwinan. Terdapat sedikit bersamaan adat istiadat perkahwinan kaum bajau di sabah dengan adat perkahwinan orang melayu. Hal ini mungkin disebabkan sejarah asal usul bajau yang dipercayai berasal dari johor suatu ketika dahulu. 

  Kaum Bajau sangat teliti dalam melaksanakan upacara adat istiadat perkahwinan. Upacara selalunya dilakukan mengikut tuntutan adat dan agama. Oleh itu, adat istiadat perkahwinan Bajau banyak dipengaruhi oleh budaya turun temurun dan agama Islam. Seterusnya, untuk memahami lebih terperinci upacara adat istiadat perkahwinan bajau adalah melalui enam peringkat yang utama iaitu Tilau-tilau idaan/ Mendo, seruan, norong/ malad, mandi badak, nikah, ngendo dan ngedede. Keenam-enam peringkat ini merupakan adat istiadat perkahwinan bajau yang diamalkan dari dahulu yang diturun-temurunkan oleh nenek moyang masyarakat ini.

Adat Tilau-tilau idaan/ Mendo dilakukan oleh ibu bapa kaum bajau dalam proses mencari jodoh untuk anak mereka. Seterusnya, setelah memilih calon menantu, Ibu bapa akan melakukan ngederasi dalam kata lain merasi atau menilik nasib mengikut panduan kitab “Tajul Muluk” untuk memastikan calon isteri atau suami sesuai untuk dijodohkan dengan anak mereka. Sekiranya calon menantu sesuai dengan anak mereka, ibu bapa akan segera mengaturkan upacara tilau-tilau idaan yang dikenali sebagai merisik. Saudara terdekat ibu bapa yang juga digelar Ngentan Bisoro akan menjadi wakil semasa proses merisik. Biasanya, sekiranya calon sudah bertunang proses merisik akan segera tamat dan sekiranya belum bertunang upacara merisik akan diteruskan untuk bertanyakan latar belakang calon menantu. 

       Proses ini ialah peringkat awal ke arah perkahwinan ataupun mendo.  Selain itu, pihak calon menantu tidak akan terus menerima pinangan tersebut. Selalunya, pihak calon akan meminta masa satu minggu untuk memberikan kata putus antara setuju atau menolak. Hal ini untuk memberikan masa kepada keluarga pihak calon untuk bermuafakat dengan waris dan saudara mara terdekat. Seterusnya, setelah sampai masa yang dijanjikan, wakil pihak calon akan bertemu dengan wakil peminangan untuk memberikan jawapan. Sekiranya ditolak, wakil pihak calon akan memberikan alasan munasabah agar tidak menyinggung perasaan pihak lelaki dan sekiranya pinangan diterima, wakil kedua-dua pihak akan melanjutkan perbincangan untuk menentukan jumlah berian yang ditentukan berdasarkan status calon.

 Hal ini kerana, nilai berian dan mas kahwin ditentukan oleh latar belakang sosial calon iaitu miskin, orang biasa atau golongan Datu. Setelah selesai upacara ini, majlis seruan akan diadakan . 10 Tetapi pada perkembangan zaman yang semakin moden menyebabkan adat ini berubah sedikit sebanyak dan kenyataan  ini juga disokong oleh responden  Siti Nur Hidayah .  Ngederasi atau dalam kata lain merasi atau menilik nasib mengikut panduan kitab “Tajul Muluk” untuk memastikan calon isteri atau suami sesuai untuk dijodohkan dengan anak mereka agak kurang diamalkan ini kerana amalkan ini agak bertentang dengan syariat Islam. Masyarakat Bajau masa ini memberi anak mereka peluang untuk membuat pilihan masing-masing untuk mencari calon pasangan mereka dan tidak lagi menilik nasib mengikut panduan kitab “Tajul Muluk” .Sungguh pun demikian,cara perkahwinan mereka tetap mengikut cara perkahwinan etnik Bajau.

Peringkat seruan merupakan peringkat yang seterusnya apabila calon pasangan diterima. Peringkat ini adalah majlis pertunangan yang dikenal sebagai peringkat seruan yang diadakan di rumah pihak perempuan. Semasa seruan, kedua-dua pihak akan berbincang untuk menentukan tempoh bertunang serta tarikh perkahwinan. Seterusnya, tempoh pertunangan biasanya satu bulan sehingga lima bulan dan tempoh itu boleh dipercepatkan atau ditunda mengikut persetujuan kedua-dua pihak. Selain itu, masyarakat bajau sangat teliti dalam menentukan tarikh perkahwinan. Hal ini disebabkan kepercayaan bahawa hari dan bulan perkahwinan akan mempengaruhi kehidupan masa hadapan pengantin. Oleh itu, tarikh perkahwinan diberikan berdasarkan panduan ramalan bintang dua belas. 

