Soalan 117 (b). Huraikan
peranan Muhammad Ali Pasha dalam membangkitkan semangat nasionalisme di Mesir.
Muhammad Ali
atau lebih dikenali sebagai Muhammad Ali Pasha Al Mas’yd Ibrahim Agha yang
berketurunan Turki, berbangsa Albania dan merupakan salah seorang panglima
tentera Uthmaniyah. Beliau berasal dari
Macedonia telah dihantar ke Mesir oleh Sultan Selim III bagi memerangi
pencerobohan Perancis. Kejayaan beliau memberikan kemajuan yang tinggi terhadap
umat Islam di Mesir menjadikannya diangkat sebagai salah seorang Khedif Mesir pada tahun 1805M. Gelaran Pasha (orang
bangsawan) turut diberikan kepada dirinya sendiri sebagai ganjaran atas
kegigihan, ketekunan dan juga keberanian yang dimilikinya untuk melenyapkan
pengaruh Dinasti Mamluk. Beliau turut melaksanakan proses modenisasi Mesir
dengan menggunakan Model Perancis. Oleh
kerana itu, beliau digelar Bapa Permodenan Mesir. Muhammad Ali Pasha telah
memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat nasionalisme terhadap
rakyat Mesir.
Salah satu
peranan Muhammad Ali Pasha ialah bidang pentadbiran juga menjadi salah satu sebab kebangkitan
semangat nasionalisme di Mesir terjadi. Hal ini demikian kerana setelah beliau
menjadi Khedif di Mesir, seluruh sistem politik di Mesir diubah dan telah
menubuhkan sebuah sistem birokrasi yang lebih efisien dan cekap. Sehubungan itu,
beliau menyingkirkan seluruh pemimpin-pemimpin golongan pro-Mamluk termasuklah
golongan-golongan yang berhaluan kiri dalam pentadbiran. Bukan itu sahaja,
beliau turut mengenepikan golongan ulama
dalam pentadbiran kerana ulama menjadi penghalang kepada usaha pembaharuannya
yang berkiblaktkan Barat. Lazimnya, penasihat dan sarjana luar terutama dari Perancis
diambil untuk berkhidmat dalam pentadbiran untuk memastikan pembaharuan dan
permodenan Mesir berjalan lancar. Malahan pada tahun 1805, beliau telah membentuk
sekumpulan pemerintah Mesir yang terdiri daripada bangsa Turki dan Mesir serta
pegawai elit yang terpelajar untuk menguruskan pentadbiran dan melancarkan
pengutipan cukai. Keadaan ini
menunjukkan bahawa beliau amat berhati-hati dalam menjalankan pentadbirannya
demi mencapai matlamatnya iaitu membebaskan Mesir dari kerajaan Uthmaniyah.
Selain itu,
Muhammad Ali Pasha turut berperanan dalam
bidang ketenteraan untuk
membangkitkan semangat nasionalisme di Mesir.
Kejayaan beliau menumbangkan
Dinasti Mamluk menyebabkan beliau meneruskan gagasannya iaitu bagi memastikan
taraf ketenteraan yang dimiliki adalah sejajar dengan negara Barat. Oleh itu,
beliau telah menyusun semula angkatan tentera Mesir agar mereka lebih berdisiplin dan pentadbirannya lebih cekap
dan teratur. Misalnya, pada tahun 1815 M, Muhammad Ali Pasha memastikan bahawa
setiap bala tenteranya akan dilatih dengan baik berdasarkan “Nizam Al-Jadid” yang
dikenali sebagai peraturan baru
termasuklah arahan yang mewajibkan setiap para petani di luar daerah
untuk mengikuti ketenteraan. Beliau turut mengimport beberapa senjata buatan Eropah
untuk digunakan oleh bala tenteranya. Misalnya pada tahun 1986, seramai 90000
anggota tentera lengkap dengan pasukan mariam setanding tentera Eropah.
Seterusnya, beliau turut menguruskan kolej ketenteraan Aswan untuk memberi
latihan dan kemahiran kepada pegawai tentera. Bagi pegawai tentera yang telah
mendapat pendidikan ketenteraan hendaklah berbakti kepada beliau dengan
memastikan setiap ilmu yang dipelajari mereka dapat membantu bidang ketenteraan
di Mesir. Kesannya, Muhammad Ali Pasha
berjaya mematahkan pemberontakan al-Muwahiddun, menguasai utara Suddan
dan menjadikan Mesir mucul sebagai sebuah kuasa tentera yang terkuat di Asia Barat.
Semangat nasionalisme
juga terbentuk apabila Muhammad Ali Pasha turut cuba mengukuhkan lagi alur ekonomi di Mesir. Antara usaha Muhammad Ali Pasha ialah melaksanakan
sistem monopoli yang bertujuan untuk mengambil keseluruhan hasil demi
meningkatkan pendapatan negara. Keadaan ini termasuklah dengan merampas seluruh
tanah wakaf dan harta-harta orang kaya di Mesir sekaligus menghapuskan harta
kekayaan yang dimiliki oleh kaum Mamluk
Berdasarkan sistem monopoli ini, sistem cukai baharu juga diperkenalkan
dan memastikan bahawa segala pembelian hasil pertanian dari petani adalah
murah, kemudian menjualnya kepada masyarakat tempatan dan para pedagang dengan harga yang tinggi.
Sejajar dengan sistem yang dilaksanakan, Muhammad Ali Pasha juga mewujudkan
sistem pengairan yang lengkap bagi menambahkan produktiviti hasil pertanian dan
membolehkan para petani menanam tiga jenis tanaman dalam setahun. Antaranya
ialah pembinaan terusan kuno juga dilaksanakan yang menghubungan Alexandria
hingga ke Sungai Nil sepanjang tahun bagi mengantikan sistem pengairan
takungan. Kilang-kilang memproses makanan, barangkan kulit, peralatan senjata
dan lain-lain turut dibangunkan. Ini termasuklah sistem pengangkutan yang
melancarkan segala aktiviti perdagangan dan perhubungan dalam negeri mahupun antArabangsa.
Misalnya, menugaskan kumpulan Saint Sinonians untuk pembinaan Terusan Suez.
Seterusnya,
peranan Muhammad Ali Pasha yang mementingkan
pendidikan juga adalah salah satu sebab semangat nasionalisme itu terbentuk
di Mesir. Hal ini dapat dikaitkan dengan keperibadian beliau yang begitu
memandang tinggi terhadap ilmu pengetahuan meskipun dia adalah seorang yang
buta huruf sejak kecil lagi. Beliau
telah mewujudkan dua sistem pendidikan di Mesir semasa pemerintahannya iaitu
sekolah tradisional (bidang keagamaan) dan sekolah moden (ilmu umum). Kewujudan kedua-dua sistem ini diasingkan
kerana beliau berpendapat bahawa ilmu tersebut akan berguna membantu
perkembangan Mesir kelak. Beliau menubuhkan Kementerian Pendidikan, sekolah
rendah berorientasikan kurikulum Barat dan Sekolah Ketenteraan yang merupakan
sekolah pertama yang ditubuhkan pada tahun 1815 MDi
samping itu, Muhammad Ali Pasha juga mendelegasikan seramai 311 pelajar ke Eropah
seperti Perancis, Itali, Inggeris atau Austria untuk mempelajari ilmu
ketenteraan, pentadbiran, kejuruteraan, perubatan serta sains dan teknologi. Bukan itu sahaja, beliau
juga menjemput guru-guru agung dari Eropah
bagi melaksanakan pengajaran di sekolah-sekolah yang telah
ditubuhkannya.
Seterusnya, Muhammad Ali Pasha juga banyak
memainkan peranan dalam memupuk semangat nasionalisme melalui kewartawanan. Beliau telah menerbitkan beberapa karya dan
buku-buku. Pada tahun 1828M, Muhammad Ali telah mencetak dan menerbitkan
majalah yang dinamakan sebagai “
al-Waqa’i al-Mishriyah” (Berita Mesir). Penerbitan majalah
ini adalah untuk memberitakan segala peristiwa dunia sekaligus menyebarkan
gagasan nasionalisme sehingga menimbulkan kesedaran kepada masyarakat tempatan Mesir.
Bukan itu sahaja, majalah ini juga menjadi salah satu sumber berita yang boleh
dipercayai. Sehubungan itu, beliau turut mencetak beberapa buku teks hasil
daripada terjemahan pelajar-pelajar yang dihantar ke Eropah. Lazimnya,
buku-buku yang diterjemahkan dari bahasa Eropah ke Arab mencakupi bidang
falsafah, biologi, geografi, pelancongan, politik dan antropologi. Berdasarkan
penterjemahan ini, Muhammad Ali Pasha menggunakan terjemahan itu untuk
dijadikan buku teks di sekolah-sekolah yang dibangunkannya. Hal ini sedikit
sebanyak dapat membantu masyarakat di Mesir mempelajari ilmu-ilmu yang baharu.
Kesimpulannya, Muhammad Ali Pasha amat berperanan
untuk membangkitkan semangat nasionalisme di Mesir melalui pentadbiran,
ketenteraan, ekonomi, pendidikan dan kewartawanan. Usaha beliau dalam
pendidikan sangat meninggalkan impak yang besar kepada masyarakat tempatan Mesir
untuk melancarkan gerakan nasionalisme. Tampuk pemerintahannya yang bersifat
ditaktor dan permodenan yang berlebihan dengan meminggirkan Islam menjadikan
beliau tidak begitu disukai segelintir masyarakat Mesir. Apa yang pasti, Muhammad Ali Pasha telah
terperangkap dengan muslihat kuasa Barat khasnya British yang memaksa beliau
menandatangai perjanjian London pada 1840M. Perjanjian ini telah menghadkan
kuasa beliau dan mengurangkan saiz pasukan tenteranya. Keadaan ini telah
membuka mata masyarakat Mesir bahawa masih terdapat pelbagai cara untuk
mendapatkan pemerintahan yang terbaik. Muhammad Ali Pasha telah menjadi titik
permulaan semangat nasionalisme di Mesir.
Soalan 117 (c). Terangkan
peranan Abdul Rahman al-Kawakibi dalam gerakan nasionalisme di Syria pada abad
ke-20.
Abd al-Rahmān
ibn Ahmad Bahā’i ibn Mas‘ūd al-Kawākibi dilahirkan pada tahun 1855 di Kota
Aleppo, Syiria. Ayahnya Sayid Ahmad Bahā’i ibn Muhammad ibn Mas‘ūd al-Kawākibi
(1244-1299/1829-1882) merupakan seorang Mufti di Antokia. Ibunya bernama Afifah
binti Mas‘ud. Beliau dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Ali ibn Abi Talib. Pada usianya enam tahun,
ibunya meninggal dan dibesarkan oleh ibu
saudaranya iaitu Safiyyah. Beliau dapat menguasai bahasa Uthmani-Turki dan Persia hasil didikan
beliau. Beliau mendapat pendidikan awal daripada Said Najib al Naqaib di
Anatokia. Keintelektualan beliau terbukti dengan menguasai Ulum Islamiyyah, Bahasa Inggeris, matematik,
fizik dan politik. Beliau amat dikenali sebagai penulis Syiria yang terkenal,
pejuang Pan Arabisme dan pemikir reformis di timur Mediterrranean pada
penghujung abad ke 19. Oleh kerana itu, Abdul Rahman al-Kawakibi amat
berperanan dalam gerakan nasionalisme di Syiri pada abad ke 20.
Peranan Abdul
Rahman Al-Kawakibi dalam gerakan nasionalisme di Syria pada abad ke 20 adalah
dalam bidang kewartawanan. Beliau
sangat meminati sastera dan politik. Pada tahun 1870, beliau mula terlibat
dalam penulisan akhbar rasmi di Aleppo dalam bahasa Arab dan Turki. Beliau bekerja sebagai penyunting akhbar
al-Furat selama lima tahun (1875-1880) ketika usianya 20 tahun. Beliau juga
telah mengasaskan dua buah akhbar baharu iaitu al-Sahba dan al-Itidal. Akhbar al-Sahba telah diterbitkan
pada 1875. Akhbar ini dianggap lebih radikal berbanding akhbar yang sedia ada.
Ini kerana Abdul Rahman al-Kawakibi telah mengkritik pemerintahan kuku besi dan
kezaliman Empayar Uthmaniyah, mengkritik pemerintahan gabenor Aleepo, Jamil
Pasha serta membangkitkan idea-idea reformis dalam kalangan masyarakat
tempatan. Kesannya, akhbar ini ditutup pada 1877 setelah 16 terbitan. Kemudia
beliau mengasaskan pula akhbar al-Itidal pada Julai 1879. Namun akhbar ini
hanya bertahan tiga bulan setengah sahaja kerana isu yang sama dengan akhbar
sebelumnya. Namun begitu, artikel-artikel beliau tetap diterbitkan di majalah
Kaherah, Damsyik dan Beirut walaupun tanpa nama.
Dalam pada itu, beliau turut
berperanan dalam pentadbiran tempatan
dan wilayah dalam gerakan nasionalisme di Syiria pada abad ke 20. Ini
kerana Abdul Rahman al-Kawakibi berpengalaman menjawat jawatan rasmi di Aleepo,
Syiria dalam bidang pendidikan, kehakiman dan ekonomi. Bermula tahun 1878, beliau merupakan penyuting
akhbar al-Furat dan pada masa yang sama beliau menjawat jawatan sebagai
Setiausaha Majlis Pendidikan. Pada April 1879, beliau lulus dalam bidang
kehakiman dan menjawat Pendaftar Mahkamah Pertama di Aleepo. Bidang tugas
beliau adalah mengendalikan kes-kes tempatan. Manakala pada Mac 1881, sekali
lagi beliau dinaikkan pangkat oleh Jamil Pasha sebagai Presiden Majlis Kanan
Awam, ekoran ramai pegawai yang telah dipecat oleh gabenor tersebut. Kemudian
telah dilantik sebagai hakim Mahkamah Komersial oleh Kementerian keadilan
Istanbul. Pada tahun 1884, beliau turut
memegang jawatan Pegawai waqaf Agama di Aleepo. Penangkapan beliau telah
menjadikan beliau lebih dikenali oleh seluruh masyarakat Syria akibat
penganiyaan terhadap beliau. Pada tahun 1896 beliau beralih ke bidang swasta
dengan membuka Syarikat sendiri. Namun
demikian usaha beliau gagal akibat pemberontakan puak Armania dan akhirnya
beliau diberi jawatan ketua Setiausaha Mahkamah Syariah oleh Raif Pasha. Walau
bagaimanapun, beliau sendiri yang
meletakkan jawatan pada 1898 dan kemudiannya berhijrah ke Mesir kerana
menumpukan sepenuhnya kepada penerbitan karyanya.
Selain itu,
Abdul Rahman Al-Kawakibi turut berperanan menghasilkan
karya dalam gerakan nasionalisme di Syiria pada abad ke 20. Beliau berjaya
menghasilkan beberapa karya iaitu Tabā’i‘ al-istibdād wa
masāri‘ al-isti‘bād (The Nature of Despotism and the
Harm of Enslavement) dan Umm al-Qura (The
Mother of Villages: Mecca). Melalui karya Tabā’i‘ al-istibdād wa masāri‘
al-isti‘bād, beliau banyak membincangkan idea kezaliman dan beliau
menolaknya. Beliau menolak despotisme
iaitu kekuasaan yang mutlak atas kemahuan pemerintah itu sendiri tanpa
memikirkan kebajikan rakyat yang lazimnya diamalkan oleh pemerintah Empayar Uthmaniyah.
Bukan itu sahaja, beliau turut memperjelaskan
punca kemerosotan masyarakat Islam antaranya penyalahgunaan agama,
pemesongan agama, pengabaian nilai-nilai Islam serta penolakan permodenan
teknologi. Sementara itu, Karya Umm al-Qura beliau telah diterbitkan
pada 1900. Melalui karya ini, beliau percaya bahawa Mekah sepatutnya menjadi
ibu negara dunia Islam, bukan Istanbul. Beliau adalah penyokong sejarah Arab
luar biasa sebagai lokasi pengasas Islam. beliau mendakwa bahawa jawatan
khalifah adalah hak orang Arab dan mesti dikembalikan kepada bangsa
Quraisy. Beliau menyeru agar kongres Islam
rahsia diadakan semasa Haji di Mekah setiap tahun sekali gus menggambarkan
kepentingan Mekah kepada dunia Islam.
Di samping itu, Abdul Rahman Al kawakibi turut berperanan memperjuangkan idea-idea pembaharuan
politik dalam gerakan nasionalisme di Syiria. Beliau memegang visi
“kecelakaan yang terbesar adalah hilangnya kebebasan kita, kebebasan untuk
bersuara dan menerbit, kebebasan untuk menjalankan kajian saintifik”. Dalam
erti kata lain, beliau menentang pemerintahan secara kuku besi yang menyekat
kebebasan dan hak-hak rakyat. Selain itu, beliau turut mendukung kemerdekaan Arab
dan khalifah Arab yang dipilih dengan kuasa yang terbatas sebagai asas bagi
kebangkitan Islam. Maka tidak hairanlah jika beliau dianggap pejuang reformis Islam
Syria dan penganjur khalifah Arab serta pelopor semangat perjuangan nasionalis.
Semangat perjuangannya dalam membela kaum tertindas dan menyingkirkan
ketidakadilan menarik perhatian masyarakat khasnya rakyat yang daif dan melarat sehingga mengelarnya
i Abū al-Du‘afā’ yang bermaksud “Bapa
kaum yang lemah”.
Seterusnya, beliau juga berperanan memperjuangkan Pan Arabisme dalam
gerakan nasionalisme di Syiria pada abad ke 20. Semangat dan pemikiran beliau
banyak dipengaruhi oleh pemikiran Jamal al-Din al-Afghani dan Muhammad Abduh.
Matlamat beliau dalam gerakan Pan Arabisme ialah memperbaharui dunia Islam yang
semakin lemah serta memberi keistimewaan kepada orang Arab dengan memberi
penekanan keperibadian Arab mereka. Beliau juga mengharapkan penubuhan khilafah
Arab yang bertentangan dengan sistem Khilafah Uthmaniyah. Idea Pan Arabisme ini
memperlihatkan pemikiran beliau bahawa hanya orang Arab yang mampu memulih dan
membangkitkan semula agama Islam.
Kesimpulannya,
Abdul Rahman Al Kawakibi sememangnya berperanan penting dalam gerakan
nasionalisme di Syiria. Antaranya terlibat dalam kewartawanan, pentadbiran,
penghasilan karya, idea-idea pembaharuan politik dan perjuangan Pan Arabisme.
Walau bagaimanapun, penglibatan dalam bidang kewartawanan merupakan perintis
kepada gerakan nasionalisme beliau di Syiria. Pada tahun 1902 beliau tiba-tiba
meninggal dunia di Kaherah setelah menghabiskan hari sebelumnya sebagai tetamu
Khedif di Iskandariah. Ahli keluarga dan penyokongnya mendakwa beliau diracun
oleh ejen-ejen Turki tetapi tidak dapat dibuktikan. Apa yang pasti, pemikiran
beliau telah berakar umbi dan menjadi perintis kepada gerakan nasionalisme di Syiria dan seluruh Timur Tengah pada abad ke 20.
Soalan 117 (d). Jelaskan
peranan Jamal al-Din al-Qasimi dalam membangkitkan semangat nasionalisme di
Syria pada abad ke-20.
Pada 17
September 1866, lahir seorang tokoh intelektual Islam yang tersohor di Damsyik
iaitu Jamal al-din al-Qasimi atau lebih dikenali sebagai Muḥammad Jamāl al-Dīn
Abu al-Farj bin Muḥammad Saʿīd bin Qāsim ibn Ṣāliḥ bin Ismāʿīl bin Abi Bakr.
Beliau yang berketurunan al-Hasan bin Ali, cucu kepada Rasulullah SAW itu mempunyai
ilmu agama sangat mendalam dan bakat dalam seni bahasa. Selain itu, beliau juga
merupakan seorang imam di Syam dan mewarisi gelaran datuknya “al-Qasimi” serta
mendapat pendidikan awal di kampung dan bandar bumi kelahirannya iaitu Syria.
Jamal al-Din al-Qasimi adalah seorang yang mempunyai akhlak yang terpuji dan
sangat berpengaruh dalam kalangan masyarakat disebabkan beliau telah berguru
dengan tokoh-tokoh agama di kawasan tempat tinggalnya. Ketekunan beliau dalam
mendalami ilmu menjadikan beliau salah seorang intelektual yang disegani di Syiria.
Oleh kerana itu, beliau sangat memainkan peranan dalam membangkitkan semangat
nasionalisme di Syria sekitar abad ke-20.
Salah satu
peranan Jamal al-Din al-Qasimi untuk membangkitkan
semangat nasionalisme di Syria dengan menyertai Jam‘iyyah al-Mujtahidīn.
Beliau mula menyertai kumpulan ini
ketika kerajaan Syiria mengamanahkan beliau merantau ke bandar-bandar dan
kampung-kampung di Syiria untuk memberikan pengajaran awam selama empat tahun
dari 1308H hingga 1312H. Bukan itu sahaja, beliau turut melawat Masjid Al-Aqsa,
Juruselam, Mesir dan beberapa negara Arab lain untuk menimba ilmu
pengetahuan. Kumpulan ini adalah
kumpulan pengajian kitab-kitab agama yang terdiri daripada para ulama. Atas
dasar itulah, al-Qāsimī digelar sebagai Ḥādithah al-Mujtahidīn, yang
bermaksud pembaharu dalam kalangan mujtahid. Walau bagaimanapun, beliau telah
ditahan oleh kerajaan Syira pada tahun 1313H bersama beberapa ulama dalam
kumpulan ini atas tuduhan mengadakan mazhab sendiri yang dikenali sebagai al-Madhhab
al-Jamālī disebabkan pengaruhnya
yang luar biasa dalam masyarakat ketika itu. Beliau kemudiannya
dibebaskan setelah didapati tidak bersalah. Impak daripada penahanan ini beliau
semakin dikenali ramai.
Selain itu, peranan Jamal al-Din
al-Qasimi dalam membangkitkan semangat nasionalisme di Syiria ialah membangkitkan kepentingan perundangan Islam.
Beliau cuba untuk mengetengahkan perundangan Islam dengan kaedah dan dasar yang
membenarkan penggunaan teknologi moden seperti telegraf sebagai salah satu
tangga untuk mencapai kemajuan. Menurut
beliau dalam penulisannya, perundangan Islam merupakan salah satu bentuk
prinsip yang dicipta berdasarkan al-quran dan sunnah yang memberi peluang
kepada masyarakat untuk menjalani segala transaksi sosial dalam kehidupan
seharian mereka. Namun begitu, penggunaan teknologi moden seperti telegraf
mampu melancarkan lagi transaksi sosial itu sekaligus menjadikan perundangan Islam
bukanlah sesuatu hal yang sangat sukar untuk dipelajari dan penggunaannya
adalah terbaik dalam mencapai sebuah permuafakatan. Beliau yang merupakan
seorang golongan intelektual banyak menyedarkan masyarakat Syria akan perbezaan
pemerintahan kerajaan Uthmaniyah jika idea-idea beliau diaplikasikan dalam
pemerintahan tersebut. Oleh itu, peranan Jamal al-Din al-Qasimi dalam
menyuarakan perundangan Islam ini menjadi salah satu sebab kepada
kebangkitannya semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Syria.
Di samping
itu, Jamal al-Din al-Qasimi juga sangat memainkan peranan dalam bidang kewartawanan untuk membangkitkan
semangat nasionalisme di Syria. Penulisan ini bermula apabila beliau
menceburkan diri dalam idea reformis pada tahun
1890. Beliau telah mencipta beberapa karya tetapi tidak dapat
diterbitkan secara terbuka sehingga Revolusi Perlembagaan Uthmaniyyah
mewujudkan iklim politik yang lebih bebas pada tahun 1908. Keadaan ini memberi
peluang kepada beliau untuk bergiat aktif kembali melalui penulisan dalam
pelbagai bidang dan disiplin agama seperti perundangan Islam, akidah, tafsir,
adat, budaya Islam dan sejarah Arab. Beliau mempunyai lebih dari 100 karya
secara keseluruhannya termasuklah penulisan kitab dan majalah. Secara tidak
langsung, beliau pada ketika itu digelar salah seorang tokoh agama liberal di
Damsyik yang memihak kepada perlembagaan kerajaan. Lebih-lebih lagi, generasi
muda Syria dengan kecenderungan nasionalisme Arab mendapat inspirasi dari
seruannya untuk memperbaiki budaya Arab dan kebangkitan sastera menjadi tumpuan
utama
Seterusnya,
Jamal al-Din al-Qasimi turut berperanan menghasilkan
karya-karya untuk membangkitkan semangat nasionalisme di Syiria. Terdapat
dua aspek yang menjadi panduan kepada Jamal al-Din al-Qasimi untuk menerbitkan
karyanya. Antaranya ialah seseorang hendaklah menggesa umat Islam untuk
menangani perpecahan mazhab serta kembali kepada al-Quran dan Sunnah sebagai
salah satu sumber rujukan. Selain itu, seseorang hendaklah melakukan penekanan
terhadap merasionalkan pemahaman Islam dalam akidah dan syariat. Antara
karyanya yang terkenal ialah Kitab tafsir Maḥāsin al-Ta’wil, Kitab ini ditulis oleh beliau pada 1317H
hingga penghujung usianya. Melalui tafsiran dalam kitab ini, beliau
telah memberikan sumbangan pelbagai bidang ilmu yang terkandung dalam al-Quran
seperti fizik, astronomi, biologi, sains sosial dan sebagainya. Keadaan ini
menunjukkan bahawa penulisan karya-karya beliau banyak memberikan impak positif
kepada perkembangan ilmu dan juga sebagai jambatan antara al-Quran dengan
kajian saintifik semasa.
Akhir
sekali, peranan Jamal al-Din al-Qasimi dalam membangkitkan semangat
nasionalisme di Syria adalah melalui pendidikan.
Hal ini demikian kerana Syria ketika itu sangat tidak mementingkan pendidikan
sehingga begitu banyak lembaga pendidikan ditutup dan kebanyakan masyarakatnya
tidak berilmu dan buta huruf. Keadaan ini berbeza dengan latar belakang beliau
kerana keluarganya sangat mengutamakan dan memuliakan ilmu pengetahuan. Beliau
yang dari kecil begitu tekun membaca, menulis dan mempelajari Al-quran
menyebabkan dia begitu terkenal dalam kalangan masyarakat Syria. Seluruh ilmu
tauhid dan ilmu bahasa dikuasainya bahkan pelbagai kitab juga dipelajari dan
dikaji secara mendalam sehinggalah beliau menjejakkan kaki ke kota Damsyik demi
meneruskan pengajiannya. Tambahan lagi apabila beliau diminta mengajar di
Universiti Sinan untuk menggantikan tempat ayahnya yang telah wafat, telah membuka
peluang kepada beliau untuk menunjukkan kemampuan dan kualitinya sebagai
seorang ulama. Latar belakang pendidikan beliau sememangnya sudah hebat dan
tidak ada seorang masyarakat Syria mampu menyangkalnya.
Kesimpulannya, Jamal
al-Din al-Qasimi sememangnya memainkan peranan terbesar di Syria antaranya
ialah menyertai Jam‘iyyah
al-Mujtahidīn, membangkitkan perundangan Islam, kewartawanan, menghasilkan
karya-karya dan latar belakang pendidikannya. Namun demikian penghasilan
karya beliau khasnya kitab tafsir merupakan peranan yang penting dalam
membangikitkan semangat nasionalisme di Syira. Apa yang jelas, perkembangan
idea penulisan beliau sedikit sebanyak memberikan nafas baru kepada umat Islam
di Syria bahawa pelbagai ilmu yang diperkenalkannya mampu membantu mereka
menguasai dunia. Jamal al-Din al-Qasimi telah meninggal dunia pada 1332M.
Idealisme beliau telah diwarisi oleh tokoh-tokoh seterusnya seperti Rashid
Rida, Mahmoud Al-Alousi dan abangnya Salah Al-Din Al-Qasimi
Woe
BalasPadamSangat membantu❤️
BalasPadamwow!
BalasPadamthnks]
BalasPadamgood
BalasPadamterima kasih, sangat membantu
BalasPadamThankyou..sangat bermanfaat
BalasPadamBoleh saya temuramah penulis blog?
BalasPadam