Isnin, 3 Februari 2014

1.1 Masyarakat Feudal

1.1.1  Masyarakat Feudal di England




Soalan 1: Huraikan struktur masyarakat Feudal yang diamalkan di negara England pada abad ke-16 hingga ke-17.

Pendahuluan

§  Konsep feudalisme adalah satu istilah atau konsep yang terbentuk di Eropah Barat selepas kejatuhan empayar Charlemagne dan berlanjutan sehingga abad ke- 14 M. Marc Bloch dalam bukunya Feudal Society, mentakrifkan istilah feudal digunakan bagi menerangkan seluruh kelakuan dan adat yang diterima dan wujud pada ketika itu serta organisasi kelas atasan yang meliputi perjanjian secara bertulis yang didominasi kekuasaan golongan atasan.
§  kedudukan seseorang individu dalam sistem feudal adalah mengikut sistem kelas bersusun lapis mengikut hierarki yang terikat dengan aturan yang ditetapkan oleh kerajaan atau golongan pemerintah ke atas golongan bawahan. Masyarakat feudal di England terbahagi kepada dua golongan, iaitu Pemimpin dan yang dipimpin. Golongan pemimpin terdiri daripada raja, bangsawan iaitu baron, paderi dan knight. Manakala golongan yang dipimpin ialah golongan petani atau rakyat biasa dan golongan hamba.
Isi-Isi Penting:

1.   Golongan Raja
§  Raja mempunyai Kedudukan tertinggi dalam era pemerintahan Dinasti Tudor (1485-1603). Era pemerintahan Raja Henry VII (1485-1509) di England menduduki hierarki tertinggi dalam masyarakat feudal dan berkuasa mutlak terhadap rakyat dan negara. Walaupun raja-raja mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak tetapi masih berpegang kepada tradisi politik England yang telah wujud sejak Zaman Pertengahan. Kuasa mutlak raja adalah meliputi pusat segala kekuasaan. Rakyat tidak mempunyai hak untuk membantah pemerintahan raja.
§  Raja-raja masih menghormati prinsip pembatasan kuasa pemerintah yang terdapat dalam Magna Carta. Maka, pemerintahan raja-raja tidak sepenuhnya membelakangi parlimen. Pembatasan kuasa pemerintah mi memperlihatkan bahawa rakyat England pada abad ke-16 menerima idea bahawa raja dilantik atas kehendak Tuhan, tetapi rakyat England tidak dapat menerima kepercayaan bahawa Tuhan telah memberi raja-raja kuasa mutlak untuk menjalankan pemerintahan.
§  Dasar pemerintahan Raja Henry VII: Tindakan berikut dilakukan oleh Raja Henry VII untuk mengukuhkan pemerintahan beraja berkuasa mutlak antaranya Meluluskan undang-undang menentang pemakaian pakaian khas (livery) dan Pengekalan tentera persendirian, dan pemakaian lambang kuasa sendiri sebagai amalan golongan bangsawan. Raja Henry juga menggunakan Majlis Diraja sebagai mahkamah yang baharu untuk menguruskan hal berkaitan harta benda dan situasi yang menganggu ketenteraman awam. Badan mi menjadi popular dan berjaya mewujudkan keamanan dan keadilan.
2.   Golongan Bangsawan
§  Golongan Bangsawan atau Baron memainkan peranan penting dalam pentadbiran dan ekonomi. Raja akan mengurniakan gelaran kepada bangsawan seperti count, duke, baron dan vassal. Duke berada dalam hierarki tertinggi diikuti oleh baron dan vassal. Golongan bangsawan yang menerima tanah daripada raja akan memerintah di tanahnya. Mereka akan mengawal penggunaan tanah, mengadakan undang-undang sendiri dalam mengawal petani atau serf yang mengusahakan tanah, dan mengenakan cukai yang ditentukan oleh golongan bangsawan. Sebagai balasan pemberian tanah oleh raja, golongan bangsawan dikenakan cukai ke atas tanah memberi ketaatsetiaan kepada raja, serta memperuntukkan knight sebagai tentera kepada raja.
§  Keseluruhannya, baron menggunakan tanah mengikut kehendak mereka dan mengagihkannya kepada knight. Bagi mempertahankan kekayaan golongan bangsawan, mereka menggunakan sistem pewarisan yang dikenali sebagai sistem primogeniture. Dalam sistem primogeniture, hanya anak lelaki tertua sahaja yang boleh mewarisi harta. Tujuannya adalah untuk mengelakkan harta atau tanah yang luas dibahagi-bahagi hak miliknya. Dengan cara ini, ekonomi golongan bangsawan akan dikekalkan.
§  Perang Bunga Mawar yang berlangsung selama 35 tahun bermula dan tahun 1450 hingga tahun 1485 antara golongan bangsawan menyebabkan banyak perubahan berlaku dalam golongan bangsawan. Ramai golongan bangsawan yang terkorban. Peperangan tersebut telah mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan raja, khasnya Dinasti Tudor yang memerintah England. Raja-raja Dinasti Tudor telah mengukuhkan cengkaman mereka di seluruh England.  Pengukuhan dan kekuasaan raja selepas perang tersebut menyebabkan raja merasakan kesetiaan golongan bangsawan kepada raja tidak sepenuhnya kerana mereka tidak dibayar gaji. Maka, raja telah melantik golongan pentadbir dan membayar gaji bagi menjamin kesetiaan mereka terhadap raja.
3.   Golongan Pahlawan atau Knight
§  Knight berada dalam golongan ketiga selepas golongan bangsawan. Golongan ini Diberi tanah sebagai balasan terhadap perkhidmatan dalam bidang ketenteraan seperti yang diminta oleh raja. Mereka Berkhidmat dengan raja, lord atau baron dan mendapat ganjaran seperti tanah, harta, dan barang rampasan. Mereka juga Diberi tanggungjawab untuk melindungi baron dan keluarga baron daripada diserang. Mereka Terikat dengan sumpah yang menghendaki mereka berkhidmat untuk baron dan raja dan Boleh dipanggil untuk berperang pada bila-bila masa.
§  Knight juga mempunyai tanah yang luas dan diagihkan kepada serf untuk mengerjakan tanah tersebut semasa ketiadaan knight. Sebagai balasan, serf akan memberikan khidmat kepada knight dan knight akan melindungi serf dan keluarganya. Knight akan tinggal di tanah miliknya, memiliki rumah sendiri seperti bangsawan lain, serta mempunyai pasukan tenteranya sendiri. Malahan, knight juga berhak memungut hasil yang diperolehi daripada kawasannya.
§  Pada abad ke- 16, berlaku perubahan kedudukan knight dalam masyarakat feudal. Raja telah mengukuhkan kedudukannya dengan mengambil tentera upahan bagi menentang pemberontak atau musuh. Pengambilan tentera upahan ini dapat menjamin kestabilan politik dan membawa kemajuan ekonomi dalam masyarakat feudal. Oleh itu, knight tidak lagi mendominasi komposisi pasukan tentera. Sebaliknya, golongan petani dan penduduk awam telah memainkan peranan utama dengan menyertai angkatan tentera dan banyak terlibat dalam peperangan. Mereka telah menjadi tentera tetap terutama dalam pasukan infantri.
4. Golongan Paderi
§  Golongan Paderi merupakan satu kelas masyarakat yang berasingan. Sebilangan besar terdiri daripada golongan bangsawan yang memiliki tanah sebagai vassal. pada abad ke-12 dan 13 M hampir 1/3 daipada tanah yang digunakan di Eropah Barat dikawal oleh gereja
§  Bishop, abot dan pegawai yang memegang jawatan penting dalam gereja biasanya adalah golongan bangsawan. Campurtangan golongan bangsawan dalam pemilihan jawatan gereja menyebabkan pegawai-pegawai gereja terdiri daripada golongan yang mementingkan material dan mempunyai dua tanggungjawab iaitu agama dan dunia (tanah). 
5.   Golongan Petani atau Rakyat biasa
§  Golongan ini yang dikenali sebagai petani atau serf berada di bawah dalam lapisan masyarakat Feudal. Kehidupan mereka tidak bebas sepenuhnya dan tidak boleh berpindah dan Berada di bawah pengawasan raja dan baron. Pekerjaan mereka adalah Bercucuk tanam dan menternak binatang di atas tanah yang diperuntukkan oleh tuan tanah untuk keperluan harian dan Sebagai balasan, akan memberi khidmat dengan mengerjakan tanah dan keperluan lain.
§  Golongan petani akan dikawal sepenuhnya oleh tuan-tuan tanah. Antaranya, lord manor (institusi manor) akan melindungi petani, mendirikan mahkamah bagi membolehkan petani merayu untuk keadilan, mendirikan kilang, dan mendirikan gereja untuk penduduk kampung. Namun, kehidupan golongan petani berubah selepas berlakunya perubahan ekonomi di England. Pada abad ke-16, banyak tanah dibuka untuk tujuan pertanian dan permintaan terhadap bahan makanan bertambah. Pertanian komersial turut dijalankan. Golongan serf kini bebas daripada tuan tanah selepas berlaku peningkatan dalam pertanian dagangan, kemunculan bandar, dan perkembangan sektor perusahaan.
  6.   Golongan hamba

§  Golongan ini yang dikenali sebagai hamba berada di bawah sekali dalam lapisan masyarakat Feudal. Mereka adalah terdiri daripada 10 peratus dalam bilangan rakyat di England. Kehidupan mereka tidak bebas sepenuhnya dan tidak boleh berpindah dan Berada di bawah pengawasan pemilik hamba. 
§  Golongan ini akan dikawal sepenuhnya oleh tuan-tuan pemilik.  Namun begitu, kehidupan golongan hamba berubah selepas berlakunya perubahan ekonomi di England. Golongan hamba telah bebas daripada pemilik hamba selepas berlaku mobiliti sosial dalam masyarakat di England.
Penutup

§  Sistem masyarakat feudal di England terbahagi kepada golongan pemerintah yang terdiri daripada raja dan bangsawan manakala golongan diperintah pula terdiri daripada golongan knight dan rakyat biasa.  kedudukan seseorang individu dalam sistem feudal adalah mengikut sistem kelas bersusun lapis mengikut hierarki yang terikat dengan aturan yang ditetapkan oleh kerajaan atau golongan pemerintah ke atas golongan bawahan di England. 
§  Kedua-dua golongan ini hidup mengikut susun lapis masyarakat yang ditetapkan berdasarkan keturunan. Hubungan antaranya berasaskan kepada saling memerlukan antara golongan pemerintah dengan golongan bawahan.
Soalan 2: Huraikan ciri-ciri masyarakat feudal yang diamalkan di England.

Pendahuluan

§  Istilah masyarakat feudal digunakan oleh sejarawan untuk menerangkan susunan sosial masyarakat pada zaman pertengahan di Eropah. Selain benua Eropah, masyarakat feudal muncul di Jepun sekitar abad ke-14 dan 15.

§  Menurut Marc Bloch dalam buku beliau yang bertajuk Feudal Society, masyarakat feudal merupakan masyarakat berhierarki yang mempunyai struktur susun lapis tersendiri .

Isi-Isi Penting

1.        Kedudukan Raja

§  Munculnya sistem pemerintahan monarki mutlak di England pada abad ke-16 dan 17. Raja mempunyai kuasa mutlak dalam bidang pentadbiran, perundangan  dan kehakiman. Raja juga mempunyai kedudukan tertinggi dalam susun lapis masyarakat. Seseorang raja mengambil langkah seperti yang dilakukan oleh Raja Henry VII untuk mengukuhkan kedudukannya.

§  Keadaan politik tidak stabil. Pemerintahan pusat yang lemah menyebabkan. peperangan sering berlaku antara wilayah. Kedudukan raja lemah (pemerintah pusat) kerana berkongsi kuasa dengan golongan pembesar. Golongan pembesar pula sering menentang raja.

2.        Kemerosotan Pengaruh Bangsawan

§  Pengaruh dan kekuasaan golongan bangsawan merosot menjelang abad ke-16 dan 17. Kedudukan raja semakin kukuh ekoran perkembangan pesat yang berlaku dalam bidang ekonomi. Penglibatan raja dalam bidang ekonomi kapitalis mengukuhkan kedudukan dan pengaruhnya.  Perkembangan ini menyebabkan raja England dapat mengawal golongan bangsawan. Pegawai-pegawai pentadbir muncul apabila berlaku kemerosotan pengaruh bangsawan.

§  Mereka menerima gaji daripada raja kerana membantu mengendalikan pemerintahan dan pentadbiran. Mereka juga terdiri daripada rakyat biasa yang mempunyai kebolehan dan kewibawaan dalan pentadbiran .

3.        Kedudukan Knight

§  Golongan knight memainkan peranan dalam bidang ketenteraan. Tanggungjawab mereke ialah mempertahankan raja dan golongan bangsawan daripada ancaman musuh. Mereka menerima ganjaran dalam bentuk tanah dan harta benda daripada raja dan golongan bangsawan.

§  Menjelang abad ke-16 dan 17 peranan dan kedudukan mereka mula berubah kerana pemerintahan England tidak perlu lagi bergantung kepada khidmat mereka untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

§  Raja menubuhkan pasukan tentera yang berada di bawah kawalan dan penguasaan sendiri. Perkembangan ini menyebabkan pasukan tentera tidak didominasi oleh golongan knight sahaja malah golongan petani dan rakyat biasa juga boleh direkrut untuk berkhidmat dalam pasukan tentera.

4.        Kewajipan Peribadi

§  Wujud hubungan peribadi antara lord (tuan tanah) dan vassal (penyewa tanah). Hubungan antara kedua pihak tersebut adalah berdasarkan kepada ikatan perjanjian (kontrak). Satu pihak memberi perlindungan manakala satu lagi menawarkan perkhidmatan tentera .

§  Berlaku perubahan dalam hubungan antara raja dengan golongan bangsawan pada abad ke16 dan 17. Kedudukan raja yang semakin kukuh menyebabkan raja tidak perlu lagi bergantung kepada golongan bangsawan bagi mendapatkan bantuan ketenteraan

5.        Mobiliti Sosial

§  Masyarakat feudal pada Zaman Pertengahan merupakan masyarakat yang bersusun lapis. Setiap lapisan mempunyai kedudukan ekonomi , politik , dan sosial yang berlainan. Perubahan dalam kedudukan sosial dan status masyarakat jarang berlaku. Setiap golongan harus melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

§  Perubahan dalam bidang politik , ekonomi dan sosial yang berlaku pada abad ke-16 dan 17, mewujudkan mobiliti sosial dalam masyarakat. Perkembangan ini menyebabkan struktur susun lapis masyarakat turut mengalami perubahan.   Jawatan-jawatan penting dalam kerajaan yang dimonopoli oleh golongan bangsawan kini disandang oleh rakyat biasa. Ini menyebabkan muncul golongan pertengahan dan kelas menengah dalam masyarakat .

6.   Ekonomi

§  Masyarakat bergantung kepada tanah dan tinggal dalam komuniti kampong yang dikenali sebagai manor. Kegiatan konomi bergantong kepada aktiviti pertanian. Manor menjadi asas ekonomi feudalisme kerana manor yang menghasilkan makanan untuk semua lapisan masyarakat termasuk raja.

§   kegiatan perdagangan tidak meluas kerana manor tidak menjalankan perdagangan dengan manor yang lain sebaliknya mereka menghasilkan barangan untuk keperluan sendiri. perkembangan ekonomi terhad dan perniagaan dkendalikan secara sistem barter.

7.   Agama

§  Gereja katolik merupakan institusi yang berkuasa, mereka memiliki sebahagian besar tanah. Institusi gereja mengongkong kehidupan masyarakat pada zaman feudal.

§  Pengaruh gereja Khatolik merangkumi seluruh kehidupan masyarakat. Gereja menekankan aspek kerohanian (keagamaan) dan kurang menekankan aspek duniawi.

Penutup
§  
Dalam konteks ini, satu pihak memberi perlindungan manakala satu pihak lagi menawarkan perkhidmatan tentera.

§  Masyarakat feudal mempunyai ciri-ciri tersendiri yang merangkumi aspek sosial, politik  dan ekonomi

1.1.2  Masyarakat Feudal di Jepun



Soalan 3: Huraikan struktur masyarakat feudal yang diamalkan di Jepun
    
Pendahuluan :

§  Konsep feudal boleh dimaksudkan dengan kuasa politik yang dikuatkuasakan secara tempatan oleh individu  tertentu atau kerajaan pusat. Marc Bloch dalam bukunya Feudal Society, mentakrifkan istilah feudal digunakan bagi menerangkan seluruh kelakuan dan adat yang diterima dan wujud pada ketika itu serta organisasi kelas atasan yang meliputi perjanjian secara bertulis yang didominasi kekuasaan golongan atasan.

§  Sistem beraja dibantu oleh pembesr dalam menjalankan urusan pemerintahan dan pentadbiran. masyarakat feudal terbahagi kepada dua lapisan masyarakat. Golongan pemerintah dan golongan di perintah. Golongan pemerintah terdiri daripada maharaja, golongan Shogun, pembesar daimyo dan golongan diperintah terdiri daripada samurai, petani, artisan dan saudagar.

Isi-isi penting:

Maharaja

§  Sistem pemerintah diketuai oleh maharaja. secara teorinya maharaja dianggap sebagai pemerintahan keduniaan dan kerohanian. Maharaja  Jepun dikaitkan dengan unsur ketuhanan yg bertujuan meningkatkan dan menguatkan kedudukan maharajaserta menanam kesetiaan rakyat kepada maharaja.

§  Maharaja berperanan sebagai ketua agama dan ketua negara. Tetapi maharaja tiada kuasa pemerintahan di bawah shogun Tokugawa. Maharaja tinggal terpencil dan terpisah di Kyoto yang dikeliling oleh pengawal istana. Ini bermakna, sistem ekonomi juga di pegang oleh shogun tokugawa dan para pembesar yang akan mengutip cukai 

Golongan Shogun

§  Shogun merupakan golongan bangsawan. Kuasa pemerintah yang sebenar berada di tangan Shogun Tokugawa.  Shogun menjalankan tugas atas nama maharaja melalui dasar pecah dan perintah. Hal ini dilakukan supaya kedudukan Shogun terjamin.

§  Shogun telah membahagikan kawasan pemerintahan berdasarkan golongan bangsawan atau Daimyo yang menyokong dan menentangnya. Daimyo yang menyokong Shogun akan diberi tanah manakala bangsawan yang menentangnya ditempatkan di kawasan yang akan dikawal oleh sekutu Tokugawa. Kerajaan Tokugawa ini di kenali sebagai Kerajan Bakufu (ketenteraan) yang berpusat di Edo.

Golongan Daimyo

§  Daimyo terbahagi kepada 3 kumpulan utama iaitu, Daimyo fudai, Daimyo Shimpan dan Daimyo Tozama. Daimyo Fudai merupakan ahli keluarga tokugawa dan sekutunya. Mereka menbantu tokugawa menguasai pemerintahan dan diberikan tanah di bahagian tengah dan utara Honshu.

§  Daimyo Shimpan dikenali sebagai rumah persaudaraan yang terdiri daripada saudara mara keluarga tokugawa. Keluarga tokugawa yang utama dikenali  sebagai  Go-sanke milik anak Leyasu  yang terletak di daerah Owari ,kii dan mito. Daimyo Tozama pula dikenali sebagai daimyo luar di mana mereka merupakan musuh shogun tokugawa yang terdiri daripada suku-suku barat seperti kato, ikeda, asano, shimazu. Tindak-tanduk mereka sentiasa di awasi oleh shogun tokugawa. Selain itu, mereka juga dilarang mengumpul kekayaan demi mengelakkan mereka mnjadi terlalu kuat dan mengancam kedudukan shogun

Golongan Samurai

§  Samurai merupakan kelas panglima. Mereka mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem susun lapis masyarakat Jepun. Mereka berfungsi menjaga keamanaan negara dan daimyo.

§  Mereka tidak diberikan tanah dan tidak dibenarkan melakukan kerja lain

Golongan  petani - nomin

§  Petani mendapatkan kedudukan istimewa diantara kalangan rakyat biasa. Amalan dasar tutup pintu yang dilakukan oleh Jepun menyebabkan mereka tidak mempunyai hubungan dgn negara luar. Oleh itu, petani mengeluarkan beras untuk rakyat Jepun dan menbayar sebahagian besar cukai. Mereka hanya diberikan makanan secukupnya sebagai balasan kerana hasil yang dikeluarkan untuk negara.

Golongan Artisan

§  Artisan adalah dibawah golongan petani dimana mereka akan membuat pedang serta peralatan yang berguna. Mereka di beri penghormatan dan sumbagan masyarakat dan di beri gaji serta rumah yang baik. Tukang kayu juga turut diberi layanan yang sama serta diberi gaji sebanyak 500 koku dan dibenarkan memakai sebilang pedang

Golongan Pedagang - chonin

§  Pedagang di bawah tukang mahir. Mengikut tradisi Jepun, golongan pedagang dipandang rendah oleh masyarakat feudal kerana mempunyai pekerjaan yang hina dan tidak menguntungkan. Namun begitu, keadaan yang aman menjadikan ekonomi semakin berkembang dan para pedagang berjaya mengumpul wang dan harta dengan banyak.

§  Mereka berjaya memperbaiki status diri dan mengikat ramai bangsawan melalui hutang. Mereka telah memperkenalkan cara pengurusan baru yg akhirnya diwarisi oleh syarikat moden Jepun. Antara keluarga saudagar terkenal termasuklah mitsui dan Noraya Mozaemon

Penutup

§  Masyarakat feudal Jepun lebih ketat kerana pembahagian golongan masyarakat di buat berdasarkan perkerjaan yang diwarisi

§  Kedudukan maharaja Jepun diperkukuhkan semasa pemerintahan meiji dan diaggap sebagai raja perlembagaan maharaja dihormati dan sistem ini kekal sehingga hari ini.

Soalan 4: Huraikan ciri-ciri masyarakat feudal yang diamalkan di Jepun

Pendahuluan

§  Sistem feudal ditakrifkan sebagai sebuah kerajaan tempatan yang ditadbir oleh individu tertentu dan bukan wakil oleh kerajaan pusat. Dalam sistem feudal, kedudukan seseorang individu adalah mengikut sistem kelas bersusun lapis mengikut hierarki.

§   Sistem feudal juga dapat dilihat dengan jelas, iaitu Maharaja yang berada di kemuncak struktur pemerintahan mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas segala aspek di bawah pemerintahannya termasuklah tanah.  Dalam sistem feudal di Jepun terdapat beberapa ciri-ciri masyarakat feudal di Jepun. Antaranya ialah Kedudukan Maharaja, Kedudukan Shogun, Kedudukan Samurai, Pemilikan Tanah, Kewajipan Peribadi dan Mobiliti Sosial.

Isi-isi Penting:

1.   Kedudukan Maharaja

§  Maharaja dianggap sebagai pemerintah keduniaan dan kerohanian. Maharaja Jepun dikaitkan dengan unsur ketuhanan yang bertujuan meningkatkan dan menguatkan kedudukan maharaja serta menanam kesetiaan rakyat kepada maharaja.

§  Maharaja berperanan sebagai ketua agama dan ketua Negara. Tetapi, Maharaja tidak mempunyai kuasa pemerintahan di bawah Shogun Tokugawa. Maharaja tinggal terpencil dan terpisah di Kyoto dengan di kelilingi oleh pegawai istana ( kuge )

2.   Kedudukan Shogun.

§  Shogun merupakan golongan bangsawan. Kuasa pemerintah yang sebenar berada di tangan Shogun Tokugawa.  Shogun menjalankan tugas atas nama maharaja melalui dasar pecah dan perintah. Hal ini dilakukan supaya kedudukan Shogun terjamin.

§  Shogun telah membahagikan kawasan pemerintahan berdasarkan golongan bangsawan atau Daimyo yang menyokong dan menentangnya. Daimyo yang menyokong Shogun akan diberi tanah manakala bangsawan yang menentangnya ditempatkan di kawasan yang akan dikawal oleh sekutu Tokugawa. Kerajaan Tokugawa ini di kenali sebagai Kerajan Bakufu (ketenteraan) yang berpusat di Edo.

3.   Kedudukan Samurai.

§  Samurai merupakan kelas pahlawan (tentera). Mereka mempunyai kedudukan istemewa iaitu mempunyai nama keluarga dan mempunyai dua bilah pedang. Samurai berfungsi untuk menjaga keamanan Negara dan keselamatan shogun serta daimyo. Mereka tidak dibenarkan melakukan kerja lain.

§  Jumlah golongan samurai kira-kira 400, 000 orang iaitu kira-kira 6% daripada jumlah penduduk Jepun. Golongan samurai terbahagi kepada taraf tinggi, sederhana dan rendah. Samurai bertaraf tinggi tidak ramai bilangannya dan dibenarkan memiliki tanah, Samurai bersederhana merupakan samurai berkuda manakala kelas rendah adalah samurai berjalan kaki.

4.   Pemilikan Tanah.

§  Zaman keshogunan Tokugawa , wilayah di serahkan kepada vassal yang setia kepada shogun. Selain itu, shogun memberikan tanah kepada tuan tanah ( daimyo ) yang setia kepadanya. Daimyo yang setia akan mengawasi gerak geri daimyo yang di ragui kesetiannya.

§  Tokugawa Leyasu mengambil langkah untuk merampas tanah daripada daimyo yang menentang pemerintahannya. Tanah-tanah yang di rampas diserahkan kepada tentera dan tuan tanah yang setia kepadanya.  Shogun melantik pegawai-pegawai untuk mentadbir  dan menguruskan tanah miliknya. Pegawai yang menguruskan tanah itu dikenali sebagai Gundai dan Daskan.

5.   Kewajipan Peribadi.    
                                                                                  
§  Dalam masyarakat feudal,  wujud hubungan peribadi antara Shogun dan Daimyo.  Shogun menyerahkan tanah kepada golongan daimyo yang setia kepadanya. Sebagai balasan, daimyo akan membantu shogun dalam pentadbiran dan  ketenteraan

§  Dalam hal ini, kedua-dua pihak saling bertanggungjawab  terhadap kepentingan bersama, iaitu satu pihak memberikan perlindungan  manakala satu pihak lagi menawarkan perkhidmatan dalam pentadbiran dan ketenteraan.

6.   Mobiliti Sosial.

§  Masyarakat feudal di Jepun pada abad ke 16 dan ke 17 terdiri daripada beberapa lapisan. Setiap lapisan dalam masyarakat feudal mempunyai kedudukan ekonomi, sosial dan politik yang berlainan.

§  Kedudukan dan status masyarakat ditentukan berdasarkan keturunan dan sistem kelas. Dalam hal ini, perubahan status dan mobility sosial dalam masyarakat feudal di Jepun yang berlaku. Umpamanya, golongan pedagang merupakan golongan yang di pandang rendah dan tak berlaku mobiliti sosial.

Penutup

§  Masyarakat feudal Jepun lebih ketat kerana pembahagian golongan masyarakat dibuat   berdasarkan pekerjaan yang diwarisi.

§  Selain itu, kedudukan masyarakat Jepun diperkukuhkan semasa pemerintahan meiji dan di anggap sebagai raja berpelembagaan. Maharaja dihormati dan sistem ini kekal sehingga hari ini.

1.1.3  Perbandingan Masyarakat Feudal

Soalan 5: Huraikan ciri-ciri sistem feudal yang diamalkan England dan Jepun pada abad ke-16 hingga ke-17.

Pendahuluan

§  Sistem feudal ditakrifkan sebagai sebuah kerajaan tempatan yang ditadbir oleh individu tertentu dan bukan wakil kerajaan pusat. Dalam sistem feudal, kedudukan seseorang individu adalah mengikut sistem kelas bersusun lapis mengikut hierarki.

§  Persamaannya, feudal dilihat sebagai satu gabungan yang istimewa antara konsep pemusatan undang-undang diraja dan tradisi semulajadi sebuah organisasi dengan ikatan peribadi kesetiaan. Di Eropah, elemen ini datang dari empayar Rom dan latar belakang orang Jerman di Eropah Utara. Di Jepun, berakar umbi sejak zaman Kamakura.

Isi-Isi Penting :

1.        Golongan Pahlawan

§  Di England, golongan pahlawan dalam sistem feudal England dikenali sebagai knight. Knight berkhidmat dengan golongan bangsawan. Knight terikat kepada konsep kavalri. Pahlawan di England buta huruf. Mereka hanya menawarkan perkhidmatan dalam bidang ketenteraan. Mereka tidak mempunyai minat dalam bidang kesenian dan intelektual.

§  Manakala di Jepun, golongan pahlawan dalam sistem feudal di Jepun dikenali sebagai samurai. Samurai berkhidmat dengan golongan bangsawan. Samurai terikat kepada konsep bushido. Pahlawan di Jepun mempunyai minat dalam bidang kesenian dan kesarjanaan. Pemilikan ilmu dianggap perkara mulia dalam kalangan pahlawan di Jepun.

2.        Peralatan Perang

§  Di England, antara peralatan perang yang digunakan oleh knight ialah pedang dan baju perisai. Baju perisai yang digunakan oleh knight diperbuat daripada besi. Knight menggunakan kuda dalam medan peperangan.

§  Manakala di Jepun, peralatan yang digunakan oleh samurai sama seperti knight di England. Baju perisai yang digunakan oleh samurai diperbuat daripada logam atau sutera.

3.        Penyatuan Negara

§  Di England, penyatuan negara pada zaman feudal dilakukan oleh raja-raja negara bangsa. Raja-raja dari dinasti Tudor yang memerintah England memainkan peranan dalam pengukuhan negara bangsa di England.

§  Manakala di Jepun pada akhir abad ke-16, pemerintahan beraja di Jepun menjadi lemah. Panglima tentera memainkan peranan dalam memulihkan keamanan dan menyatukan Jepun.

4.        Perkongsian Kuasa

§  Dalam sistem feudal di England , wujud perkongsian kuasa dalam pemerintahan. Raja berkongsi kuasa dengan badan perwakilan.

§  Dalam sistem feudal di Jepun, tidak wujud perkongsian kuasa dengan badan perwakilan. Kekuasaan dan kesetiaan menjadi sesuatu yang mutlak.

5.        Pengaruh Agama

§  Feudalisme di England dipengaruhi oleh agama Kristian. Institusi gereja amat berpengaruh dalam kehidupan masyarakat feudal. Institusi gereja mengongkong segala aspek kehidupan masyarakat.

§  Feudalisme di Jepun dipengaruhi oleh agama Buddha. Keadaan politik yang tidak stabil pada zaman Kamakura menyebabkan rakyat mendapatkan perlindungan daripada institusi agama. Golongan pahlawan melakukan meditasi bagi mendapat ketenangan.

6.        Kewajipan Peribadi

§  Di England, sistem feudalisme berteraskan undang-undang Rom. Sistem feudalisme menekankan hak, undang-undang, dan kewajipan peribadi antara lord dan vassal.

§  Manakala di Jepun, sistem feudalisme berteraskan etika China. Kewajipan peribadi feudal di Jepun menekankan aspek moral berbanding undang-undang.

7.        Pemilikan Tanah

§  Di England, golongan knight menerima anugerah tanah bagi perkhidmatan mereka. Mereka mengawal petani yang bekerja di tanah mereka.

§  Manakala di Jepun, golongan samurai tidak memiliki tanah. Mereka menerima gaji dalam bentuk beras daripada daimyo (tuan tanah).

Penutup

§  Terdapat persamaan dan perbezaan dalam pengamalan sistem feudal di England dan Jepun.

Soalan 6: Bandingkan ciri-ciri sistem feudal yang diamalkan di England dan Jepun pada abad ke 16 hingga ke 17.

Pengenalan

§   Definisi Masyarakat Feudal - masyarakat yang tinggal dalam sesuatu komuniti dan terikat dengan aturan yang ditetapkan oleh kerajaan atau pemerintah ke atas golongan diperintah/bawahan. Kedua-dua golongan ini hidup mengikut susun lapis yang ditetapkan berdasarkan keturunan dan hubungan di antara keduanya berasaskan saling memerlukan antara satu sama lain.

§ masyarakat feudal di England memperlihatkan raja mempunyai kuasa mutlak dan berada pada kedudukan teratas, diikuti oleh count (bangsawan), lord (tuan tanah),  manor dan  serf (petani)

§   manakala masyarakat feudal di Jepun meletakkan maharaja pada kedudukan tertinggi dan mempunyai kuasa yang tidak terbatas ke atas segala aspek dalam pemerintahan termasuklah tanah. Namun demikian, maharaja telah mewakilkan kuasa baginda kepada keluarga syogun dan dibantu oleh daimyo serta samurai.

Isi – isi Penting

Persamaan:

1. Konsep masyarakat feudal dibina atas dasar keturunan dan sisitem kelas yang saling memerlukan antara golongan pemerintah dan golongan diperintah dan berbentuk piramid. Contohnya, dalam sistem piramid , golongan bangsawan berada di atas diikuti oleh golongan tentera dan petani.

2. Pembinaan masyarakat adalah berdasarkan keturunan dan sistem kelas antara kedua-dua negara. Contohnya,di England sistem Primogeniture memberikan hak kepada anak lelaki  tertua sahaja mewarisi harta pusaka bagi mengelakkan harta dibahagikan. Manakala di Jepun pula golongan bangsawan yang mempunyai peranan penting dalam pentadbiran Jepun iaitu mereeka bermula dari status ketua yang popular dalam kalangan bangsawan.

3. Kurangnya perubahan status atau mobaliti sosial dalam masyarakat feudal. Misalnya, jika dilahirkan sebagai anak petani maka dibesarakan sebagai anak petani, sedangkan anak-anak bangsawan akan tetap  menjjadi golongan bangsawan.

4.       Peperangan adalah fenomena biasa dalam kalangan masyarakat di England dan Jepun. Keadaan ini menyebabkan golongan knight di Eropah dan Samurai di Jepun mempunyai peranan yang penting pada zaman feudal . Kedua-dua berkhidmat dengan golongan bangsawan dan terikat dengan undang-undang feudal. Knight terikat dengan konsep chivalry manakala samurai terikat dengan konsep bushido di Jepun.