      Panduan ini bukan sahaja digunakan dalam menentukan tarikh perkahwinan tetapi majlis lain seperti kenduri. Antara hari yang dianggapkan memberikan kebaikan ialah hari Jumaat semasa bulan syaaban, zulkaedah, zulhijrah, rabiulakhir dan syawal.11 Seiring dengan perkembangan dunia, penentuan tarikh perkahwinan atau majlis lain tidak lagi berpandukan ramalan bintang dua belas. Masyarakat ini hanya akan memilih hari-hari yang baik seperti hari jumaat dan memilih bulan-bulan islam yang sesuai untuk menjalakan sesebuah perkahwinan. Peringkat seterusnya akan diadakan iaitu Norong atau malad.

Acara mandi badak atau malam berinai adalah upacara yang dilakukan pengantin sebelum majlis akad nikah dan majlis bersanding. Adat ini dijalankan disebelah malam selepas maghrib oleh kedua-dua pihak pengantin Bajau. Adat ini untuk meraikan bakal pengantin dan tanda restu perkahwinan dari keluarga dan sanak saudara. Mengikut adat turun temurun kaum Bajau, mandi badak dilakukan untuk menaikkan seri wajah pengantin dan sebagai cara untuk menenangkan pengantin semasa upacara akad nikah dijalankan. 

      Mandi badak terbahagi kepada dua iaitu mandi bedak besar dan mandi bedak kecil. Seterusnya, bedak yang digunakan semasa majlis mandi bedak ialah dari tepung beras, minyak wangi dan beberapa jenis bunga. 12 Selain itu, upacara mandi badak selalunya dimulakan dengan berzanji untuk mndoakan keselamatan dan kesejahteraan pengantin. Berzanji selalunya dilakukan oleh sekumpulan lelaki dan wanita dalam keadaan duduk dalam bulatan. Seterusnya, selesai berzanji, acara merenjis pengantin akan dilakukan oleh keluarga dan sanak saudara. 

       Bahan yang digunakan dalam upacara merenjis ialah beras kuning, inai, bunga rampai, santan kelapa dan daun pandan. Semasa acara merenjis, pengantin akan diberikan hadiah oleh setiap ahli keluarga yang merenjis. Selalunya, keluarga dan sanak saudara memberikan pengantin bunga telur atau wang hadiah. Selain itu, semasa upacara mandi badak, tetamu yang hadir akan disajikan dengan hidangan yang disediakan oleh pihak pengantin mengikut kemampuan dan citarasa tuan rumah.

Seterusnya, selesai upacara mandi badak, tetamu juga akan dihiburkan dengan acara betitik. Adat betitik adalah irama yang dihasilkan dengan menggunakan alat muzik tradisional Bajau yang dilengkapi dengan set kulintangan yang mempunyai lapan biji, dua gong besar, gong kecil dan dua gandang. Selaluinya irama yang dimainkan semasa acara betiti ialah andu-andu, kedidi, andu bia: kedebak serta sawa . Selain acara betitik, selalunya acara berunsai turut disajikan tuan rumah kepada tetamu yang hadir. 

        Berunsai ialah tarian tradisi bajau yang diselangi kalang-kalang sama iaitu pantun sepanjang malam. 13 Selain itu, selesai upacara madak, upacara berinai akan dilaksanakan oleh mak andam kepada semua jari pengantin perempuan dan enam jari pengantin lelaki iaitu kanan tiga dan kiri tiga. Pada malam mandi badak, kaum keluarga dan sanak saudara akan sama-sama bergotong royong menyediakan hidangan untuk tetamu keesokan harinya iaitu semasa akad nikah dan bersanding. Oleh itu, perkahwinan dalam masyarakat Bajau mengeratkan hubungan  kekeluargaan dan sanak saudara .Amalan adat betitik yang merupakan irama yang dihasilkan dengan menggunakan alat muzik tradisional Bajau yang dilengkapi dengan set kulintangan yang mempunyai lapan biji, dua gong besar, gong kecil dan dua gandang agak kurang diamalkan terutama oleh masyarakat yang tinggal di kawasan-kawasan yang maju.

