Khamis, 2 Mei 2019

Sejarah dan perkembangan etnik Sungai di Sandakan


Pengenalan

            Sabah merupakan sebuah negeri yang unik. Hal ini disebabkan di Sabah terdapat lebih daripada 32 kumpulan etnik. Sebenarnya kumpulan-kumpulan etnik ini berasal daripada tiga kumpulan etnik besar iaitu Kadazan Dusun, Murut dan Bajau. Orang Sungai berasal daripada suku Paitan yang dipercayai oleh Appell merupakan kumpulan terawal di Sabah.1  Orang Sungai terdapat di sepanjang sungai utama khususnya di sebelah timur Sabah terutamanya di kawasan Kinabatangan, Beluran, Pitas dan Paitan. Mereka merupakan kumpulan etnik majoriti di kawasan sungai utama di Pantai Timur Sabah dan tergolong dalam kelompok KadazanDusun Sabah. 

            Kumpulan ini dikenali sebagai Orang Sungai, nama yang diberikan oleh William Pryer, Residen pertama Sandakan ketika itu yang membuat ekspedisi menyusur Sungai Kinabatangan sehingga ke Kampung Imbok. Rombongan Pryer telah terserempak dengan sekumpulan orang yang berambut panjang hingga ke bahu dan berkulit kemerah-merahan. Pryer tidak mengetahui asal usul kumpulan ini dan telah menamakan mereka sebagai River People yang kemudiannya telah dialih bahasa kepada Orang Sungai. Panggilan ini kekal digunakan sehingga ke hari ini malah turut digunakan untuk merujuk kumpulan lain yang juga menghuni di tepi sungai-sungai lain.
           
Sejarah Perkembangan Latar Belakang Kumpulan Etnik Sungai

            Orang Sungai pada asalnya adalah orang Dusun tetapi oleh kerana pada zaman itu mereka berada di bawah pemerintahan kesultanan Sulu Islam kebanyakan mereka menganut agama Islam dan mula menetap di tepi sungai. Mereka mengasingkan diri dari orang-orang Dusun atau juga dipanggil sebagai Orang Darat oleh sesetengah penulis barat dan cuba menyesuaikan diri dan cara hidup mereka di tepi sungai sehinggalah akhirnya berlaku perubahan-perubahan dari segi cara hidup dan pertuturan.2  Sebagai kesan daripada pengasingan ini akhirnya lahirlah nama Orang Sungai yang dikaitkan dengan tempat tinggal tradisi mereka iaitu hidup di tepi-tepi sungai.

            Ada dua pendapat boleh diketengahkan mengenai asal usul Orang Sungai. “Suku Orang Sungai” ialah suku Tombonuo yang berasal dari Paitan dan berhijrah ke seluruh pelosok daerah Beluran dan sebahagiannya menetap di Muanad, Kampung Kolapis dan Kampung Bum. Apabila berkahwin dan memeluk agama Islam, mereka dikenali sebagai Orang Sungai Paitan.3  Bertitik tolak daripada perhijrahan etnik ini di sepanjang pinggir sungai, kemudian lahir nama Orang Sungai Paitan berdasarkan Sungai Paitan, Orang Sungai Sugut dari Sungai Sugut dan sebagainya. Suku-suku utama orang Sungai adalah terdiri dari suku Idahan, Dumpas,  Milian, Minokok,  Mangkaak,  Pinagah, Sukang, Makiang dan Saguon mendiami kawasan seperti Segaliud, Sukau, Bukit Garam,  Bilit sehingga ke Lahad Datu. Manakala bagi suku Sungai yang mendiami kawasan barat seperti  Paitan, Beluran, Telupid, Tongod,  Pinangah, Nangoh, Sugut (Ranau)  sehingga ke Pitas adalah dari dialek Paitanic yang terdiri daripada suku Makiang, Sukang,  Soguan, Pinagah, Rumanau dan Sinabu. Bahasa dan budaya mereka adalah berbeza dengan suku-suku Sungai di bahagian Pantai Timur.  Kebanyakan daripada suku ini adalah beragama kristian khususnya di daerah Tongod dan Pinangah dan Sapi Nangoh. Pengaruh bahasa dan kebudayaan Dusun adalah jelas dalam suku ini. 

             Kawasan hilir Kinabatangan merupakan kawasan terpencil di Sabah. Namun, catatan sejarah menunjukkan kawasan ini telaj mempunyai hubungan awal dengan ahli pelayaran China ke Borneo sejak tahun 631 Masihi lagi. Pada tahun 406 Masihi, Laksamana Cheng Ho telah melawat Selatan Filipina dan kemungkinan besar telah menjalin perdagangan awal dengan Sabah. Ekoran daripada lawatan ini, orang Ida’an mula melakukan perdagangan sarang burung dengan pelayar atau pedagang Cina. Justeru, perkataan “Kinabatangan” dikatakan ada kaitan dengan kehadiran pedagang Cina. Perkataan Kinabatangan sebenarnya terdiri daripada dua perkataan. “Batang” ialah perkataan tempatan bermaksud sungai yang panjang dan “kina” pula berasal daripada penempatan awal orang Cina di kawasan Hilir Kinabatangan.

            Dalam rekod awal oleh Shim Phyau Soon mengenai lagenda Sulu, Laksamana Ong Sum Peng bersama pengembara dan pedagang Cina mengambil keputusan menetap di kawasan berdekatan Kampung Batu Puteh setelah menamatkan misi Maharaja China. Selepas itu, berlaku perkahwinan campur antara migrant dan pedagang Cina ini dengan komuniti setempat. Setelah generasi demi generasi berlalu, para migrant Cina ini telah hilang budaya tradisi dan bahasa asal mereka. Malahan, mengikut rekod sejarah Brunei, adik Laksamana Ong Sum Peng berkahwin dengan Sultan Brunei yang pertama dan memeluk agama Islam.

            Dari tahun 1881 hingga 1945, The British North Borneo menguasai daerah Sandakan dan seluruh Sabah. Catatan pada tahun 1881 menunjukkan jumlah penduduk di kawasan hilir Kinabatangan sangat rendah. Pada waktu itu terdapat dua buah kampong, iaitu Melapi dan Sabangan yang mengandungi empat hingga lima buah pondok di sepanjang tebing Sungai Kinabatangan. Namun, pada akhir tahun 1880-an banyak etnik Ida’an dari Lahad Datu berpindah ke Melapi kerana tertarik dengan aktiviti komersil sarang burung di Gua Gomantong dan hasil dari hutan serta sungai. Sehubungan dengan itu, telah berlaku perebutan ke atas Gua Gomantong antara penduduk Kampung Melapi yang diketuai oleh Pangeran Samah menentang The British North Borneo. Namun, penentangan ini berakhir apabila Pangeran Samah ditembak mati pada tahun 1884. Selepas peristiwa itu etnik Ida’an, berpindah ke penempatan baharu yang kini dikenali sebagai Kampung Sukau. Banyak daripada mereka mula membuka tanah pertanian dan penempatan di sekitar Kampung Sukau.

            Apabila Pejabat Daerah Lamag (sekarang ini di kenali sebagai Bukit Garam) ditubuhkan pada tahun 1905, banyak penduduk kampong dari kawasan hulu Kinabatangan berpindah ke kawasan penempatan baharu yang diketuai oleh Imam Yusuf. Penduduk Lamag pada waktu itu terdiri daripada etnik Sukang, Makiang dan Dumpas. Selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, The British Borneo Timber Company mula melakukan kegiatan membalak di kawasan hutan berhampiran Bukit Garam. Pada tahun tersebut, Imam Yusuf dan para pengikutnya juga berpindah ke Bukit Garam. Namun, pada tahun 1950-an, Imam Yusuf dan pengikutnya sekali lagi berpindah dan mengasaskan penempatan baharu yang sekarang ini dikenali Kampung Batu Puteh.

            Migrasi penduduk di antara kawasan dalam Sabah turut mengubah sedikit sebanyak komposisi subetnik asal Orang Sungai iaitu seperti etnik Makiang, Liwagu dan Ida’an kepada pencampuran subetnik lain inilah yang menimbulkan keunikan identity budaya Orang Sungai pada masa kini. Kehidupan harian Orang Sungai juga tidak terlepas daripada impak pembangunan dan perubahan sosial. Misalnya di kawasan hilir Kinabatang, telah berlaku perubahan aktiviti ekonomi tradisi seperti daripada berburu dan menjadi nelayan sungai kepada aktiviti ekonomi baharu, iaitu penglibatan mereka dalam ekopelancongan, pemuliharaan hutan dan hidupan liar serta turut terlibat sebagai pekebun kecil lading kelapa sawit. Justeru, arus pemodenan dan pembangunan yang pesat merupakan cabaran utama yang terpaksa dihadapi oleh Orang Sungai demi mempertahankan identiti sosiobudaya unik yang diamalkan mereka selama ini.

Adat Perkahwinan Kumpulan Etnik Sungai

            Sebahagian besar perkahwinan Orang Sungai berbentuk monogami dan hanya sebilangan kecil yang mengamalkan poligini khususnya mereka yang telah menganut agama Islam. Dalam tradisi Orang Sungai, perkahwinan yang diatur oleh ibu bapa ataupun keluarga kerap berlaku. Malah, ada yang telah dijodohkan ketika masih dalam kandungan ibu. Namun, rata- rata lelaki mahupun perempuan daripada etnik Orang Sungai mempunyai kebebasan memilih calon suami ataupun isteri masing-masing.4 Malahan, ada juga yang berkahwin dengan etnik bumiputera Sabah yang lain.

Merisik (Mangilug)

            Lazimnya apabila seorang lelaki telah bertemu dengan gadis yang ingin diojadikan calon isteri, lelaki berkenaan memaklumkan kedua-dua orang tuanya tentang hajat untuk mendirikan rumahtangga. Selepas mendapat persetujuan daripada ibu bapa, maka wakil untuk merisik ditemui bagi menyampaikan hajat kepada pihak keluarga perempuan. Kebiasaannya, ketua kampong dan berperanan sebagai orang tengah dalam semua urusan antara kedua-dua pihak bakal pengantin. Ketua kampong dan saudara terdekat pihak lelaki akan dihantar untuk merisik. Ketika pergi merisik, wakil pihak lelaki perlu membawa antara lainnya sehelai sapu tangan dan gelang kawat.5 Keluarga pihak perempuan perlu member jawapan sama ada menerima ataupun menolak lamaran tersebut dalam tempoh tujuh hari. Barang yang dibawa semasa merisik akan ditinggalkan di rumah pihak perempuan. Sekiranya pihak perempuan menerima risikan, maka kedua- dua pihak akan berbincang untuk meminang. Walaubagaimanapun, sekiranya di tolak, maka barang yang ditinggalkan di rumah pihak peempuan semasa merisik perlu dikembalikan semula dan nilainya perlu digandakan. Perempuan yang menolak lamaran perlu memulangkan barangan tersebut seterusnya memohon maaf kepada keluarga pihak lelaki yang ditolak peminangnya.

Meminang (Momogong)

            Proses seterusnya sebelum perkahwinan berlangsung dikenali sebagai meminang. Pada hari berlangsungnya pertunangan, barangan hantaran akan di bawa bersama oleh pihak lelaki. Antara barang yang perlu dibawa ialah bekas menyimpan peralatan sirih, sebuah gong dan subang. Selain barangan, wang bernilai RM5 juga dibawa untuk diserahkan kepada keluarga perempuan sebagai pembuka mulut. Sekiranya tidak membawa RM5, sebuah tempayan kecil boleh digunakan menggantikan wang untuk tujuan tersebut.

            Dalam majlis meminang, perbincangan jenis-jenis barang yang akan diserahkan kepada pihak pengantin perempuan akan dilakukan. Antara barang yang diminta oleh bakal pengantin perempuan kepada pihak lelaki ialah parang dan tempayan. Selain itu, sepanjang tempoh bertunang, kiranya bakal pengantin perempuan tidak mempunyai rumah, pihak pengantin lelaki juga perlu membuat rumah. Bakal pengantin lelaki tidak dibenarkan berkahwin selagi rumah yang dibina tidak siap sepenuhnya. Nilai bayaran kepada bakal pengantin lelaki akan dikurangkan sebanyak RM10, iaitu bersamaan satu depa berdasarkan keluasan rumah yang dibina.

Malam Berinai (Manulau)

            Malam berinai merupakan upacara yang dilakukan pada malam sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan. Majlis ini hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat pihak bakal pengantin. Dalam majlis ini, bakal pengantin akan berinai di kuku dan berbedak.6 Bakal pengantin digalakkan berjaga sepanjang malam hingga ke subuh bagi mengelakkan daripada bermimpi buruk. Pada keesokan hari selepas mandi, kening bakal pengantin akan dirapi dan rambut akan digunting.

Hari Majlis Perkahwinan (Mindakod Kumawin)

            Sebelum berkunjung ke rumah pengantin perempuan, pihak lelaki akan memainkan irama muzik tradisional di rumahnya. Ini menandakan pengantin lelaki akan berangkat ke rumah pengantin perempuan. Antara alat yang digunakan ialah kulintangan dan gong. Ketibaan pengantin lelaki di rumah pihak perempuan juga disambut dengan memainkan muzik tradisional. Barang yang dibawa bersama pihak pengantin lelaki ialah tempayan, parang, lembing dan periuk. Proses pengiraan nilai barang-barang ini akan dilakukan. Selepas proses pengiraan ini selesai, pengantin lelaki akan masuk ke bilik bakal isterinya.