5.       Peralatan peperangan adalah bersifat tradisional iaitu menggunakan kuda, pedang dan baju perisai. Baju perisai di Eropah diperbuat daripada besi dan di sadur dengan besi . Baju perisai Jepun pula diperbuat daripada logam atau sutera atau saduran logam. Knight memerlukan bantuan untuk menaiki kuda kerana baju perisai yang berat tetapi samurai tidak memerlukan bantuan.

Perbezaan:

1. Konsep undang-undang Rom yang diamalkan masyarakat feudal di England menekankan hak, undang-undang dan kewajipan iaitu hubungan antara mereka yang lahir bersama ikatan peribadi zaman feudal digunakan di England.  Manakala di Jepun menekankan aspek moral, kesetiaan dan dipengaruhi oleh etika Confucius yang lebih menekankan aspek moral berbanding undang-undang. Dalam erti kata lain, kekuasaan dan kesetian menjadi kuasa mutlak.

2.       Pembinaan istana di England menggunakan batu manakala di Jepun menggunakan kayu. Bagi golongan bangsawan di England pembinaan istana daripada batu sangat penting bagi melindungi mereka dan vassal dari serangan. Golongan Daimyo di Jepun membina istana daripada kayu memandangkan banyak sumber hutan di Jepun.

3.       Kuasa pemerintahan dikongsi dalam badan perwakilan di England tetapi di Jepun kuasa dan kesetiaan adalah sesuatu yang mutlak.

4.      Perbezaan yang paling ketara ialah Pemilikan tanah, Di England golongna knight mendapat tanah sebagai bayaran memberi perkhidmatan ketenteraan. Knight juga mengawal golongan petani atau serf yang berkerja di tanah-tanah mereka. Manakala di Jepun, samurai tidak mempunyai tanah. Hal ini kerana daimyo mengenakan cukai ke atas petani untuk membayar gaji samurai dalam bentuk beras

5.       Di  England, penyatuan rakyat dijalankan oleh Raja tetapi di Jepun ia dilaksanakan oleh ketua tentera.

Penutup

§  Terdapat persamaan dan perbezaan dalam pengamalan sistem feudal di Eropah dan Jepun. Persamaan yang terdapat dalam pelbagai aspek antaranya; Konsep, Pembinaan, Masyarakat, Mobiliti Sosial, Peperangan, dan Peralatan Peperangan.

§  Manakala perbezaannya daripada aspek ialah; Penyatuan, Pemilikan Tanah, Perkongsian Kuasa, dan sebagainya.

30 ulasan:

  1. apa perbandingan ciri masyarakat feudal di england dan jepun

    BalasPadam
  2. TERIMA KASIIIIH SESANGAT SANGAT RINGKAS DAN PADAT ..SAYA MINTAK IZIN GUNA NOTES NI FOR RUJUKAN EXAM SAYAA TENKIUU

    BalasPadam
  3. alhamdulillah,nasib ada rujukan dari blog cikgu,terima kasihhhhhh

    BalasPadam
  4. Terima kasih banyak2 ckg ! Nota ini memnolehkan sye mamahami konsep masyarakat feudal :)

    BalasPadam
  5. Sampai sekarang ilmu ini masih berguna untuk kami from six yg mncri rujukan . Trima kasih cikgu . Amat bermanfaat

    BalasPadam
  6. semoga pahala ini kekal mengalir ke diri awak selagi org2 seperti kami membaca , sangat2 memberi manfaat , thank you so much

    BalasPadam
  7. Terima kasih banyak sebab bagi ilmu ni semoga berjaya dunia akhirat

    BalasPadam
  8. Sangat berguna utk generasi akan datang

    BalasPadam
  9. Sangat membantu dan membimbing student lah.terima kasih

    BalasPadam
  10. alhamdulillah notes tuan sangat membantu saya. mudahan Allah memberkati tuan.

    BalasPadam
  11. terima kasih banyak ilmu yang saya dapat , semoga dipermudahkan segala urusan

    BalasPadam
  12. Terima kasih sangat². Memang terbaik lahh

    BalasPadam
  13. assalamualaikum, ckg sya ada soalan, pada pendapat ckg apakah kepentingan unsur feudalisme dalam sejarah asia timur. maksud saya manfaat feudalisme kpd jepun dan china?

    BalasPadam
  14. terima kasih kerana menggunakan blog ini. terdapat beberapa persoalan yang saya telah jawab dan terdapat juga yang tidak dapat balas kerana faktor kekangan masa. Semoga memberikan manfaat kepada semua pelajar dan beroleh kejayaan yang cemerlang dalam STPM nanti.

    BalasPadam
  15. Terima kasih. Izinkan saya copy cikgu.

    BalasPadam
  16. Saya guna sbg bahan tambahan pelajar saya ya bossku...

    BalasPadam