Hari akad nikah dijalankan, pihak lelaki akan berdiri atau duduk bergantung kepada status pengantin lelaki. Setelah upacara akad nikah selesai, kedua-dua pengantin akan bersanding. Selain itu, pengantin lelaki berketurunan Datu tidak dibenarkan memijak tanah. Oleh itu, pengantin akan diusung menggunakan usungan  dan orang biasa hanya diarakkan di atas kuda. Selain itu, seperti kebanyakkan adat perkahwinan di sabah, pengantin lelaki kaum bajau harus membawa buah tangan untuk keluarga perempuan sebelum memasuki rumah keluarga pengantin perempuan. Ketibaan pengantin lelaki biasanya ditandai dengan beberapa das tembakan di udara. Semua itu dipengaruhi oleh status pengantin lelaki. 14  

 Seterusnya, pengantin lelaki akan didudukan di tempat duduk khas iaitu tilam kecil yang dialas tujuh lapisan tipo selisir, sejenis tikar tradisi bajau dan diapit dua pengapit. Selain tipo selisir, pelamin bahagian hadapan tradisi Bajau turut dihiasi dengan gubahan menggunakan pelbagai kuih tradisi Bajau seperti Berate, jala, sinsim dan Penjaram, kain rentang bercorak yang dipasangkan di sekeliling penjuru rumah, bantal panjang ,kain bercorak pada bumbung pelamin. Seterusnya, pelamin tadisi bajau mempunyai tiga lapis tabir yang perlu dilalui oleh pengantin lelaki untuk bertemu dengan pengantin perempuan. 15 Untuk melepasi ketiga-tiga tabir tersebut pihak pengantin lelaki perlu mengikuti adat.

 Responden Sarena Hajad memberitahu bahawa Tabir pertama hanya akan dibuka setelah pengapit menghadiahkan sebuah syair kepada pengantin perempuan dan keluarga pihak perempuan. Seterusnya, tabir kedua dan ketiga dibuka selepas membayar cukai yang diminta oleh mak andam selepas proses tawar menawar dengan mak andam nilai cukai yang perlu dibayar oleh pihak lelaki. Setelah ketiga-tiga tabir dibuka, pengantin lelaki terlebih dahulu membatalkan wuduk pengantin perempuan dengan memusingkan sapu tangan sebanyak tiga kali di atas kepada pengantin perempuan dan menjatuhkan sapu tangan tersebut di atas tangan pengantin perempuan. 

 Seterusnya, pengantin lelaki akan menyentuh dahi pengantin perempuan dengan membaca kalimah syahadah dan wuduk pengantin perempuan telah dibatalkan. Selepas melalui proses tersebut, barulah pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan duduk bersanding. Semasa bersanding, biasanya pengantin kaum Bajau akan memakai pakaian tradisi kaum bajau yang dilengkapi dengan hiasan kepala (sarimpak), baju (badu sipak), kain muga serta kain (olos berangkit) dan hiasan tambahan seperti subang, mendapun, selendang, tali pinggang (ingkot pangkat), kuku palsu buatan tembaga berwarna keemasan (keku) untuk pengantin perempuan kaum bajau. Manakala, pengantin lelaki kaum bajau dilengkapi tanjak (podong), baju (badu sampit), seluar (suar), dan aksesori lain iaitu tali pinggang (ingkot pangkat), selendang dan supu .16  

      Perubahan zaman yang semakin moden menyebabkan amalan ini berubah. Pada masa kini,lelaki yang berketurunan Datu tidak lagi diusung tetapi akan berjalan seperti biasa seperti golongan lain. Seterusnya, pelamin tadisi bajau mempunyai tiga lapis tabir yang perlu dilalui oleh pengantin lelaki untuk bertemu dengan pengantin perempuan masih diamalkan oleh tetapi agak kurang oleh sesetengah masyarakat etnik ini.

Menurut sumber responden, Hajah Alandrah Binti Hajad, Setelah bersanding, adat istiadat perkahwinan bajau masih berjalan. Proses ini dipanggil adat ngendo. Adat ini dilakukan untuk menjemput pengantin perempuan ke rumah keluarga pengantin lelaki tiga hari selepas selesai majlis perkahwinan. Proses ngendo biasanya dilakukan oleh ibu bapa pengantin lelaki dan saudara terdekat lelaki. Keluarga pengantin lelaki akan berkunjung ke rumah pengantin perempuan untuk menjemput pengantin dan keluarga pengantin perempuan akan mengiringi perjalanan ke rumah pengantin lelaki. 