            Untuk memasuki bilik tersebut, pengantin lelaki perlu memberikan RM1 kepada kedua-dua mertuanya untuk membuka pintu bilik iaitu tempat pengantin perempuan berada. Setelah berada di dalam bilik, pengantin lelaki pula akan membayar RM5 untuk membuka kelambu. Setelah membuka kelambu, pengantin lelaki diminta menyerahkan pencucuk sanggul untuk membuka tudung yang menutupi wajah pengantin perempuan dan kemudiannya memakaikannya pada rambut isteri. Selain itu, pengantin lelaki juga menyerahkan kain sarung dan baju kepada pasangannya yang akan dipakai selepas mandi. Pada waktu malam, majlis keramaian diteruskan hingga ke pagi.

Kunjungan ke Rumah Pengantin Lelaki (Mangalisiu)

            Kunjungan ke rumah keluarga pengantin lelaki akan dilakukan dalam tempoh antara satu hingga tiga hari selepas majlis perkahwinan selesai. Dalam majlis ini, pihak keluarga lelaki menyediakan segala bentuk persediaan dan aktiviti meyamai dengan apa-apa yang telah disediakan oleh pihak pengantin perempuan.  Walau bagaimanapun, sebagai tambahan, pengantin perempuan akan diberikan talam, pinggan, mangkuk, gelas, bekas sirih dan bekas tembaga.

Berpatah Balik ke Rumah Pengantin Perempuan (Mupata’)

            Selepas sehari berada di rumah keluarga pengantin lelaki, pasangan suami isteri yang baru berkahwin ini perlu kembali semula ke rumah pengantin perempuan. Setelah berada di rumah keluarga pihak perempuan, upacara kedua pengantin baru itu pun dimulai. Dengan ini, pengantin lelaki khususnya, tidak boleh keluar dari rumah selama empat hari. Upacara ini bertujuan membolehkan pengantin lelaki membiasakan diri di rumah keluarga isterinya. Selepas empat hari, barulah suami tadi boleh memulakan aktiviti sehariannya seperti biasa.

Perubahan dalam Adat Perkahwinan

            Adat istiadat perkahwinan Orang Sungai mengalami pelbagai perubahan. Hal ini berlaku kerana perubahan sosioekonomi, sistem kepercayaan dan agama serta factor sosial termasuk pendidikan. Rata-rata ramai yang telah menganut agama Kristian, dengan ini paderi dan gereja merupakan elemen penting dalam proses perkahwinan mereka.7 Manakala bagi Orang Sungai yang beragama Islam pula, mereka berpegang kepada hokum nikah dalam Islam. Dalam hal ini, factor agama dilihat menjadi pencetus yang dominan dalam mempengaruhi perubahan yang berlaku dalam system perkahwinan Orang Sungai secara keseluruhannya.

Barangan yang Dibawa Ketika Merisik (Mangilug) dan Meminang (Momogong)

            Adat dalam upacara merisik dan meminang masih diamalkan namun adat tersebut telah mengalami perubahan. Antara perubahan tersebut ialah jenis barang yang dibawa ketika kedua-dua upacara ini mengikut peredaran zaman. Pada masa kini, barangan yang dibawa ketika merisik meliputi sebentuk cincin emas dan wang bernila RM20,000.

            Perubahan yang serupa juga berlaku dalam majlis meminang. Peberian gong dan subang kepada bakal pengantin perempuan dalam adat tradisi digantikan dengan sebentuk atau dua bentuk cincin emas. Manakal parang, tempayan dan barangan keperluan lain pula digantikan dengan wang tunai sebanyak RM300. Pemberian buru’ digantikan dengan wang ringgit bagi menggantikan hantaran seperti gong, subang dan tempayan. Untuk itu, wang sebanyak RM5,000 atau lebih diminta oleh keluarga pengantin perempuan bagi tujuan pebelanjaan majlis perkahwinan. Perubahan aktiviti ekonomi dalam kalangan etnik Orang Sungai membolehkan mereka menyediakan wang tunai yang diminta.

Perkahwinan Campur

            Peningkatan tahap pendidikan dan migrasi Orang Sungai ke kawasan Bandar untuk bekerja menyebabkan berlakunya pergaulan dengan kumpulan etnik lain. Interaksi dengan etnik lain telah membuka ruang kepada perkahwinan campur. Sebagai contoh, ada Orang Sungai yang berkahwin dengan etnik Kadazan.8 Malah ada yang mendirikan rumah tangga dengan etnik Melayu dari Semenanjung Malaysia. Perkahwinan antara dua kumpulan etnik yang berbeza telah member kesan ke atas sistem perkahwinan Orang Sungai. Sesetengah upacara ditinggalkan kerana mengikut adat dan budaya salah satu pasangan pengantin.

Kepentingan Adat Perkahwinan dalam etnik Sungai di Sandakan

            Adat secara umumnya di definasikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ianya mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu difahami khalayak berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya.9  Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia.

Adat akan memainkan peranan dalam memastikan kelancaran sesebuah majlis tersebut. Adat merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut. Masyarakat Sungai begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat.

Merisik

            Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya, adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya. Bagi pihak gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik. Walaubagaimanapu, adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan telebih dahulu, justeru itu mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.

Meminang

            Setelah diketahui bahawa gadis tersebut dalam berpunya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara mara kedua-dua belah pihak akan berunding yang menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak.

Bertunang

            Selepas perbincangan diadakan, majlis pertunangan akan dilangsungkan. Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara bertunang. Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan cincin kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Setelah pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan.10 Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua belah pihak. Satu perkara yang ditikberatkan ialah berkenaan putus tunang. Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, emua wang hantaran dan belanja yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus, sebaliknya jika pihak perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua kali ganda.

Adat Berinai

            Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat. Berinai curi diadakan tiga malam sebelum hari langsung untuk saudara mara terdekat sahaja. Selain itu, berinai kecil diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai. Seterusnya, berinai besar diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan. Selepas adat berinai besar dilakukan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di rumah pengantin perempuan, sebaliknya akan terus pulang ke rumah ataupun sekiranya rombongan tersebut datang dari jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah penanggak iaitu rumah yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.

Hari Majlis Perkahwinan

            Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Upacara ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain spertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walaubagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam.

Kesimpulan

            Sistem perkahwinan dalam masyarakat Orang Sungai bukan hanya merupakan ritual yang menyatukan dua individu sebagai pasangan suami isteri. Malahan majlis perkahwinan yang dilangsungkan perlu mengikut susun atur dan makna budaya yang telah ditetapkan oleh komuniti ini. Ini desebabkan system perkahwinan Orang Sungai menonjolkan upacara tersendiri dan pantang larang yang perlu dipatuhi oleh ahli masyarakatnya. Setiap proses dalam ritual yang diamalkan bemula daripada meminang hinggalah kepada berlangsungnya majlis perkahwinan mempunyai set peraturan, makna nilai dan norma yang perlu dipatuhi.

Namun begitu, sifat budaya yang sentiasa berubah menyebabkan system perkahwinan Orang Sungai juga mengalami perubahan dan pengubahsuaian. Pengubahsuaian yang berlaku disebabkan penerimaan elemen-elemen baharu dalam system sosial dan budaya perkahwinan seperti mengenakan pakaian kumpulan etnik lain dalam majlis perkahwinan dan sesetengah peringkat amalan perkahwinan dimansuhkaan atas sebab larangan agama. Semua ini menggambarkan bahawa masyarakat Orang Sungai merupakan etnik yang dinamik dalam menyesuaikan diri mereka dengan perubahan zaman termasuklah dalam amalan dan adat istiadat perkahwinan mereka pada kini.

Bibliografi

Sumber Primer
Rubainah Haji Rangon , 29 Februari 2016
Azizul Bin Juhari, 29 Februari 2016

Sumber Sekunder
Ali Gajing , Sejarah dan Kebudayaan Adat Perkahwinan , Perpustakaan Negara Malaysia Dewan Bahasa dan Pustaka , 1994

L.W. Jones , The Population Of Borneo ,  Opus Publications

Rosazman Hussin , Jlihah Md. Shah & Dayu Sansalu ,  Orang Sungai , ITBM-UMS , 2012

John , Julie King , Sungai (Labuk-Sugut) , Perpustakaan Negeri Sabah , 1999

Nelson Dino , Etnik Melestarikan Bahasa Sukuan Sabah , Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah , 2009

3 ulasan:

  1. Saya Ada pertanyaan sedikit mengenai suku kaum sungai segama. Suku Ni sekarang Ada di sukau Dan bilit kinabatangan. Ada persamaan dgn suku sungai idahan kah? Daripada maklumat di atas, Ada persamaan dari segi penempatan, gaya hidup Dan sejarah asal usul.

    BalasPadam
  2. boleh bertanya ? "Appell" yang dinyatakan bermaksud apa ?

    BalasPadam
  3. Pembetulan teks bahawa Al marhum Pangiran Digadong Samah adalah etnik buludupi.. Bukan Edaran..

    BalasPadam