Pengenalan
Meminang
Sabah
merupakan sebuah negeri yang unik. Hal ini disebabkan di Sabah terdapat lebih
daripada 32 kumpulan etnik. Sebenarnya kumpulan-kumpulan etnik ini berasal
daripada tiga kumpulan etnik besar iaitu Kadazan Dusun, Murut dan Bajau. Orang Sungai
berasal daripada suku Paitan yang dipercayai oleh Appell merupakan kumpulan
terawal di Sabah.1 Orang
Sungai terdapat di sepanjang sungai utama khususnya di sebelah timur Sabah
terutamanya di kawasan Kinabatangan, Beluran, Pitas dan Paitan. Mereka merupakan
kumpulan etnik majoriti di kawasan sungai utama di Pantai Timur Sabah dan tergolong dalam kelompok KadazanDusun Sabah.
Kumpulan ini dikenali sebagai Orang
Sungai, nama yang diberikan oleh William Pryer, Residen pertama Sandakan ketika
itu yang membuat ekspedisi menyusur Sungai Kinabatangan sehingga ke Kampung
Imbok. Rombongan Pryer telah terserempak dengan sekumpulan orang yang berambut
panjang hingga ke bahu dan berkulit kemerah-merahan. Pryer tidak mengetahui
asal usul kumpulan ini dan telah menamakan mereka sebagai River People yang
kemudiannya telah dialih bahasa kepada Orang Sungai. Panggilan ini kekal
digunakan sehingga ke hari ini malah turut digunakan untuk merujuk kumpulan
lain yang juga menghuni di tepi sungai-sungai lain.
Sejarah Perkembangan Latar Belakang
Kumpulan Etnik Sungai
Orang
Sungai pada asalnya adalah orang Dusun tetapi oleh kerana pada zaman itu mereka
berada di bawah pemerintahan kesultanan Sulu Islam kebanyakan mereka menganut
agama Islam dan mula menetap di tepi sungai. Mereka mengasingkan diri dari
orang-orang Dusun atau juga dipanggil sebagai Orang Darat oleh sesetengah
penulis barat dan cuba menyesuaikan diri dan cara hidup mereka di tepi sungai
sehinggalah akhirnya berlaku perubahan-perubahan dari segi cara hidup dan
pertuturan.2 Sebagai kesan
daripada pengasingan ini akhirnya lahirlah nama Orang Sungai yang dikaitkan
dengan tempat tinggal tradisi mereka iaitu hidup di tepi-tepi sungai.
Ada dua pendapat boleh diketengahkan
mengenai asal usul Orang Sungai. “Suku Orang Sungai” ialah suku
Tombonuo yang berasal dari Paitan dan berhijrah ke seluruh pelosok daerah
Beluran dan sebahagiannya menetap di Muanad, Kampung Kolapis dan Kampung Bum.
Apabila berkahwin dan memeluk agama Islam, mereka dikenali sebagai Orang Sungai
Paitan.3 Bertitik tolak
daripada perhijrahan etnik ini di sepanjang pinggir sungai, kemudian lahir nama
Orang Sungai Paitan berdasarkan Sungai Paitan, Orang Sungai Sugut dari Sungai
Sugut dan sebagainya. Suku-suku utama orang Sungai adalah terdiri dari suku Idahan, Dumpas, Milian, Minokok, Mangkaak, Pinagah, Sukang, Makiang dan Saguon mendiami kawasan seperti Segaliud, Sukau, Bukit Garam, Bilit sehingga ke Lahad Datu. Manakala bagi suku Sungai yang mendiami kawasan barat seperti Paitan, Beluran, Telupid, Tongod, Pinangah, Nangoh, Sugut (Ranau) sehingga ke Pitas adalah dari dialek Paitanic yang terdiri daripada suku Makiang, Sukang, Soguan, Pinagah, Rumanau dan Sinabu. Bahasa dan budaya mereka adalah berbeza dengan suku-suku Sungai di bahagian Pantai Timur. Kebanyakan daripada suku ini adalah beragama kristian khususnya di daerah Tongod dan Pinangah dan Sapi Nangoh. Pengaruh bahasa dan kebudayaan Dusun adalah jelas dalam suku ini.
Kawasan hilir Kinabatangan merupakan kawasan
terpencil di Sabah. Namun, catatan sejarah menunjukkan kawasan ini telaj
mempunyai hubungan awal dengan ahli pelayaran China ke Borneo sejak tahun 631
Masihi lagi. Pada tahun 406 Masihi, Laksamana Cheng Ho telah melawat Selatan
Filipina dan kemungkinan besar telah menjalin perdagangan awal dengan Sabah.
Ekoran daripada lawatan ini, orang Ida’an mula melakukan perdagangan sarang
burung dengan pelayar atau pedagang Cina. Justeru, perkataan “Kinabatangan”
dikatakan ada kaitan dengan kehadiran pedagang Cina. Perkataan Kinabatangan
sebenarnya terdiri daripada dua perkataan. “Batang” ialah perkataan tempatan
bermaksud sungai yang panjang dan “kina” pula berasal daripada penempatan awal
orang Cina di kawasan Hilir Kinabatangan.
Dalam rekod awal oleh Shim Phyau
Soon mengenai lagenda Sulu, Laksamana Ong Sum Peng bersama pengembara dan
pedagang Cina mengambil keputusan menetap di kawasan berdekatan Kampung Batu
Puteh setelah menamatkan misi Maharaja China. Selepas itu, berlaku perkahwinan
campur antara migrant dan pedagang Cina ini dengan komuniti setempat. Setelah
generasi demi generasi berlalu, para migrant Cina ini telah hilang budaya
tradisi dan bahasa asal mereka. Malahan, mengikut rekod sejarah Brunei, adik
Laksamana Ong Sum Peng berkahwin dengan Sultan Brunei yang pertama dan memeluk
agama Islam.
Dari tahun 1881 hingga 1945, The
British North Borneo menguasai daerah Sandakan dan seluruh Sabah. Catatan pada
tahun 1881 menunjukkan jumlah penduduk di kawasan hilir Kinabatangan sangat
rendah. Pada waktu itu terdapat dua buah kampong, iaitu Melapi dan Sabangan
yang mengandungi empat hingga lima buah pondok di sepanjang tebing Sungai
Kinabatangan. Namun, pada akhir tahun 1880-an banyak etnik Ida’an dari Lahad
Datu berpindah ke Melapi kerana tertarik dengan aktiviti komersil sarang burung
di Gua Gomantong dan hasil dari hutan serta sungai. Sehubungan dengan itu,
telah berlaku perebutan ke atas Gua Gomantong antara penduduk Kampung Melapi
yang diketuai oleh Pangeran Samah menentang The British North Borneo. Namun,
penentangan ini berakhir apabila Pangeran Samah ditembak mati pada tahun 1884.
Selepas peristiwa itu etnik Ida’an, berpindah ke penempatan baharu yang kini
dikenali sebagai Kampung Sukau. Banyak daripada mereka mula membuka tanah
pertanian dan penempatan di sekitar Kampung Sukau.
Apabila Pejabat Daerah Lamag
(sekarang ini di kenali sebagai Bukit Garam) ditubuhkan pada tahun 1905, banyak
penduduk kampong dari kawasan hulu Kinabatangan berpindah ke kawasan penempatan
baharu yang diketuai oleh Imam Yusuf. Penduduk Lamag pada waktu itu terdiri
daripada etnik Sukang, Makiang dan Dumpas. Selepas Jepun menyerah kalah dalam
Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, The British Borneo Timber Company mula
melakukan kegiatan membalak di kawasan hutan berhampiran Bukit Garam. Pada
tahun tersebut, Imam Yusuf dan para pengikutnya juga berpindah ke Bukit Garam.
Namun, pada tahun 1950-an, Imam Yusuf dan pengikutnya sekali lagi berpindah dan
mengasaskan penempatan baharu yang sekarang ini dikenali Kampung Batu Puteh.
Migrasi penduduk di antara kawasan
dalam Sabah turut mengubah sedikit sebanyak komposisi subetnik asal Orang
Sungai iaitu seperti etnik Makiang, Liwagu dan Ida’an kepada pencampuran
subetnik lain inilah yang menimbulkan keunikan identity budaya Orang Sungai
pada masa kini. Kehidupan harian Orang Sungai juga tidak terlepas daripada
impak pembangunan dan perubahan sosial. Misalnya di kawasan hilir Kinabatang,
telah berlaku perubahan aktiviti ekonomi tradisi seperti daripada berburu dan
menjadi nelayan sungai kepada aktiviti ekonomi baharu, iaitu penglibatan mereka
dalam ekopelancongan, pemuliharaan hutan dan hidupan liar serta turut terlibat
sebagai pekebun kecil lading kelapa sawit. Justeru, arus pemodenan dan
pembangunan yang pesat merupakan cabaran utama yang terpaksa dihadapi oleh
Orang Sungai demi mempertahankan identiti sosiobudaya unik yang diamalkan
mereka selama ini.
Adat Perkahwinan Kumpulan Etnik
Sungai
Sebahagian
besar perkahwinan Orang Sungai berbentuk monogami dan hanya sebilangan kecil
yang mengamalkan poligini khususnya mereka yang telah menganut agama Islam.
Dalam tradisi Orang Sungai, perkahwinan yang diatur oleh ibu bapa ataupun
keluarga kerap berlaku. Malah, ada yang telah dijodohkan ketika masih dalam
kandungan ibu. Namun, rata- rata lelaki mahupun perempuan daripada etnik Orang
Sungai mempunyai kebebasan memilih calon suami ataupun isteri masing-masing.4
Malahan, ada juga yang berkahwin dengan etnik bumiputera Sabah yang lain.
Merisik (Mangilug)
Lazimnya apabila seorang lelaki
telah bertemu dengan gadis yang ingin diojadikan calon isteri, lelaki berkenaan
memaklumkan kedua-dua orang tuanya tentang hajat untuk mendirikan rumahtangga.
Selepas mendapat persetujuan daripada ibu bapa, maka wakil untuk merisik
ditemui bagi menyampaikan hajat kepada pihak keluarga perempuan. Kebiasaannya,
ketua kampong dan berperanan sebagai orang tengah dalam semua urusan antara
kedua-dua pihak bakal pengantin. Ketua kampong dan saudara terdekat pihak
lelaki akan dihantar untuk merisik. Ketika pergi merisik, wakil pihak lelaki
perlu membawa antara lainnya sehelai sapu tangan dan gelang kawat.5 Keluarga
pihak perempuan perlu member jawapan sama ada menerima ataupun menolak lamaran
tersebut dalam tempoh tujuh hari. Barang yang dibawa semasa merisik akan
ditinggalkan di rumah pihak perempuan. Sekiranya pihak perempuan menerima
risikan, maka kedua- dua pihak akan berbincang untuk meminang.
Walaubagaimanapun, sekiranya di tolak, maka barang yang ditinggalkan di rumah
pihak peempuan semasa merisik perlu dikembalikan semula dan nilainya perlu
digandakan. Perempuan yang menolak lamaran perlu memulangkan barangan tersebut
seterusnya memohon maaf kepada keluarga pihak lelaki yang ditolak peminangnya.
Meminang (Momogong)
Proses seterusnya sebelum
perkahwinan berlangsung dikenali sebagai meminang. Pada hari berlangsungnya
pertunangan, barangan hantaran akan di bawa bersama oleh pihak lelaki. Antara
barang yang perlu dibawa ialah bekas menyimpan peralatan sirih, sebuah gong dan
subang. Selain barangan, wang bernilai RM5 juga dibawa untuk diserahkan kepada
keluarga perempuan sebagai pembuka mulut. Sekiranya tidak membawa RM5, sebuah
tempayan kecil boleh digunakan menggantikan wang untuk tujuan tersebut.
Dalam majlis meminang, perbincangan
jenis-jenis barang yang akan diserahkan kepada pihak pengantin perempuan akan
dilakukan. Antara barang yang diminta oleh bakal pengantin perempuan kepada
pihak lelaki ialah parang dan tempayan. Selain itu, sepanjang tempoh bertunang,
kiranya bakal pengantin perempuan tidak mempunyai rumah, pihak pengantin lelaki
juga perlu membuat rumah. Bakal pengantin lelaki tidak dibenarkan berkahwin
selagi rumah yang dibina tidak siap sepenuhnya. Nilai bayaran kepada bakal
pengantin lelaki akan dikurangkan sebanyak RM10, iaitu bersamaan satu depa
berdasarkan keluasan rumah yang dibina.
Malam Berinai (Manulau)
Malam berinai merupakan upacara yang
dilakukan pada malam sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan. Majlis ini
hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat pihak bakal pengantin. Dalam majlis
ini, bakal pengantin akan berinai di kuku dan berbedak.6 Bakal
pengantin digalakkan berjaga sepanjang malam hingga ke subuh bagi mengelakkan
daripada bermimpi buruk. Pada keesokan hari selepas mandi, kening bakal
pengantin akan dirapi dan rambut akan digunting.
Hari Majlis Perkahwinan (Mindakod
Kumawin)
Sebelum berkunjung ke rumah
pengantin perempuan, pihak lelaki akan memainkan irama muzik tradisional di
rumahnya. Ini menandakan pengantin lelaki akan berangkat ke rumah pengantin
perempuan. Antara alat yang digunakan ialah kulintangan dan gong. Ketibaan
pengantin lelaki di rumah pihak perempuan juga disambut dengan memainkan muzik
tradisional. Barang yang dibawa bersama pihak pengantin lelaki ialah tempayan,
parang, lembing dan periuk. Proses pengiraan nilai barang-barang ini akan
dilakukan. Selepas proses pengiraan ini selesai, pengantin lelaki akan masuk ke
bilik bakal isterinya.
Untuk
memasuki bilik tersebut, pengantin lelaki perlu memberikan RM1 kepada kedua-dua
mertuanya untuk membuka pintu bilik iaitu tempat pengantin perempuan berada.
Setelah berada di dalam bilik, pengantin lelaki pula akan membayar RM5 untuk
membuka kelambu. Setelah membuka kelambu, pengantin lelaki diminta menyerahkan
pencucuk sanggul untuk membuka tudung yang menutupi wajah pengantin perempuan
dan kemudiannya memakaikannya pada rambut isteri. Selain itu, pengantin lelaki
juga menyerahkan kain sarung dan baju kepada pasangannya yang akan dipakai
selepas mandi. Pada waktu malam, majlis keramaian diteruskan hingga ke pagi.
Kunjungan ke Rumah Pengantin Lelaki
(Mangalisiu)
Kunjungan ke rumah keluarga pengantin
lelaki akan dilakukan dalam tempoh antara satu hingga tiga hari selepas majlis
perkahwinan selesai. Dalam majlis ini, pihak keluarga lelaki menyediakan segala
bentuk persediaan dan aktiviti meyamai dengan apa-apa yang telah disediakan
oleh pihak pengantin perempuan. Walau
bagaimanapun, sebagai tambahan, pengantin perempuan akan diberikan talam,
pinggan, mangkuk, gelas, bekas sirih dan bekas tembaga.
Berpatah Balik ke Rumah Pengantin
Perempuan (Mupata’)
Selepas
sehari berada di rumah keluarga pengantin lelaki, pasangan suami isteri yang
baru berkahwin ini perlu kembali semula ke rumah pengantin perempuan. Setelah
berada di rumah keluarga pihak perempuan, upacara kedua pengantin baru itu pun
dimulai. Dengan ini, pengantin lelaki khususnya, tidak boleh keluar dari rumah
selama empat hari. Upacara ini bertujuan membolehkan pengantin lelaki
membiasakan diri di rumah keluarga isterinya. Selepas empat hari, barulah suami
tadi boleh memulakan aktiviti sehariannya seperti biasa.
Perubahan dalam Adat Perkahwinan
Adat
istiadat perkahwinan Orang Sungai mengalami pelbagai perubahan. Hal ini berlaku
kerana perubahan sosioekonomi, sistem kepercayaan dan agama serta factor sosial
termasuk pendidikan. Rata-rata ramai yang telah menganut agama Kristian, dengan
ini paderi dan gereja merupakan elemen penting dalam proses perkahwinan mereka.7
Manakala bagi Orang Sungai yang beragama Islam pula, mereka berpegang kepada
hokum nikah dalam Islam. Dalam hal ini, factor agama dilihat menjadi pencetus
yang dominan dalam mempengaruhi perubahan yang berlaku dalam system perkahwinan
Orang Sungai secara keseluruhannya.
Barangan yang Dibawa Ketika Merisik
(Mangilug) dan Meminang (Momogong)
Adat
dalam upacara merisik dan meminang masih diamalkan namun adat tersebut telah
mengalami perubahan. Antara perubahan tersebut ialah jenis barang yang dibawa
ketika kedua-dua upacara ini mengikut peredaran zaman. Pada masa kini, barangan
yang dibawa ketika merisik meliputi sebentuk cincin emas dan wang bernila
RM20,000.
Perubahan
yang serupa juga berlaku dalam majlis meminang. Peberian gong dan subang kepada
bakal pengantin perempuan dalam adat tradisi digantikan dengan sebentuk atau
dua bentuk cincin emas. Manakal parang, tempayan dan barangan keperluan lain
pula digantikan dengan wang tunai sebanyak RM300. Pemberian buru’ digantikan
dengan wang ringgit bagi menggantikan hantaran seperti gong, subang dan
tempayan. Untuk itu, wang sebanyak RM5,000 atau lebih diminta oleh keluarga
pengantin perempuan bagi tujuan pebelanjaan majlis perkahwinan. Perubahan
aktiviti ekonomi dalam kalangan etnik Orang Sungai membolehkan mereka
menyediakan wang tunai yang diminta.
Perkahwinan Campur
Peningkatan tahap pendidikan dan
migrasi Orang Sungai ke kawasan Bandar untuk bekerja menyebabkan berlakunya
pergaulan dengan kumpulan etnik lain. Interaksi dengan etnik lain telah membuka
ruang kepada perkahwinan campur. Sebagai contoh, ada Orang Sungai yang
berkahwin dengan etnik Kadazan.8 Malah ada yang mendirikan rumah
tangga dengan etnik Melayu dari Semenanjung Malaysia. Perkahwinan antara dua
kumpulan etnik yang berbeza telah member kesan ke atas sistem perkahwinan Orang
Sungai. Sesetengah upacara ditinggalkan kerana mengikut adat dan budaya salah
satu pasangan pengantin.
Kepentingan Adat Perkahwinan dalam etnik Sungai di Sandakan
Adat
secara umumnya di definasikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ianya
mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun
musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu
difahami khalayak berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan
adat ialah budaya.9 Kepentingan
adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak
dapat dinafikan. Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran,
perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di
Malaysia.
Adat
akan memainkan peranan dalam memastikan kelancaran sesebuah majlis tersebut.
Adat merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan menggambarkan corak budaya
masyarakat tersebut. Masyarakat Sungai begitu berpegang teguh dengan adat resam
kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Sesuatu upacara dalam
peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat
istiadat.
Merisik
Tujuan adat ini dilakukan adalah
untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum
berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang
tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar
belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku,
paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya, adat ini akan dijalankan oleh
saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya. Bagi pihak
gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum
menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah
mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.
Walaubagaimanapu, adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan tersebut
telah berkenalan telebih dahulu, justeru itu mereka akan terus menjalankan adat
meminang untuk menjimatkan kos dan masa.
Meminang
Setelah
diketahui bahawa gadis tersebut dalam berpunya, pihak keluarga lelaki akan
menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan
akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan
bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara mara
kedua-dua belah pihak akan berunding yang menetapkan tarikh dan masa yang
sesuai untuk adat bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga akan
diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk
upacara bertunang untuk memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa
majlis pertunangan kelak.
Bertunang
Selepas perbincangan diadakan,
majlis pertunangan akan dilangsungkan. Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli
keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara bertunang. Upacara ini akan
dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan cincin kepada wakil pihak
perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Setelah pertunangan
diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja
perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan.10
Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua
belah pihak. Satu perkara yang ditikberatkan ialah berkenaan putus tunang.
Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, emua wang hantaran
dan belanja yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus, sebaliknya jika
pihak perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan
sebanyak dua kali ganda.
Adat Berinai
Majlis
berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat. Berinai curi diadakan
tiga malam sebelum hari langsung untuk saudara mara terdekat sahaja. Selain
itu, berinai kecil diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara mara,
jiran tetangga dan sahabat handai. Seterusnya, berinai besar diadakan satu
malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas
daripada pihak lelaki dan pihak perempuan. Selepas adat berinai besar
dilakukan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di rumah pengantin perempuan,
sebaliknya akan terus pulang ke rumah ataupun sekiranya rombongan tersebut
datang dari jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah penanggak iaitu rumah
yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.
Hari Majlis Perkahwinan
Akad nikah merupakan satu acara
paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama
Islam. Upacara ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada
pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan
lain spertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad nikah boleh
dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan
dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin
perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walaubagaimanapun, dia
juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam.
Kesimpulan
Sistem
perkahwinan dalam masyarakat Orang Sungai bukan hanya merupakan ritual yang
menyatukan dua individu sebagai pasangan suami isteri. Malahan majlis
perkahwinan yang dilangsungkan perlu mengikut susun atur dan makna budaya yang
telah ditetapkan oleh komuniti ini. Ini desebabkan system perkahwinan Orang
Sungai menonjolkan upacara tersendiri dan pantang larang yang perlu dipatuhi
oleh ahli masyarakatnya. Setiap proses dalam ritual yang diamalkan bemula
daripada meminang hinggalah kepada berlangsungnya majlis perkahwinan mempunyai
set peraturan, makna nilai dan norma yang perlu dipatuhi.
Namun
begitu, sifat budaya yang sentiasa berubah menyebabkan system perkahwinan Orang
Sungai juga mengalami perubahan dan pengubahsuaian. Pengubahsuaian yang berlaku
disebabkan penerimaan elemen-elemen baharu dalam system sosial dan budaya
perkahwinan seperti mengenakan pakaian kumpulan etnik lain dalam majlis
perkahwinan dan sesetengah peringkat amalan perkahwinan dimansuhkaan atas sebab
larangan agama. Semua ini menggambarkan bahawa masyarakat Orang Sungai
merupakan etnik yang dinamik dalam menyesuaikan diri mereka dengan perubahan
zaman termasuklah dalam amalan dan adat istiadat perkahwinan mereka pada kini.
Bibliografi
Sumber Primer
Rubainah
Haji Rangon , 29 Februari 2016
Azizul
Bin Juhari, 29 Februari 2016
Sumber Sekunder
Ali
Gajing , Sejarah dan Kebudayaan Adat Perkahwinan , Perpustakaan Negara Malaysia
Dewan Bahasa dan Pustaka , 1994
L.W.
Jones , The Population Of Borneo , Opus Publications
Rosazman
Hussin , Jlihah Md. Shah & Dayu Sansalu ,
Orang Sungai , ITBM-UMS , 2012
John
, Julie King , Sungai (Labuk-Sugut) , Perpustakaan Negeri Sabah , 1999
Nelson
Dino , Etnik Melestarikan Bahasa Sukuan Sabah , Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan
Sabah , 2009
Aziz
Deraman , Mendaulatkan Martabat Bangsa , https://zanas.wordpress.com/
pembinaan-bangsa- dan-negara-malaysia- yang-berdaulat/
adat-dalam-masyarakat-malaysia-dan-kepentinganya/
Nur
Amyza Damia, Perkahwinan dan Pertunangan Kaum Sungai, https://zanas.wordpress.com/
pembinaan-bangsa-dan-negara-malaysia-yang-berdaulat/adat-dalam-masyarakat-malaysia-dan-kepentinganya/
Saya Ada pertanyaan sedikit mengenai suku kaum sungai segama. Suku Ni sekarang Ada di sukau Dan bilit kinabatangan. Ada persamaan dgn suku sungai idahan kah? Daripada maklumat di atas, Ada persamaan dari segi penempatan, gaya hidup Dan sejarah asal usul.
BalasPadamboleh bertanya ? "Appell" yang dinyatakan bermaksud apa ?
BalasPadamPembetulan teks bahawa Al marhum Pangiran Digadong Samah adalah etnik buludupi.. Bukan Edaran..
BalasPadam