 Setelah tiba di rumah keluarga pengantin lelaki, pengantin perempuan tidak terus masuk ke dalam rumah. Pengantin perempuan perlu  membasuh kaki untuk menyucikan diri tanda menjadi ahli keluarga pihak lelaki. 17 Setelah selesai menyucikan diri, pengantin perempuan akan dijemput masuk ke dalam rumah dan keluarga perempuan yang mengiringi pengantin akan disajikan dengan hidangan dan dihiburkan dengan acara yang disediakan oleh tuan rumah. Setelah selesai acara, keluarga pengantin perempuan akan meninggalkan pengantin perempuan tinggal  bersama keluarga pengantin lelaki beberapa hari.

Kepentingan Adat Perkahwinan Etnik Bajau di  Sandakan.

Masyarakat etnik ini mengutamakan kepentingan adat  dalam kehidupan mereka. Setiap perlakuan mereka akan dipengaruhi dengan adatnya yang tersendiri terutama dalam majlis perkahwinan masyarakat melayu. Adat akan memainkan peranan dalam memastikan kelancaran sesebuah majlis tersebut. 

 Antara kepentingan untuk terus memelihara adat perkahwinan ini ialah adalah kerana adat perkahwinan menonjolkan identiti sesebuah etnik kerana ia melambangkan keunikkan sesebuah etnik. Ini menunjukkan bahawa setiap etnik mempunyai adat tersendiri. Ini kerana adat perkahwinan setiap etnik adalah berbeza.nSalah satu sebab adat perkahwinan ini diperkenalkan dan diamalkan oleh manusia berkait rapat dengan usaha untuk memastikan peraturan sesebuah etnik dipatuhi oleh masyarakatnya.

Adat perkahwinan yang diamalkan sejak turun-temurun ini sudah banyak mengalami pengalaman dan ini menyebabkan masyarakat etnik ini menjadikan adat ini sebagai peraturan ketika adat ini dijalakan. Adat Perkahwinan etnik ini penting untuk terus dipelihara kerana apabila adat ini diamalkan silaturahim dan nilai-nilai murni seperti tolong-menolong,hormat-menghormati dan sebagainya akan wujud antara satu sama lain. 

 Akhir sekali, apabila adat ini terus dipelihara dan diamalkan ia akan menyebabkan pelancong-pelancong asing yang melancong di sesebuah kawasan yang berlangsungnya sesebuah perkahwinan tertarik dan melihat bahawa wujudnya kepelbagaian adat juga budaya yang wujud antara masyarakat di negara kita.

     Kesimpulannya, Adat Perkahwinan ini adalah sangat penting  kerana sesebuah adat melambangkan corak sesuatu etnik dan ini juga menunjukan bahawa setiap etnik yang wujud mempunyai perbezaan dan perbezaan ini menunjukan kepada masyarakat luar bahawa Negara kita memilik pelbagai etnik yang hidup bersatu padu.  Adat perkahwinan etnik ini penting untuk terus dipelihara dan terus diamalkan oleh masyarakat etnik bajau. Ini adalah bertujuan untuk mengekalkan terus menerus tradisi dan identiti sesebuah etnik. 

      Melalui adat sesebuah etnik juga kita dapat lihat keunikan dalam suatu etnik. Kesimpulannya,adat perkahwinan perlu disanjung sebagai sesuatu yang berharga dalam kehidupan bermasyarakat kini. Meskipun terdapat beberapa adat perkahwinan etnik ini agak ketinggalan tetapi adat ini harus terus dipelihara dan dijadikan sebagai satu pegangan yang kukuh dalam etnik ini. Akhir sekali adat perkahwinan ini juga memberikan identiti sesebuah kaum atau etnik .

Bibliografi 

Sumber Primer


Hajah Alandrah Binti Hajad, Penduduk Kampung Tinusa 2.

Siti Nur Hidayah Binti Faizal, Penduduk Kampung Tinusa 2.

Sarena Binti Hajad, Penduduk Kampung Tinusa 2.

Sumber Sekunder

Mashitah Binti Taharin. Tesaurus Bahasa Melayu Dewan. Penerbit  Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015.

Abdul Halim Bandan. Cerita Tradisi Sabah Pelbagai Kaum.. Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.

Gusni Saat. Komunti Samah-Bajau di bandar.  Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2003.

Zakiah Hanum. Tradisi Dan Budaya. Diterbitkan pada 1973.

Ali Gujing. Sumber Sejarah dan Kebudayaan Melayu adat perkahwinan. 

“UMS students win award for research on ethnic Bajau in Sabah”.  New Sabah Times, 2013.


http://www.scribd.com/doc/85883637/Masyarakat-Bajau#scribd

http://pengantin.com.my/v1/component/content/article/157.html


http://www.scribd.com/doc/44028144/ etnik-bajau# scribd 

http://fendyridzuan.blogspot.my/2013/04/ bajau- sabah. html



1 ulasan: